Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AMP, Institut Sans meterai MOU bina bakat keselamatan siber

Kerjasama galak lebih ramai Melayu masuki sektor infokom, sedia program latihan dan kerja dengan pembiayaan 80 peratus yuran kursus
Oct 25, 2024 | 1:08 PM
(Duduk, dari kiri) Pengarah Eksekutif AMP Singapura, Encik Mohksin Rashid; dan Pengarah Strategi Institut Sans, Encik Matthias Chia, di majlis memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) membangunkan bakat berkemahiran tinggi dalam sektor keselamatan siber. Ia disaksikan (berdiri, dari kiri) Pengarah Teknikal Institut Sans, Encik Delaney Ng; anggota penasihat panel Program Bantuan Pilih-Latih-Kerja AMP x Sans, Encik Alwi Hafiz; Naib Pengerusi AMP, Dr Md Noordin Yusuff; Pengerusi AMP, Encik Fathurrahman Dawoed; Professor Yaacob Ibrahim dan Encik Wahab Yusoff, kedua-duanya anggota penasihat panel Program Bantuan Pilih-Latih-Kerja AMP x Sans juga.  
(Duduk, dari kiri) Pengarah Eksekutif AMP Singapura, Encik Mohksin Rashid; dan Pengarah Strategi Institut Sans, Encik Matthias Chia, di majlis memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) membangunkan bakat berkemahiran tinggi dalam sektor keselamatan siber. Ia disaksikan (berdiri, dari kiri) Pengarah Teknikal Institut Sans, Encik Delaney Ng; anggota penasihat panel Program Bantuan Pilih-Latih-Kerja AMP x Sans, Encik Alwi Hafiz; Naib Pengerusi AMP, Dr Md Noordin Yusuff; Pengerusi AMP, Encik Fathurrahman Dawoed; Professor Yaacob Ibrahim dan Encik Wahab Yusoff, kedua-duanya anggota penasihat panel Program Bantuan Pilih-Latih-Kerja AMP x Sans juga.   - Foto AMP SINGAPURA

AMP Singapura dan Institut Sans telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MOU) untuk membangunkan bakat berkemahiran tinggi dalam sektor keselamatan siber di negara ini.

Di bawah kerjasama tersebut, individu ingin menceburi kerjaya dalam sektor keselamatan siber boleh menyertai Program Bantuan Pilih-Latih-Kerja, dengan peserta yang layak akan menerima pembiayaan 80 peratus yuran kursus itu oleh AMP.

AMP berkata melalui kerjasama dengan institut global dalam keselamatan siber itu, ia berharap dapat menggalak lebih ramai orang Melayu memasuki sektor infokom.

Satu majlis menandatangani MOU itu diadakan pejabat AMP di Kelab Masyarakat Pasir Ris East pada 22 Oktober.

MOU itu ditandatangani Pengarah Eksekutif AMP, Encik Mohksin Rashid, dan Pengarah Strategi Institut Sans, Encik Matthias Chia.

Pengerusi AMP, Encik Fathurrahman Dawoed, berkata AMP menyedari kepentingan memastikan pekerja Melayu diwakili dengan baik dalam sektor pertumbuhan tinggi, seperti teknologi, yang ada potensi besar untuk meningkatkan mobiliti sosial pada jangka masa panjang.

“Kerjasama dengan Institut Sans memberikan peluang penting kepada masyarakat kita untuk membina kepakaran dalam industri yang pesat berkembang.

“Dengan melengkapi masyarakat kita dengan kemahiran yang betul, kami dapat membantu mereka mengambil langkah-langkah kukuh ke arah kestabilan ekonomi dan peningkatan mobiliti,” kata beliau.

Melalui Program Bantuan Pilih-Latih-Kerja itu, peserta bukan hanya dapat menimba pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan bagi sektor keselamatan siber, malah meraih manfaat daripada peluang pementoran dan jalinan rangkaian.

Pusingan pertama program tersebut akan dirintis pada 2025, dengan sekitar 15 peserta akan diambil bagi program itu.

Peserta program akan membina kemahiran dalam menangani insiden, ujian yang melibatkan serangan siber terhadap sistem komputer dan cara mengatasinya, serta membangunkan pemahaman kukuh dalam rangkaian komputer.

Encik Chia berkata kemahiran tersebut dipilih kerana ia meliputi kedua-dua latihan asas dan khusus selaras dengan Laluan Kemahiran bagi Keselamatan Siber yang baru dilancar, yang membolehkan peserta layak mendapatkan kerja di syarikat besar di Singapura, seperti Ensign dan ST Engineering.

Peserta yang berjaya dalam program itu akan meraih tiga Pensijilan Jaminan Maklumat Global (GIAC), iaitu standard industri global bagi pengesahan kemahiran siber dan memberi jaminan pengetahuan dan kemahiran keselamatan siber yang tertinggi dan paling ketat.

Encik Chia menambah bahawa banyak pekerjaan di Singapura dalam kedua-dua sektor, pemerintah dan swasta, memerlukan pensijilan GIAC sebagai kriteria untuk pertimbangan kerja.

“Kami gembira bekerjasama dengan AMP Singapura untuk memupuk generasi karyawan keselamatan siber seterusnya.

“Kerjasama ini merupakan langkah penting dalam merapatkan jurang kemahiran industri sambil memupuk tenaga kerja lebih terangkum, yang mencerminkan kepelbagaian dan cita-cita digital Singapura,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg