Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Amy Khor: Apartmen jagaan masyarakat di Bukit Batok akan siap tidak lama lagi

Dijangka siap antara Sep dengan Okt 2024 selepas ditangguh ekoran isu dengan bekas kontraktor utama
Aug 28, 2024 | 3:57 PM
Flat perumahan awam mesra warga emas di Harmony Village @ Bukit Batok seperti gambaran artis ini akan disediakan dengan kelengkapan mesra warga emas, seperti bilik mandi yang boleh diakses kerusi roda dengan lantai kalis gelincir dan palang pegang.
Flat perumahan awam mesra warga emas di Harmony Village @ Bukit Batok seperti gambaran artis ini akan disediakan dengan kelengkapan mesra warga emas, seperti bilik mandi yang boleh diakses kerusi roda dengan lantai kalis gelincir dan palang pegang. - Foto HDB

Flat perumahan awam mesra warga emas pertama di Singapura yang terletak di Bukit Batok West Avenue 9 tidak lama lagi akan menyambut kedatangan penduduk baru.

Ini selepas penangguhan tiga hingga empat bulan ke tarikh penyiapan projek itu disebabkan isu dengan bekas kontraktor utamanya.

Dijangka siap pada suku kedua 2024 sebelum ini, projek itu kini dijangka siap antara September dengan Oktober 2024.

Anggota Parlimen (AP) Hong Kah North, Dr Amy Khor, berkata dalam hantaran Facebook pada 28 Ogos bahawa beliau telah melihat sekilas apartmen penjagaan masyarakat itu yang “tidak lama lagi akan siap” di Harmony Village @ Bukit Batok, serta pusat penjaja 400 tempat duduk di tingkat bawah pembangunan itu, lapor The Straits Times.

Dr Khor berkata beliau tidak sabar melihat pembangunan tersebut siap dibina dan menyambut kedatangan penduduk.

Apartmen penjagaan masyarakat ialah konsep perumahan awam mesra warga emas yang dibangunkan bersama oleh Kementerian Pembangunan Negara (MND), Kementerian Kesihatan (MOH) dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Ia bertujuan menyediakan lebih banyak pilihan perumahan untuk warga emas di tengah-tengah penduduk yang semakin menua.

Kumpulan perintis flat sedemikian telah dilancarkan pada Februari 2021.

Setiap unit akan dilengkapi dengan kelengkapan mesra warga emas, seperti bilik mandi yang boleh diakses kerusi roda dengan lantai antigelincir dan palang pemegang.

Penduduk juga perlu melanggan pakej perkhidmatan asas, yang termasuk pemantauan kecemasan 24 jam dan pemeriksaan kesihatan asas.

Seorang pengurus masyarakat di tapak pembangunan juga akan membantu menghubungkan penduduk dengan perkhidmatan penjagaan relevan yang memenuhi keperluan mereka, membantu dengan pembaikan rumah yang mudah dan mengatur kegiatan masyarakat.

Penduduk juga boleh menambah, dengan kos tambahan, perkhidmatan penjagaan pilihan tambahan bergantung pada keperluan dan pilihan penjagaan mereka.

Contoh perkhidmatan pilihan termasuk bantuan dengan kegiatan kehidupan harian mereka, serta perkhidmatan isi rumah seperti penghantaran makanan, dobi dan khidmat mengemas.

Semua penduduk juga akan diberi keutamaan untuk kemasukan ke Rumah Penjagaan Bukit Batok yang berhampiran sekiranya terdapat keperluan pada masa depan.

Pembeli flat ini mesti berusia 65 tahun ke atas dan boleh memilih untuk pajakan yang bermula dari 15 tahun.

Pada 9 Januari 2023, HDB telah menamatkan perkhidmatan kontraktor utama JSM Construction Group kerana “kemajuan tapak yang tidak memuaskan”.

HDB kemudiannya melantik Qingjian International (South Pacific) Group Development Co. untuk mengambil alih projek itu pada 14 Februari.

Setelah perubahan dilakukan, HDB pada awalnya menilai bahawa ia boleh memenuhi garis masa penyiapan pada suku kedua 2024 dengan bekerjasama rapat dengan kontraktor baru dan melaksanakan langkah untuk mempercepatkan pembinaan.

Langkah sedemikian termasuk menggunakan lebih banyak jentera, mengupah subkontraktor tambahan dan menjalankan kerja yang lebih senyap, seperti melepa dan mengecat selepas waktu pejabat dan pada hujung minggu mengikuti had bunyi bising dibenarkan yang ditetapkan oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).

Namun, HDB berkata ia menghadapi lebih banyak kekangan operasi di tapak – termasuk waktu terhad untuk kerja pembinaan yang bising seperti penggerudian.

Pembeli dimaklumkan mengenai penangguhan itu pada 8 November 2023.

Kemudian, HDB mengakui bahawa penangguhan itu telah menjejas pembeli dan menyatakan ia akan terus bekerjasama rapat dengan kontraktor untuk mempercepatkan pembinaan, tanpa menjejas mutu dan keselamatan projek.

Sementara itu, pusat penjaja baru di tingkat bawah pembangunan Harmony Village @ Bukit Batok dijadualkan buka pada suku kedua 2025.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg