‘Cik Zainab’ (bukan nama sebenar), wanita berusia 87 tahun yang menghidap penyakit Alzheimer tahap lanjut, secara beransur-ansur hilang keupayaan untuk makan dan menelan.
Keluarganya menyedari bahawa beliau sering terbatuk ketika makan dan kelihatan tidak berminat untuk makan.
Apabila berat badannya turun secara mendadak, saya berbincang dengan anggota keluarga mengenai pilihan untuk memasang tiub pemakanan.
Anak perempuannya, Cik Aisyah, berasa serba salah.
Beliau ingin melakukan yang terbaik, namun tidak pasti sama ada memanjangkan hayat ibunya melalui kaedah sebegitu sejajar dengan nilai dan prinsip yang ibunya pegang selama ini.
Keluarga turut dibelenggu rasa bersalah, bimbang sekiranya Cik Zainab sedang kelaparan.
Saya menenangkan mereka dengan lembut bahawa kehilangan selera makan dan pengambilan makanan yang berkurangan adalah sebahagian daripada proses semula jadi penyakit tersebut.
Saya cuba meyakinkan mereka bahawa Cik Zainab tidak menderita menanggung kelaparan.
Setelah meneliti arahan awal ibunya yang menekankan keutamaan pada penjagaan berasaskan keselesaan dan maruah keluarga akhirnya memutuskan untuk tidak meneruskan kaedah pemakanan melalui tiub.
Sebaliknya, mereka memilih pendekatan memberikan makanan melalui suapan lembut dan hidrasi mulut.
Tiga bulan kemudian, Cik Zainab menghembuskan nafas terakhir dengan tenang, dikelilingi insan tersayang, tanpa sebarang prosedur yang invasif.
Apabila seseorang yang disayangi mencapai demensia tahap lanjut, banyak keputusan sukar perlu dibuat dan salah satu yang paling mencabar ialah sama ada untuk memulakan pemakanan melalui tiub atau tidak.
Anggota keluarga dan penjaga sering bergelut dengan keputusan ini, menimbang antara manfaat dengan beban pemakanan serta hidrasi buatan.
Dalam artikel ini, saya akan meneliti pertimbangan utama daripada sudut klinikal mengenai keputusan tersebut.
Apabila demensia berkembang, individu sering mengalami kesukaran untuk makan dan menelan.
Keadaan ini boleh mengakibatkan penurunan berat badan, dehidrasi dan meningkatnya risiko pneumonia aspirasi.
Dalam keadaan ini, keluarga mungkin mempertimbangkan penggunaan tiub pemakanan bagi memastikan individu berkenaan mendapat nutrisi yang mencukupi.
Pemakanan melalui tiub membekalkan nutrisi secara langsung melalui tiub yang dimasukkan ke dalam perut (tiub gastrostomi) atau hidung (tiub nasogastrik).
Kaedah itu lazimnya dipertimbangkan apabila pengambilan makanan melalui mulut tidak lagi mencukupi atau selamat disebabkan oleh kesukaran menelan.
Pemakanan melalui tiub boleh membantu mengekalkan pengambilan kalori apabila pesakit tidak lagi boleh makan dengan selamat melalui mulut.
Keluarga sering bimbang insan tersayang mungkin mengalami kelaparan atau dahaga jika tidak diberi pemakanan melalui tiub.
Dalam sesetengah kes, pemakanan melalui tiub dianggap dapat mengurangkan risiko makanan memasuki saluran pernafasan.
Pemakanan melalui tiub tidak semestinya meningkatkan keselesaan atau memanjangkan hayat dengan cara yang bermakna.
Ramai pesakit mungkin mengalami tekanan, ketidakselesaan atau kegelisahan.
Kaedah ini boleh menyebabkan jangkitan, pneumonia aspirasi, masalah gastrousus dan komplikasi berkaitan pemasangan tiub.
Kajian menunjukkan pemakanan melalui tiub dalam kes dementia tahap lanjut tidak secara signifikan memanjangkan jangka hayat.
Makan merupakan satu pengalaman sosial dan sensori yang penting.
Pemakanan melalui tiub menghapuskan aspek itu daripada kehidupan harian pesakit.
Bagi ramai pesakit, pendekatan paliatif yang menumpukan kepada keselesaan dan maruah adalah lebih sesuai.
Antara strategi alternatif yang boleh dipertimbangkan ialah:
Guna Tangan: Walaupun dalam jumlah kecil, membenarkan pesakit makan mengikut kemampuan mereka boleh meningkatkan mutu hidup.
Ubah Suai Tekstur Makanan: Makanan lembut atau dikisar boleh menjadikan proses makan lebih selamat.
Hidrasi Oral: Sediakan cecair melalui kapas mulut atau tegukan kecil mengikut kemampuan pesakit.
Keputusan sama ada untuk memulakan pemakanan melalui tiub harus dibuat secara bersama antara doktor, penjaga dengan anggota keluarga.
Pasukan penjagaan paliatif atau hospis boleh membantu membimbing perbincangan berdasarkan prognosis keseluruhan pesakit, tahap keselesaan serta nilai dan kepercayaan individu.
Dalam demensia tahap lanjut, kesukaran makan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.
Tetapi pemakanan melalui tiub bukanlah satu-satunya jalan penyelesaian.
Keputusan yang diambil harus memberi keutamaan pada keselesaan, maruah dan mutu hidup pesakit.
Keluarga digalak mengadakan perbincangan terbuka bersama penyedia penjagaan kesihatan bagi membuat keputusan berhemah dan penuh belas kasihan.
Ia selaras dengan kehendak serta prinsip individu yang disayangi.
Penulis pakar perubatan geriatrik dari Alami Clinic by Dr Farhan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg