Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong telah mengadakan pertemuan dua hala dengan pemimpin Brazil, Afrika Selatan dan Majlis Eropah pada hari pertama Sidang Kemuncak Asean ke-47 yang diadakan di Kuala Lumpur, Malaysia pada 26 Oktober.
Dalam hantaran di Facebook susulan pertemuan mereka, Encik Wong berkata beliau gembira dapat bertemu dengan Presiden Brazil, Encik Luiz Inacio Lula da Silva, yang kali terakhir ditemuinya di Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G-20) di Rio pada 2024.
Beliau berkata Brazil kekal sebagai rakan dagang utama Singapura di Amerika Selatan dan rakan kongsi utama dalam bidang keselamatan makanan.
“Kami berharap dapat bekerjasama dalam tindakan iklim, pasaran karbon dan bahan api yang mampan menjelang COP-30 di Belém November ini,” kata Encik Wong, merujuk kepada Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Sidang tersebut dijadual diadakan dari 6 hingga 21 November di sebuah bandar di Brazil yang terletak di muara Sungai Amazon.
Encik Wong mengadakan perbincangan yang produktif dengan Presiden Afrika Selatan, Encik Cyril Ramaphosa, di mana beliau menyifatkan kerjasama yang semakin berkembang antara kededua negara yang berasaskan sikap saling menghormati dan aspirasi bersama.
Mengulas tentang pertemuan itu, Encik Wong berkata: “Kami meneroka usaha untuk memperdalam hubungan dalam perdagangan, inovasi, kemampanan, teknologi dan pengukuhan hubungan Asean-Afrika”.
Dalam hantaran berasingan di wadah X, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Encik Ramaphosa atas jemputannya kepada Singapura untuk menghadiri Sidang Kemuncak G-20 di Johannesburg pada November.
Di samping itu, Encik Wong turut bertemu Presiden Majlis Eropah, Encik António Costa, bagi berbincang berhubung usaha meningkatkan kerjasama antara Singapura, EU, dengan rantau lebih luas, terutama dalam perdagangan dan ekonomi digital.
“Sebagai rakan kongsi berfikiran seiringan yang komited terhadap susunan pelbagai hala berasaskan peraturan, terdapat banyak yang boleh kita raih bersama dalam landskap sejagat yang berkembang hari ini,” kata Encik Wong.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg