Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AMP bangun platform bagi karyawan kongsi ilmu

Oct 7, 2024 | 9:04 PM
Karyawan sektor kewangan, kejuruteraan, jagaan kesihatan, guaman dan sosiopendidikan, berpeluang bertukar-tukar pengetahuan dan memberi bimbingan menerusi Kolektif Karyawan Muslim yang baru dilancarkan AMP Singapura pada 5 Oktober.
Karyawan sektor kewangan, kejuruteraan, jagaan kesihatan, guaman dan sosiopendidikan, berpeluang bertukar-tukar pengetahuan dan memberi bimbingan menerusi Kolektif Karyawan Muslim yang baru dilancarkan AMP Singapura pada 5 Oktober. - Foto AMP SINGAPURA

AMP Singapura telah menyatukan inisiatif ‘ground up’ (GUI) daripada sektor kewangan, kejuruteraan, jagaan kesihatan, guaman dan sosiopendidikan menerusi platform yang dikenali sebagai Kolektif Karyawan Muslim (MPC).

Melalui usaha ini, pelbagai peluang terbentang bagi karyawan Muslim berkongsi ilmu, memberi bimbingan dan membangun modal sosial dalam suasana yang membina.

MPC telah dilancarkan pada 5 Oktober lalu di Pusat Belia Kemanusiaan Tzu Chi di 30A Yishun Central 1.

Menurut AMP Singapura dalam kenyataannya, kolektif tersebut bertujuan menarik perhatian karyawan yang baru memulakan pekerjaan serta mereka yang beralih kerjaya dan berada dalam peringkat pertengahan kerjaya.

Ia khusus menyediakan ruang untuk mereka meneroka pelbagai laluan kerjaya dalam bidang kewangan, kejuruteraan, jagaan kesihatan, guaman dan sosiopendidikan.

Sebanyak enam GUI telah melibatkan diri dalam platform tersebut.

Antaranya termasuk Islamic Finance Singapore (IFSG), Rangkaian Jurutera Jazari (JEN), Persatuan Karyawan Penjagaan Kesihatan Islam (MHPA), Rangkaian Pembimbing Undang-undang Muslim (MLMN), Rangkaian Pengamal Masyarakat (NOCP) dan Dana Pendidikan Muslim Singapura (SMEF).

Menurut Naib Pengerusi AMP Singapura, Dr Mohd Noordin Yusuff Marican, orang Islam kurang diwakili dalam sektor pertumbuhan tinggi seperti khidmat kewangan, teknologi dan juga khidmat kekaryawanan.

Menurut Dr Mohd Noordin Yusuff Marican, terdapat keperluan untuk lebih ramai orang Islam dalam sektor pertumbuhan tinggi.
Menurut Dr Mohd Noordin Yusuff Marican, terdapat keperluan untuk lebih ramai orang Islam dalam sektor pertumbuhan tinggi. - Foto AMP

Menurut Banci Penduduk dan Tinjauan Umum Isi Rumah 2020 oleh Jabatan Perangkaan Singapura, masyarakat Melayu membentuk kira-kira 3 peratus daripada tenaga kerja, manakala purata negara adalah hampir 11 peratus.

Dalam industri teknologi pula perwakilannya adalah kurang daripada 5 peratus, berbanding 12 peratus di peringkat nasional.

Pada masa yang sama, perwakilan bagi khidmat karyawan yang meliputi bidang undang-undang, perundingan dan perakaunan hanya membentuk 4 peratus sahaja.

Dr Mohd Noordin menjelaskan kepentingan meningkatkan perwakilan itu kerana ia membentuk takrifan masyarakat tentang potensi keseluruhan masyarakat Muslim.

“Kurang diwakili dalam sektor pertumbuhan tinggi mengehadkan potensi keseluruhan masyarakat.

“Sebaliknya, peningkatan perwakilan mewujudkan kitaran positif.

“Apabila lebih ramai anggota masyarakat kita berjaya dalam sektor ini, mereka boleh sama-sama jadi lebih baik,” jelasnya.

Mengalu-alukan inisiatif itu, Pengerusi AMP Singapura, Encik Fathurrahman Dawoed, berkata pihaknya berharap dapat mengukuhkan peranan sebagai hab untuk karyawan Muslim berkongsi pengetahuan, membina modal sosial, dan menyokong karyawan baru dalam mengembangkan kerjaya mereka.

“AMP bermula lebih 30 tahun lalu melalui inisiatif ‘ground up’ oleh sekumpulan karyawan Muslim yang ingin memacu perubahan untuk menjadi mangkin pada pertumbuhan masyarakat kita.

“Melalui inisiatif ini, peserta juga digalakkan untuk menyumbang kembali dan memacu transformasi positif dalam masyarakat, mewujudkan kitaran yang mampan pertumbuhan, kepimpinan, dan pemerkasaan untuk generasi mendatang,” ujar Encik Fathurrahman.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg