Selama beberapa dekad, aroma bubur masjid dan beriani dam yang baru dimasak memenuhi ruang udara Masjid Khalid di Onan Road, sebagai satu tradisi Ramadan yang diamalkan dari zaman masjid itu dipimpin mantan pengerusinya, Allahyarham Haji Alla’udin Mohamed.
Amanah memasak beriani itu dijalankan dengan begitu teliti dan terperinci, daripada memotong bawang kepada menggaul beriani dalam periuk bersama bahan wajib seperti safron, ghee dan tairu.
Bagaimanapun, pada Ramadan kali ini (2025), wujud satu kelainan dan terasa kekosongannya. Ini merupakan kali pertama golongan sukarelawan masjid ini mengusahakan beriani kegemaran ramai tanpa Allahyarham yang meninggal dunia pada 14 November 2024.
Sungguhpun begitu, legasinya terus dikenang dan diteruskan sampai bila-bila.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), pengerusi Masjid Khalid, Dr Mohamed Ariffin Mohamed Kawaja Kamaludin, berkata tradisi menyediakan bubur dan beriani ini kekal tidak berubah meskipun ketiadaan Allahyarham Alla’udin amat dirasai.
“Dalam tempoh Allahyarham menjadi pengerusi masjid, beliau telah mewujudkan operasi di mana beriani tetap disediakan setiap Ramadan. Tradisi yang beliau wujudkan selama lebih 20 tahun ini telah menjadi sebahagian daripada identiti masjid kami,” kongsi Dr Ariffin.
Namun, di sebalik segalanya, cabaran tetap dihadapi.
Dr Ariffin berkongsi sebelum pemergiannya, Allahyarham sendiri sudah menyedari perubahan dalam landskap sukarela di masjid itu.
“Ketika Covid-19 melanda, kami tidak dapat memasak seperti biasa dan terpaksa menempah makanan dalam jumlah yang lebih kecil. Ramai sukarelawan, yang dahulunya tulang belakang dalam usaha menyediakan makanan, sudah lanjut usia atau telah tiada.
“Allahyarham pernah menyuarakan kebimbangannya kepada saya - bahawa keadaan sudah tidak sama lagi,” kata beliau.
Bagi memastikan legasi ini terus hidup, Masjid Khalid kini bekerjasama dengan Hab Perkhidmatan Masyarakat Mawar (MCS), yang membawa masuk lebih ramai sukarelawan untuk menghidupkan semula tradisi memasak setiap hari seperti pada masa lalu.
Tradisi memasak bubur masjid dan beriani dam ini diadakan di MCS, yang terletak di 69A Onan Road.
Menurut Dr Ariffin, gabungan ini bukan sahaja meringankan beban sukarelawan Masjid Khalid, tetapi juga menggabung tenaga muda dan berpengalaman dalam satu pasukan yang lebih besar.
“Kami mahu mengembalikan suasana seperti dahulu - senyuman, gelak tawa, dan semangat gotong-royong. Pada 2024, apabila hanya sukarelawan Masjid Khalid yang menguruskan semuanya, ia agak mencabar.
“Dengan adanya sokongan MCS, saya yakin legasi ini dapat diteruskan dengan lebih kukuh,” katanya lagi.
Di samping itu, Masjid Khalid juga bergantung kepada sekumpulan sukarelawan berpengalaman yang telah bertahun-tahun lamanya menguruskan bubur masjid dan beriani dam.
“Terdapat empat hingga lima sukarelawan yang tahu tentang resipi dan cara untuk menyediakan hidangan tersebut seperti bagaimana yang dilakukan Allahyarham,” jelas Dr Ariffin.
Justeru, walau kerja memasak bubur dan beriani dam beralih ke dapur di MCS, legasi Allahyarham terpahat kukuh di Masjid Khalid.
“Ramadan kali ini akan terasa berbeza, tetapi intipatinya tetap sama - menyediakan ruang solat, menawarkan tempat untuk masyarakat berkumpul untuk berbuka puasa, dan melibatkan diri dalam projek yang bukan sahaja melibatkan jemaah kita sendiri, tetapi juga mereka yang datang daripada agama berbeza.
“Itulah yang sebenarnya penting bagi kami,” ujar Dr Ariffin.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg