Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

RRG berkembang seiring perubahan trend ancaman radikalisme

SM Teo turut puji usaha RRG untuk dekati khalayak yang lebih luas khususnya golongan yang lebih muda
May 29, 2024 | 7:32 PM
Menteri Kanan yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik Teo Chee Hean (tiga dari kanan), bersama Pengerusi Bersama RRG, Ustaz Dr Mohamed Ali (dua dari kanan), dan Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir (paling kanan) beramah dengan asatizah dan kaunselor RRG.
Menteri Kanan yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik Teo Chee Hean (tiga dari kanan), bersama Pengerusi Bersama RRG, Ustaz Dr Mohamed Ali (dua dari kanan), dan Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir (paling kanan) beramah dengan asatizah dan kaunselor RRG. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Sedang ancaman radikalisme dan ekstremisme di serata dunia kekal pada tahap tinggi, Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) terus memainkan peranan penting dalam tindak balas Singapura terhadap ancaman sebegini.

Sejak penubuhannya pada 2003, kumpulan itu juga telah berkembang dan menyesuaikan langkah pemulihannya seiring dengan perubahan dalam landskap ancaman.

Demikian menurut Menteri Kanan yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik Teo Chee Hean, sewaktu menyampaikan ucapannya di hadapan sekitar 40 hadirin di rahat tahunan RRG ke-19 pada 29 Mei.

Selama lebih dua dekad, selain memberikan kaunseling agama kepada anggota Jemaah Islamiyah (JI), RRG juga menerajui usaha untuk membantu dalam proses pemulihan warga Singapura yang menjadi radikal sendiri, tambah beliau. 

Dalam ucapannya juga, Encik Teo turut melahirkan penghargaan beliau serta memuji usaha kumpulan itu mendekati khalayak yang lebih luas, khususnya golongan yang lebih muda.

“RRG juga melakukan usaha mendekati masyarakat, untuk melindungi warga Singapura daripada ideologi ekstremis. 

“RRG juga telah meningkatkan kehadirannya dalam talian dengan melancarkan akaun TikTok pada tahun lalu (2023). Usaha RRG bagi mendekati masyarakat lebih luas, terutama sekali para belia, patut dipuji,” ujarnya.

Sejak 2016, RRG telah menawarkan program intervensi pemulihan yang disesuaikan bagi golongan belia.

Ini termasuk sesi pementoran dan tunjuk ajar untuk membantu memberi motivasi, membimbing serta menyediakan laluan bagi belia yang dipulihkan untuk berintegrasi semula ke dalam masyarakat.

Encik Teo berkata pendekatan berkesan Singapura untuk memulihkan individu yang menjadi radikal tidak mungkin berjaya tanpa kerja baik dan pengorbanan setiap anggota RRG.

Beliau menambah bahawa selama lebih dua dekad sejak ia ditubuhkan, RRG telah menyumbang kepada keselamatan, keamanan dan kestabilan Singapura terhadap pengaruh ekstremis.

Encik Teo turut melahirkan keyakinannya terhadap kepimpinan serta anggota RRG untuk meneruskan kerja baik ini dalam menghadapi masa-masa mencabar. 

“Pihak pemerintah akan memberi anda sokongan yang penuh dalam usaha bersama untuk menjaga keselamatan dan keamanan Singapura,” tambahnya.

Bertemakan #Click2Change: Empowering Youths Against Online Extremism, rahat 2024 ini menampilkan seminar yang dikendalikan oleh ahli akademik dan pengamal mapan, supaya ahli RRG memperoleh pandangan baru dan amalan terbaik untuk meningkatkan persefahaman antara agama dalam kalangan rakyat Singapura.

Penceramah undangan, termasuk ahli sosiologi, Dr Narayanan Ganapathy; dan Ketua Psikologi Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), Dr Majeed Khader, hadir memberi ceramah.

Semasa ucapan beliau, Pengerusi Bersama RRG, Ustaz Dr Mohamed Ali, pula berkata walaupun titik permulaan penahanan JI lebih dua dekad lalu merupakan satu detik yang pahit untuk ditelan masyarakat Islam setempat, ia telah membuka jalan kepada lebih banyak hasil positif dalam pelbagai aspek.

“Pertama, ia menjadi platform kepada asatizah kita dan pemerintah untuk saling mempercayai dan bekerjasama demi kebaikan bersama.

“Kedua, episod JI itu telah menjadi sebab terpenting untuk memperkemaskan ajaran agama kita termasuk penubuhan badan akreditasi untuk meningkatkan taraf asatizah di Singapura,” katanya lagi. 

Merenung kembali terhadap segala usaha yang telah dilakukan RRG sejak ia ditubuhkan, Ustaz Dr Mohamed berkata:

“Hari ini, setelah berkhidmat kepada masyarakat selama dua dekad, renungan kami telah membawa kepada pelbagai kesimpulan, salah satunya adalah rasa kesyukuran dan penghargaan yang mendalam atas peluang, kekayaan pengalaman dan ilmu yang kami perolehi sepanjang perjalanan kami dalam kerja pemulihan dan dalam menentang ideologi radikal ini.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg