Ketika membesar, Cik Nazeerah Alla’udin ghairah menanti waktu bersahur ketika Ramadan.
Ini kerana masa bersahur adalah masa yang dapat diluangkan bersama bapanya, Allahyarham Alla’udin Mohamed.
“Pertama kali saya berbuka puasa di rumah bersama ayah adalah apabila saya di usia remaja.
“Sebelum Masjid Khalid ditutup bagi usaha menaik taraf pada 1996, saya tidak dapat rasakan suasana berbuka bersama bapa.
“Jadi apabila masjid ditutup, ibu saya sebenarnya sangat gembira kerana bapa kini ada di rumah,” seloroh Cik Nazeerah, 45 tahun, ketika ditemui Berita Harian (BH) dalam satu wawancara pada 1 Oktober.
Di sebalik keterbatasan masa yang memisahkan mereka, anak sulung lima beradik itu tidak pernah merasakan kehilangan sosok seorang bapa dalam hidupnya.
Allahyarham, yang telah menghembuskan nafas terakhirnya pada 14 November 2024, dikenang ramai atas jasanya selama berdekad lama kepada masyarakat.
Allahyarham berkhidmat sebagai Pengerusi Masjid Khalid selama 30 tahun, bermula sebagai sukarelawan sejak remaja, semasa menjadi pelajar di Sekolah Menengah St Andrew.
Selain itu, Allahyarham pernah mempengerusi Kumpulan Keharmonian Antara Kaum dan Agama (IRCC) Geylang Serai dan juga Khidmat Kaunseling Muslim yang kini dikenali sebagai Khidmat Masyarakat Mawar (MCS).
Sumbangannya yang luar biasa telah membentuk landskap sosioagama Singapura dan baktinya untuk memupuk keharmonian sosial, pendidikan agama dan kebajikan masyarakat tidak dapat dilupakan.
Allahyarham dianugerahkan Anugerah Jasa Sejati (Anumerta) semasa Anugerah Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) 2025, yang telah diterima Cik Nazeerah pada 4 Oktober di Istana.
“Jika Allahyarham ayah saya masih berada di sini, sudah pasti beliau akan berasa terharu diiktiraf dengan anugerah ini.
“Allahyarham ayah saya sudah pasti akan berkata bahawa ini bukan pengiktirafan buat dirinya sendiri, tetapi juga untuk rakan seperjuangannya, terutama sekali mereka yang berada di Masjid Khalid yang sentiasa bersamanya melakukan projek-projek amal untuk masyarakat,” kata Cik Nazeerah sambil gagal mengawal perasaan sedih.
Beliau menambah penghargaan yang diterima amat bermakna sekali bagi ibunya serta empat orang adik-beradiknya yang lain.
Meskipun bangga dengan pencapaian yang diraih, perasaan sebak dan rindu menyelubungi diri Cik Nazeerah yang berkongsi bagaimana bapa tercinta telah meninggalkan kesan yang mendalam bukan sahaja kepada masyarakat, bahkan dalam dirinya juga.
Menurut Cik Nazeerah, bapanya mungkin tidak akan dapat berjasa selama 30 tahun tanpa sokongan yang tidak putus daripada ibunya.
“Ibu pernah berkongsi dengan saya bagaimana beliau telah menjaga lima orang anak kecil sendiri apabila bapa tiada rumah.
“Bayangkan suami anda tiada di rumah setiap hari semasa Ramadan dan anda perlu mengendalikan segalanya sendiri.
“Selama 48 tahun mereka hidup bersama dan tidak pernah sekalipun ibu mengeluh atau membuat kami rasa kehilangan, kerana beliau sering berpesan, “daddy perlu bantu orang, jadi kamu harus berkelakuan baik” kepada kami,” kata Cik Nazeerah dengan suara terketar-ketar.
Memegang pesanan itu dekat di hati, Cik Nazeerah, guru bahasa Melayu di Sekolah Rendah CHIJ Katong Convent, juga menyumbang kembali kepada masyarakat dengan caranya tersendiri.
“Sesuatu yang Allahyarham bapa saya selalu berpesan kepada kami adalah, jika ingin melakukan sesuatu, lakukannya dengan sepenuh hati.
“Jadi, sebagai guru, saya memegang kepada prinsip itu, untuk menjadi seorang yang tegas namun penyayang pada masa yang sama,” ujarnya.
Cik Nazeerah berharap agar masyarakat yang menyayangi dan mengenang budi Allahyarham, dapat meneruskan legasinya dengan menyumbang semula dan membantu yang lain dengan ikhlas juga.
“
Jika Allahyarham ayah saya masih berada di sini, sudah pasti beliau akan berasa terharu diiktiraf dengan anugerah ini. Allahyarham ayah saya sudah pasti akan berkata bahawa ini bukan pengiktirafan buat dirinya sendiri, tetapi juga untuk rakan seperjuangannya, terutama sekali mereka yang berada di Masjid Khalid yang sentiasa bersamanya melakukan projek-projek amal untuk masyarakat.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg