Satu inisiatif baru telah dilancarkan oleh AMP Singapura untuk menyatukan karyawan Islam yang memberi kesan di dalam dan luar negara.
Dinamakan Globally Empowered Muslims Singapore (Gems), inisiatif itu bertujuan mengiktiraf dua kumpulan utama – karyawan Islam asal Singapura yang berkhidmat di luar negara, serta karyawan Islam bukan warga Singapura yang bekerja di sini.
Inisiatif itu dilancarkan Pengarah Eksekutif AMP Singapura, Encik Mohksin Rashid, semasa Sidang Puncak Karyawan Muslim 2025 anjuran AMP Singapura di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec pada 1 November.
Dengan landskap isu yang semakin meluas di peringkat global, Encik Mohksin berharap Gems membuka ruang untuk AMP menjalin semula hubungan dengan warga Singapura yang berkhidmat di luar negara.
“Tujuan Gems ialah untuk kami mempelajari daripada kedua-dua kumpulan ini, berkongsi ilmu, meluaskan pandangan, serta meneroka peluang yang wujud di luar negara.
“Menerusi Gems, kami akan menganjurkan pelbagai kegiatan yang memberi peluang untuk mengenali negara lain dengan lebih mendalam,” jelas Encik Mohksin.
Antara kegiatan tersebut termasuk sesi pendekatan dalam talian, serta sesi perbincangan fireside chat.
“Sebenarnya, kegiatan seperti ini telah dijalankan sejak beberapa tahun lalu, namun kali ini merupakan kali pertama ia dihimpunkan di bawah satu inisiatif bagi mengetengahkan dan meraikan individu terbabit,” tambahnya.
Menurut Encik Mohksin, individu yang menjadi sebahagian daripada Gems juga akan diketengahkan dalam penerbitan AMP yang dipanggil Karyawan, bagi menonjolkan sumbangan dan pencapaian mereka.
Beberapa daripada individu tersebut turut hadir di Sidang Puncak Karyawan Muslim 2025 yang menampilkan dua sesi perbincangan panel.
Panel tersebut membincangkan beberapa isu utama termasuk ciri-ciri yang dicari oleh majikan dalam seorang pekerja, apa yang menjadikan seseorang itu sebagai pemimpin, serta kekurangan yang dihadapi oleh golongan Muslim di tempat kerja untuk mencapai kejayaan.
Sesi panel pertama terdiri daripada ahli panel, pengasas M2M Digital Pte Ltd, Cik Faradilla Abdullah; ketua pegawai eksekutif (CEO) City Energy Pte Ltd, Encik Firdaus Ong; dan ketua pegawai operasi (COO) C-Leanship, Encik Syahrul Hatta; serta pengarah urusan Rice Media, Encik Khai Asyraf, selaku moderator.
Sesi panel kedua pula terdiri daripada ahli panel, mantan CEO Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd, Datuk Hishammudin Hasan; pengasas bersama Takva, Cik Meryem Chin; dan rakan kongsi Investible, Encik Khairu Rejal; serta ketua pendidikan pemasar kanan LinkedIn, Cik Natasha Salleh, selaku moderator.
Menurut pihak AMP, kira-kira 500 peserta hadir di Sidang Puncak Karyawan Muslim 2025.
Ini kali pertama AMP Singapura menganjurkan sidang puncak sedemikian, dan ia merupakan acara utama di bawah wadah Kolektif Karyawan Muslim (MPC) yang dilancarkan pada Oktober 2024 bagi memupuk ekosistem karyawan Islam yang dinamik di Singapura.
Mengulas tentang matlamat penganjuran sidang puncak itu, Encik Mohksin berkata:
“Harapan saya ialah untuk para hadirin mengenali karyawan lain, berpeluang untuk dapat pekerjaan lebih baik, dan meluaskan rangkaian mereka.
“Menurut maklum balas daripada kegiatan tahun lepas, para peserta berkata mereka lebih yakin untuk memasuki alam pekerjaan.
“Kami mahu melibatkan lebih ramai hadirin atau karyawan yang ingin meluaskan lagi rangkaian sosial mereka untuk terus berjaya dalam kerjaya masing-masing.”
Dalam ucapannya kepada para hadirin, Encik Mohksin turut berkongsi bagaimana masyarakat Melayu di Singapura menunjukkan kemajuan ketara dari segi pendidikan dan pekerjaan merentasi generasi.
Demikian menurut dapatan awal kajian baru yang dijalankan sayap penyelidikan AMP Singapura, Pusat Penyelidikan Hal Ehwal Islam dan Melayu (Rima).
Kajian itu, yang dimulakan pada Oktober 2024, telah melibatkan 267 responden setakat ini.
Berdasarkan kajian tersebut, hampir 60 peratus datuk dan nenek responden hanya berkelulusan sekolah rendah atau tidak mempunyai pendidikan formal.
Di samping itu, 74 peratus ibu bapa responden telah mencapai sekurang-kurangnya tahap sekolah menengah.
Kini, hampir 90 peratus responden mempunyai sekurang-kurangnya diploma atau Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘A’, manakala 22 peratus memiliki ijazah sarjana atau Doktor Falsafah (PhD).
“Ini menunjukkan kemajuan pendidikan yang amat membanggakan dalam masyarakat kita,” kata Encik Mohksin.
Menurut pihak AMP Singapura, dapatan penuh kajian tersebut akan diterbitkan selewat-lewatnya pada suku pertama 2026.
Kajian tersebut juga mendapati peningkatan besar dalam jenis pekerjaan antara generasi.
Sekitar 40 peratus datuk dan nenek responden bekerja sebagai karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET), berbanding 91 peratus daripada responden sendiri yang kini tergolong dalam kumpulan itu.
Encik Mohksin berkata dapatan awal kajian itu menunjukkan bahawa masyarakat Melayu Singapura telah mencapai kemajuan yang boleh diukur dalam bidang pendidikan.
“Kita bukan lagi sekadar berusaha mendapatkan peluang, tetapi kini berusaha mencapai kecemerlangan.
“Namun, pendidikan hanyalah satu bahagian daripada kisah ini.
“Bab seterusnya ialah bagaimana kita menukar pendidikan yang diperoleh menjadi kepimpinan, pengaruh, dan pertumbuhan jangka panjang untuk diri kita sendiri, keluarga, serta masyarakat,” kongsinya.
“
“Tujuan Gems ialah untuk kami mempelajari daripada kedua-dua kumpulan ini, berkongsi ilmu, meluaskan pandangan, serta meneroka peluang yang wujud di luar negara. Menerusi Gems, kami akan menganjurkan pelbagai kegiatan yang memberi peluang untuk mengenali negara lain dengan lebih mendalam.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg