Serangan berdarah ke atas sebuah balai polis di Ulu Tiram, Johor, baru-baru ini memberi peringatan yang nyata tentang ancaman ekstremisme yang masih wujud hingga ke hari ini.
Walaupun serangan itu pada mulanya dikaitkan dengan kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah (JI), pihak berkuasa Malaysia sejak itu menjelaskan bahawa penyerang yang berusia 21 tahun, telah bertindak secara berseorangan atau ‘lone wolf’, didorong motivasi dan kefahamannya sendiri.
Malah, ia dilaporkan juga bahawa dia dan keluarga tidak bercampur dengan masyarakat.
Susulan kejadian itu, polis telah menyerbu rumah suspek dan tangkapan dibuat terhadap lima ahli keluarganya yang berusia dalam lingkungan 19 hingga 62 tahun, dipercayai anggota JI.
Bapa suspek juga merupakan anggota JI di Ulu Tiram dan kediaman suspek juga mempunyai beberapa maklumat berkaitan kumpulan berkenaan.
Siasatan masih lagi dijalankan bagi mendapatkan kepastian terhadap motivasi sebenar suspek, namun begitu insiden tersebut telah menyerlahkan lagi kebimbangan yang semakin meningkat terhadap isu radikalisasi sendiri, terutamanya dalam kalangan belia, di negara Asia Tenggara, termasuk Singapura.
Tidak dapat dinafikan bahawa Singapura, meskipun terkenal dengan kestabilan dan keharmonian sosialnya, ia juga tidak terlepas daripada ancaman ini.
Trend individu muda yang terpengaruh dengan ideologi ekstremis ini mencerminkan keperluan ketara untuk mengambil langkah proaktif bagi membanteras kejadian ini daripada berleluasa di sini.
Penyebaran ideologi pengganas melalui platform dalam talian dan media sosial telah menjadi satu kebimbangan global, kerana kumpulan pelampau seperti ISIS mengeksploitasi wadah tersebut untuk merekrut dan memberi inspirasi kepada penyerang ‘lone wolf’.
Singapura sendiri telah menyaksikan peningkatan dalam kes radikalisasi sendiri, sekali gus mendorong respons yang menyeluruh daripada pemerintah dan masyarakat untuk menangani ancaman ini.
Sejak 2015, 12 warga Singapura berusia 20 tahun ke bawah telah ditangkap kerana telah menjadi radikal sendiri menerusi dalam talian.
Kumpulan ini, termasuk seorang remaja berusia 16 tahun yang merancang serangan ke atas dua masjid di Singapura, menyumbang hampir satu pertiga daripada 38 individu yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sepanjang tempoh itu.
Baru-baru ini, Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean, telah memberi penekanan terhadap trend mencemaskan di kalangan golongan muda yang menjadi radikal dalam talian.
Sebelum 2015, menurut beliau, Singapura melihat hanya satu kes yang melibatkan belia yang menjadi radikal sendiri.
Menegaskan bahawa rantau ini masih terdedah kepada ancaman daripada kumpulan pengganas terancang seperti JI, seperti yang dilihat dari serangan di Ulu Tiram pada 17 Mei, Encik Teo menambah bahawa terdapat kemungkinan “belia yang lebih muda menjadi radikal pada masa hadapan”.
Dengan kehadiran mereka yang berterusan dalam talian, belia mudah terdedah kepada propaganda dalam talian yang mengambil kesempatan terhadap perasaan terasing, pencarian identiti atau keinginan untuk menjadi sebahagian daripada sesuatu kumpulan yang dirasakan dalam golongan belia.
Ketika menyampaikan ucapan di Rahat Tahunan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) yang ke-19 pada 29 Mei, Encik Teo, yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, berkata:
“Golongan belia giat mencari bimbingan dan erti kehidupan. Propaganda ekstremis dan pengganas pula mudah diperolehi di dalam talian.
“Para belia menjadi radikal kerana sebab-sebab yang rumit, termasuk kurangnya kemahiran berfikir secara kritis, dan tekanan yang berpunca daripada keluarga atau hubungan sosial yang lain.”
Sementara itu, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata serangan ke atas balai polis di Johor itu adalah satu peringatan menggerunkan bahawa ancaman pengganasan kekal tinggi.
Dalam satu hantaran Facebook pada 21 Mei, beliau turut mengingatkan rakyat Singapura agar terus berwaspada terhadap ideologi pelampau sedemikian daripada mendapat tempat di sini, memandangkan terdapat elemen pengganas global menggunakan konflik yang berterusan di Timur Tengah untuk “menyebarkan retorik radikal mereka dan menghasut keganasan”.
“Secara khusus, individu yang menjadi radikal secara sendiri menjadi satu kebimbangan yang meningkat, terutama dalam kalangan belia kita.
“Sepanjang dua tahun lalu, empat remaja (berusia bawah 20 tahun) yang menjadi radikal secara sendiri, ditangani di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri,” kata Encik Wong lagi.
Seperti yang dapat kita lihat, pemerintah Singapura telah mengambil sikap proaktif dalam menangani ancaman radikalisasi sendiri ini.
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) memainkan peranan penting dalam memantau dan mengurangkan risiko yang berkaitan dengan individu yang menjadi radikal sendiri.
Penggunaan akta sedia seperti ISA juga telah membolehkan penahanan dan pemulihan individu yang menimbulkan ancaman keselamatan, dengan menekankan lagi pendekatan pencegahan yang diambil.
Salah satu strategi utama ialah pembangunan program berasaskan masyarakat yang bertujuan untuk menentang isu radikalisasi, seperti yang telah dilakukan oleh RRG sejak ia ditubuhkan pada 2003.
Para asatizah dan kaunselor agama dari RRG bekerjasama dengan individu yang ditahan untuk menentang ideologi ekstremis dengan ajaran agama yang tepat.
Program ini telah memainkan peranan penting dalam memulihkan individu dan mengintegrasikan mereka semula ke dalam masyarakat.
Dengan menyediakan kaunseling agama dan psikologi, RRG telah membantu individu memahami dan menolak salah tafsir kepercayaan mereka yang membawa kepada radikalisasi mereka.
Sewaktu rahat tahun ini, RRG juga telah melancarkan sebuah buku panduan bertajuk ‘Counselling and Mentoring Manual for Youth’ bagi membantu memperkasa para kaunselor serta mentor mereka dalam menangani ideologi pelampau di kalangan belia di Singapura.
Matlamat utama manual itu juga adalah bagi meningkatkan kesedaran terhadap evolusi berterusan yang penting dalam proses melibatkan belia berisiko dan mereka yang diradikalkan, menurut Pengerusi Bersama RRG, Ustaz Dr Mohamed Ali.
Beliau menambah bahawa belia membentuk kumpulan berisiko tinggi yang paling terdedah kepada ideologi pelampau dalam talian.
Justeru, Ustaz Dr Mohamed berkata RRG sedar akan keperluan menghasilkan buku panduan keempatnya yang antara lain menekankan peranan para kaunselor dan mentor RRG yang semakin berkembang, terutamanya dalam konteks pengaruh dalam talian dan media sosial.
Panduan itu juga mengambil kira pelbagai aspek pembangunan belia dengan tujuan mencapai hasil tidak ketara dan boleh diukur dalam sesi kaunseling dan bimbingan agama, menurut beliau lagi.
Ustaz Dr Mohamed turut menekankan kepentingan RRG sebagai satu kumpulan untuk memantau trend ini dan meneruskan usaha pencegahan dan kawalan khususnya dalam bidang pemulihan.
“Sememangnya, penerbitan manual, dari yang pertama hingga keempat kami dalam tempoh 20 tahun, adalah bukti bahawa ideologi ekstremis tidak statik.
“Oleh itu, tugas kami di RRG akan sentiasa kekal sebagai tugas yang berterusan… hanya dengan itu, kita boleh kekal relevan dan bertindak balas secara proaktif terhadap perubahan landskap ancaman pelampau,” ujarnya.
Usaha yang giat dilakukan RRG sahaja tidak akan mencukupi.
Ibu bapa di rumah, sekolah dan institusi pendidikan merupakan arena kritikal untuk memupuk pemikiran yang kritikal, celik digital, dan melengkapkan belia dengan kemahiran untuk membezakan maklumat yang boleh dipercayai daripada propaganda ekstremis.
Dengan memupuk masyarakat yang menggalakkan pemikiran kritikal, keharmonian sosial dan sokongan kesihatan mental yang teguh, Singapura boleh memastikan golongan belianya yang cergas kekal sebagai kuasa yang dapat melakukan kebaikan, bukan sasaran untuk radikalisasi.
“
Secara khusus, individu yang menjadi radikal secara sendiri menjadi satu kebimbangan yang meningkat, terutama dalam kalangan belia kita. Sepanjang dua tahun lalu, empat remaja (berusia bawah 20 tahun) yang menjadi radikal secara sendiri, ditangani di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.“
Golongan belia giat mencari bimbingan dan erti kehidupan. Propaganda ekstremis dan pengganas pula mudah diperolehi di dalam talian. Para belia menjadi radikal kerana sebab-sebab yang rumit, termasuk kurangnya kemahiran berfikir secara kritis, dan tekanan yang berpunca daripada keluarga atau hubungan sosial yang lain.“
Sememangnya, penerbitan manual, dari yang pertama hingga keempat kami dalam tempoh 20 tahun, adalah bukti bahawa ideologi ekstremis tidak statik. Oleh itu, tugas kami di RRG akan sentiasa kekal sebagai tugas yang berterusan… hanya dengan itu, kita boleh kekal relevan dan bertindak balas secara proaktif terhadap perubahan landskap ancaman pelampau.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg