Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Amos Yee masuk senarai penjenayah asing ‘paling teruk’ AS

Dec 10, 2025 | 7:59 PM
Amos Yee, criminal, wanted list, Amos Pang Sang Lee
Amos Yee merupakan satu-satunya warganegara Singapura dalam pangkalan data kendalian Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat (DHS) setakat 10 Disember. - Foto DHS

Warganegara Singapura, Amos Yee, telah disenaraikan antara “penjenayah warga asing paling teruk yang ditahan oleh Penguatkuasa Imigresen dan Kastam (ICE) Amerika Syarikat” di satu laman web kendalian Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika (DHS).

Dilancarkan pada 8 Disember, laman web itu “mengumpulkan maklumat mengenai warga asing tanpa kebenaran sah yang melakukan jenayah dan ditahan oleh DHS dalam operasi penguatkuasaan sejak bermulanya pentadbiran Trump”, ujar kenyataan agensi persekutuan itu.

Laman web tersebut merupakan pangkalan data berisi “sebahagian daripada ratusan ribu warga asing tanpa kebenaran sah yang melakukan jenayah dan telah ditahan di semua 50 negeri”, kata jabatan tersebut.

Ia menambah, individu tersenarai antara lain, mempunyai rekod jenayah termasuk pembunuhan, serangan, rogol, pengedaran dadah, pencabulan kanak-kanak, penderaan kanak-kanak dan rompakan bersenjata.

Yee, yang nama penuhnya ialah, Amos Yee Pang Sang, ialah satu-satunya individu dari Singapura dalam pangkalan data tersebut setakat 10 Disember, lapor The Straits Times (ST).

Turut dipaparkan di laman itu ialah warga Mesir, Yehia Elham Badawi, yang disifatkan DHS sebagai mempunyai “senarai jenayah panjang”.

Ia termasuk rompakan, serangan teruk dan pelbagai kesalahan ganas yang berpunca daripada kejadian berbalas tembakan pada 1994 yang menyebabkan seorang pegawai polis Philadelphia cedera parah.

Seorang lagi pesalah yang ditonjolkan ialah warga Colombia, Nicol Alexandra Contreras-Suarez, yang disifatkan sebagai “seorang warga asing tanpa kebenaran sah transjantina, yang didakwa atas kes rogol terhadap individu bawah umur dan menghendap di New York”.

Halaman tersebut menyatakan Yee disabitkan atas kesalahan memujuk individu bawah umur untuk tujuan tidak senonoh, eksploitasi seksual terhadap individu bawah umur melalui foto dan eksploitasi seksual terhadap individu bawah umur melalui telekomunikasi. 

Ia menambah dia telah ditahan di Chicago, Illinois.

Pesalah seks kanak-kanak berusia 27 tahun itu kini berada dalam tahanan ICE selepas dibebaskan secara parol pada 20 November. 

Dia diketahui kali terakhir ditahan di Dodge Detention Facility di Wisconsin, yang mengambil masa empat jam dari Illinois, tempat dia menjalani hukuman penjara enam tahun atas kesalahan pornografi kanak-kanak dan pengantunan seksual.

Yee memasuki Amerika pada Disember 2016 untuk memohon suaka selepas beberapa kali berdepan tindakan undang-undang di Singapura berhubung kenyataan kontroversinya yang menghina penganut Kristian dan Muslim.

Dia diberi suaka pada Mac 2017, meskipun dibantah oleh DHS, dan dibebaskan dari tahanan pada September tahun yang sama.

Pada 2020, Yee didakwa oleh jemaah juri di sebuah mahkamah di Illinois atas kesalahan memujuk dan memiliki pornografi kanak-kanak.

Dia pernah bertukar gambar bogel dan mesej dengan seorang remaja berusia 14 tahun dari Texas ketika berada di Chicago, dan dijatuhkan hukuman pada 2 Disember 2021.

Dia dibebaskan secara parol pada 7 Oktober 2023, namun ditahan semula pada bulan berikutnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg