Sebanyak 26 kawasan dalam kejiranan HDB yang menjadi tempat tinggal lebih ramai penduduk warga emas telah dipilih untuk menjalani program peningkatan baru.
Ini termasuk membina taman dan kemudahan kesihatan yang bertujuan menjadikan kawasan itu lebih mesra warga emas menjelang 2029.
Program Peningkatan Warga Emas (SUP) itu memberi tumpuan kepada kawasan dalam kejiranan HDB atau presint yang didiami lebih ramai penduduk warga emas tetapi mungkin tidak layak menjalani peningkatan di bawah Program Pembaharuan Kejiranan (NRP), kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee pada 25 Ogos.
SUP yang akan memberi manfaat kepada sekitar 24,000 warga emas, akan dibiayai sepenuhnya oleh pemerintah.
Ia akan dilaksanakan di empat presint di Chong Boon dan Ang Mo Kio dahulu, sebelum diperkenalkan kepada 22 presint lain di bandar Ang Mo Kio, Bukit Merah, Queenstown dan Toa Payoh.
Presint dipilih menjalani SUP berdasarkan kadar penduduk yang berumur 55 tahun ke atas berbanding purata kebangsaan.
Mengumumkan program baru itu di satu kegiatan masyarakat di Ang Mo Kio pada 25 Ogos, Encik Lee, berkata ramai warga emas yang tinggal di estet perumahan yang mungkin tidak layak menjalani NRP boleh meraih manfaat jika tempat tinggal mereka dipertingkat.
Diperkenalkan pada 2007, NRP memperuntuk peningkatan bagi flat dan kejiranan seperti membina laluan pejalan kaki berbumbung dan sudut senaman.
Parlimen diberitahu pada Mac 2024 bahawa projek NRP di masa depan akan merangkumi pembinaan kemudahan lebih mesra warga emas yang membolehkan kumpulan ini terus aktif dan selamat di kejiranan masing-masing.
“Selain di rumah, kami juga mahu estet kejiranan kita lebih selamat untuk warga emas bagi membolehkan mereka bergerak secara berdikari serta kekal aktif dan terlibat dalam masyarakat,” ujar Encik Lee.
HDB berkata peningkatan di bawah SUP akan disesuaikan mengikut keperluan setiap kejiranan dan mengambil kira maklum balas penduduk.
Justeru, penduduk boleh menjangka kemudahan penuaan aktif seperti taman terapeutik, laluan pejalan kaki dan tempat berehat di sepanjang laluan serta unsur mesra demensia.
Biasanya, sesebuah presint mempunyai sehingga sekitar 1,000 unit flat HDB dan sesebuah kejiranan boleh merangkumi beberapa presint. Kelompok beberapa kejiranan pula membentuk sesebuah bandar.
Program baru itu selaras dengan usaha Sihat Menua SG atau Age Well SG, yang dilancarkan pada 2023 dan bertujuan menyokong warga emas berdikari dan menua secara aktif dalam masyarakat.
Secara keseluruhan MND akan membelanjakan $600 juta bagi usaha Sihat Menua SG, termasuk bagi SUP.
Sekitar seorang dalam lima rakyat Singapura (20 peratus) berusia 65 tahun dan ke atas. Menjelang 2030, peratusan ini akan meningkat kepada sekitar seorang dalam empat warga, atau 25 peratus.
“Sedang penduduk Singapura semakin menua, keperluan mereka akan berubah,” ujar Encik Lee.
Pada 25 Ogos, sekitar 30 penduduk warga emas mengambil bahagian dalam Acara Berjalan Kaki bagi Peningkatan Masyarakat (CIP) di mana mereka juga berpeluang menyumbang idea mengenai cara terbaik mempertingkat presint Chong Boon supaya menjadi lebih mesra warga emas.
Seorang peserta, Encik Roselan Pane Anwar, 55 tahun, melahirkan harapan agar lebih banyak ruang sosial diadakan di tempat tinggal beliau yang boleh digunakan untuk mempererat hubungan dengan isteri dan dua anaknya yang masih bersekolah.
Ini termasuk mengadakan taman permainan serta tempat duduk bagi penduduk semasa menemani anak-anak yang bermain di sana, kata beliau, yang juga Pengerusi Rangkaian Penduduk (RN) Cheng San Oak dan Naib Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) di Kelab Masyarakat Cheng San.
Anggota Parlimen (AP) GRC Ang Mo Kio, Cik Nadia Samdin, pula berkata:
“Program peringkat nasional seperti Program Peningkatan Warga Emas (SUP) boleh bantu beri nafas baru kepada kejiranan dan rumah kita untuk membantu rakyat Singapura mengharungi setiap peringkat kehidupan.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg