Sejak di sekolah rendah, Cik Siti Nurasyirah Mohammad Hery, 18 tahun, sudah memikul tanggungjawab menjaga adik lelakinya yang kini berusia 13 tahun.
Selepas sekolah, beliau akan mengambil adiknya dari prasekolah dan apabila adiknya sudah berada di sekolah rendah, dari pusat penjagaan pelajar pula.
Di rumah, beliau memastikan adiknya makan, mandi dan membantu adiknya membuat kerja sekolah selain membantu kerja rumah.
Ibunya, seorang ibu tunggal, bekerja syif selama 12 jam hampir setiap hari sebagai kakitangan hotel.
Manakala kakak Cik Siti Nurasyirah pula sibuk menjalani latihan amali dalam jurusan kejururawatan di Politeknik Nanyang.
Memandangkan ibunya sibuk mencari rezeki, Cik Siti Nurasyirah, kini penuntut jurusan Sains Farmaseutikal di Politeknik Republic, biasanya hanya dapat melihat ibunya pada hujung minggu.
“Kalau ibu kerja syif pagi, dia sudah keluar rumah pada 5 pagi dan kami, adik-beradik masih tidur.
“Kalau ibu kerja syif malam, kami dapat jumpa sekejap kerana dia keluar rumah pada 6 petang dan balik pada 9 pagi.
“Jadi, kami perlu berdikari dan pandai-pandai jaga diri sendiri,” kata Cik Siti Nurasyirah.
Namun, biarpun terpaksa mengimbangi tanggungjawab sebagai pelajar dan penjaga adiknya, Cik Siti Nurasyirah yang menginap di flat sewa dua bilik di Ang Mo Kio, terdorong mahu terus belajar dan mencapai kejayaan kerana ingin mengubah hidup keluarganya.
Justeru, walau penat pada waktu malam, beliau sanggup mengorbankan waktu tidur untuk menyelesaikan kerja sekolah dan mengulang kaji pelajarannya.
“Selalunya pada waktu petang, saya tolong adik saya membuat kerja sekolahnya. Sebab itu, saya selalu belajar pada waktu malam.
“Tetapi, adakalanya, saya rasa tertekan dan macam hendak putus asa kerana sudah penat, terutama, jika saya ada banyak kerja sekolah.
“Nasib baik, saya ada kawan-kawan yang akan buat panggilan video dan kami akan belajar bersama-sama dan beri kata-kata semangat kepada satu sama lain,” tambah Cik Siti Nurasyirah.
Cik Nurasyirah yang membesar dengan Skim Bantuan Kewangan (FAS) Kementerian Pendidikan (MOE) tidak menafikan bahawa keadaan kewangan keluarganya memang sempit kerana pendapatan ibunya tidak mencukupi untuk menampung kos perbelanjaan sekolahnya.
Bagaimanapun, ibunya sering mengingatkan beliau supaya bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian, bagi memberinya galakan untuk belajar.
“Ibu selalu ingatkan saya bahawa saya akan dapat menikmati hasil usaha kerja keras saya pada suatu hari nanti. Buat masa ini, ibu mahu saya fokus terhadap pendidikan saya,” katanya.
Ternyata, sikap Siti Nurasyirah yang tidak pernah mengeluh walaupun penat dan hidup dalam serba kekurangan telah melihatnya mencapai kecemerlangan.
Beliau bersyukur apabila tersenarai sebagai penerima dermasiswa AMP dan menerima bantuan melalui Dana Siap Ke Sekolah (RFS) AMP pada 2025.
Sokongan dana bernilai $500 dalam bentuk wang tunai itu mengingatkannya beliau tidak bersendirian dalam perjalanan menuju kecemerlangan.
Mengulas tentang sokongan Dana Siap Ke Sekolah RFS AMP, Cik Siti Nurasyirah menambah:
“Saya amat bersyukur kerana ditawarkan dermasiswa AMP.
“Ia bukan sahaja memberi saya sokongan kewangan bahkan merupakan satu galakan kepada saya, kerana saya tahu ada orang yang percayakan pelajar seperti saya dan mahu membantu kami berjaya.
“Dermasiswa ini telah meringankan beban kewangan saya di rumah.
“Ibu saya tidak lagi perlu memberi saya elaun tambahan dan ini melegakannya.
“Sokongan ini bantu saya tampung perbelanjaan harian seperti tambang pengangkutan dan makan minum dan saya juga dapat ketepikan sedikit untuk simpanan peribadi.
“Ia juga membantu saya berdikari dan mengamalkan sikap bertanggungjawab.
“Lebih penting lagi, ia memberi saya motivasi agar kekal fokus dan melakukan yang terbaik untuk pelajaran saya. Saya benar-benar mahu memanfaatkan peluang ini sebaik mungkin.”
Sebelum ini, beliau pernah menerima pelbagai anugerah Edusave merit dan biasiswa dari 2019 hingga 2022.
Di sekolah menengah, beliau muncul sebagai salah seorang pelajar terbaik peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘N’ yang melayakkan beliau menyertai Program Asas Politeknik (PFP) bagi jurusan Sains Farmaseutikal di RP.
Beliau juga berjaya menerima dermasiswa dan komputer riba dengan subsidi Politeknik Republic sekali gus membantu meringankan beban kewangannya pada 2024.
Memandang ke hadapan, beliau berharap dapat meneruskan pengajian di universiti secara sambilan sambil ekerja dalam bidang farmaseutikal.
“Saya mendapati bidang Sains Farmaseutikal ini menarik kerana saya dapat pelajari tentang isu-isu kesihatan dan perubatan.
“Pada masa yang sama, saya juga sedang menerokai jurusan lain yang saya boleh ceburi apabila saya melanjutkan pengajian di universiti nanti,” kata Cik Siti Nurasyirah.
Justeru, apakah nasihat beliau kepada pelajar yang mungkin mengalami cabaran hidup sepertinya?
“Mereka akan kadangkala berasa kehilangan dan mahu berputus asa.
“Tetapi, saya nasihatkan mereka agar bersabar dan cuba mengatasi cabaran mereka.
“Jika mereka perlu minta bantuan, cuba cari bantuan dan jika perlu berehat, luangkan masa untuk berehat,” tambah Cik Nurasyirah.
SEKILAS I:
Maklumat mengenai Dana Siap Ke Sekolah (RFS) AMP
– Dilancarkan pada 2002, ia membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah untuk buat persediaan ke sekolah.
– Sejauh ini, Dana RFS telah mengagihkan $5.56 juta bagi membantu lebih 20,000 pelajar.
SEKILAS II:
Salurkan sumbangan anda kepada Dana Siap Ke Sekolah (RFS) AMP menerusi:
1. Pautan ampdonate.sg/rfs
2. PayNow ke UEN199105100D. Di ruang komen, catatkan <Nombor NRIC> diikuti dengan <RFSBM>. Contoh: S1234567A RFSBM. Sila hantar salinan transaksi ke talian WhatsApp 9737-2558.
3. E-mel kepada fundraising@amp.org.sg, atau hubungi talian 6416-3966 untuk maklumat lanjut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg