Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ambulance Wish tunai hajat akhir pesakit, perlu relawan bahasa Melayu

Organisasi amal itu kerjasama dengan pelbagai badan kesihatan hulur bantuan kepada 405 pesakit terima rawatan paliatif
Oct 20, 2025 | 5:30 AM
Ambulance Wish, paliatif, tunai, hajat
Allahyarhamha Cik Rokiah Adnan (atas kerusi roda) bersama anaknya Cik Norhaliza Haris (kanan), dan dua sukarelawan Ambulance Wish semasa kegiatan berjalan-jalan di Kebun Bunga Singapura. - Foto AMBULANCE WISH

Semasa membesar di Kedah, Cik Rokiah Adnan, gemar bermain di sawah padi, menghirup udara segar dari tanaman di sekeliling kampung, serta memancing ikan di tepi sungai.

Apabila dewasa, beliau berpindah ke Singapura pada 1965 untuk bernikah, sekali gus meninggalkan kampung halamannya di Malaysia, dan membesarkan lima orang anak di sini.

Sebagai seorang pesakit ginjal kronik yang memerlukan rawatan paliatif, Cik Rokiah, 79 tahun, sesekali terkenang zaman silam itu.

Di bawah daya usaha bagi menunaikan hajat pesakit yang menerima rawatan paliatif, sebuah organisasi bukan berasas keuntungan, Ambulance Wish, telah menganjurkan kegiatan riadah ke Kebun Bunga Singapura buat Cik Rokiah, pada 31 Julai lalu.

Anaknya, Cik Norhalizah Haris, 58 tahun, berkata beliau amat berterima kasih kepada Ambulance Wish kerana telah menganjurkan kegiatan tersebut dan memberikan keluarganya kenangan indah pada hujung hayat ibunya.

Cik Norhalizah, bersama anak sulungnya, menemani Cik Rokiah berjalan-jalan di Kebun Bunga dengan bantuan tiga sukarelawan Ambulance Wish yang turut menyediakan pengangkutan.

Mereka meluangkan hampir tiga jam di sana.

“Ambulance Wish telah membantu merealisasikan hajat ibu saya. Kami amat bersyukur. Kenangan itu akan kekal bersama kami selama-lamanya,” kata Cik Norhalizah, anak kedua lima beradik.

Sukarelawan telah menyediakan sejambak bunga dan sebuah beruang teddy bernama ‘Ambi’ yang juga maskot Ambulance Wish.

Mereka turut menguruskan pengangkutan pergi balik, di samping membantu menolak Cik Rokiah yang menggunakan kerusi roda semasa kegiatan tersebut.

Cik Rokiah, ibu lima anak dan 11 cucu, meninggal dunia pada 2 September lalu.

“Dalam masa yang sukar, Allah mengirim insan-insan baik untuk membantu kami.

“Sukarelawan Ambulance Wish adalah antara insan itu. Mereka membantu tanpa mengira bangsa dan agama,” tambah beliau.

Pengarah Eksekutif Ambulance Wish, Cik Marya Malek, 37 tahun, berkata organisasi amal itu ditubuhkan sejak enam tahun lalu.

Badan itu bekerjasama dengan pelbagai badan kesihatan dan telah menghulurkan bantuan kepada seramai 405 pesakit yang menerima rawatan paliatif.

Ia sekali gus melibatkan lebih 6,000 orang awam termasuk anggota keluarga pesakit.

Antara penyakit yang dihidapi termasuk barah tahap akhir, sakit jantung, sakit ginjal dan sebagainya.

“Tujuan kami adalah memberikan pengakhiran yang bermakna kepada pesakit kronik, supaya ia tidak terasa seperti hukuman mati.

“Dengan menunaikan hajat atau keinginan mereka, kami dapat menggembirakan pesakit dan orang yang mereka kasihi,” jelas Cik Marya.

Ambulance Wish menerima profil pesakit daripada unit penjagaan paliatif melalui rujukan serta permintaan secara langsung.

“Kami bekerjasama dengan sukarelawan untuk menyusun acara yang dipilih pesakit itu sendiri. Sukarelawan merupakan tulang belakang penting organisasi kami,” katanya.

Setakat ini, Ambulance Wish mempunyai 300 sukarelawan terlatih, namun masih memerlukan mereka yang boleh berbahasa Melayu.

“Penting untuk kami mendapatkan sukarelawan yang fasih berbahasa Melayu bagi membantu pesakit dalam masyarakat Melayu/Islam.

“Sesi latihan hanya mengambil masa kurang dari setengah hari, dan permohonan terbuka kepada sesiapa yang berumur 18 tahun dan ke atas,” tambah Cik Marya.

Seorang lagi pesakit yang menerima bantuan Ambulance Wish ialah Encik Adnan Sulaiman, 76 tahun, yang terlantar di Kampus Kesihatan Woodlands (WHC) akibat barah paru-paru tahap empat.

Isterinya, Cik Kalsom Abdullah, 71 tahun, memberitahu Berita Harian pada awal September bahawa keadaan suaminya semakin lemah dan menurut doktor, beliau hanya mempunyai sekitar dua bulan untuk hidup.

“Permintaan suami saya ketika itu ialah untuk pulang ke rumah dan menghabiskan masa bersama keluarga kerana beliau sudah terlantar di hospital lebih dua bulan.

“Dia juga meminta buah ciku dan durian, tetapi pada hari itu tidak berselera. Namun, semua ahli keluarga termasuk tiga anak lelaki dan keluarga mereka hadir bersama,” kata Cik Kalsom.

“Seorang doktor, jururawat serta sukarelawan Ambulance Wish turut hadir pada hari itu untuk memastikan keselamatannya, tetapi keadaannya sudah terlalu lemah,” tambah beliau.

Encik Adnan telah menghembus nafas terakhir pada 20 September lalu.

Dalam laporan akhir tahun 2024, Ambulance Wish menyatakan bahawa 121 hajat berjaya ditunaikan setakat ini, sejajar dengan misi mereka, ‘Menunaikan Hasrat, Meraikan Kehidupan’.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg