Ibunya pernah mewarnai pentas Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) sebagai seorang penari pada 1994.
Kini, 30 tahun kemudian, giliran anaknya, Ilhan Dayyan Iskandar, 15 tahun, meneruskan legasi ibunya sebagai seorang penari di NDP 2024.
Walaupun terlibat dalam segmen tarian, pelajar Menengah 3 dari Sekolah Menengah Yuying itu tidak mempunyai sebarang pengalaman sebagai penari.
Ini bagaimanapun tidak menimbulkan masalah bagi Ilhan disebabkan dorongan serta nasihat sang ibu, Cik Sulaiza Sulaiman, yang pernah terlibat dalam kegiatan kokurikulum (CCA) tarian Melayu di sekolah menengah.
“Saya dan ibu sering berkongsi pengalaman. Ibu sentiasa bersedia beri nasihat setiap kali saya mempunyai masalah berkaitan NDP,” ujar Ilhan.
Ilhan, yang akan melakukan persembahan di segmen prapembarisan, berkata nasihat ibunya akan memberikannya keyakinan untuk menari.
Antara nasihat yang diberikan ibunya ialah “jangan pedulikan kata-kata negatif orang lain” ketika Ilhan menyuarakan kesulitan menari.
“Ibu saya merupakan sumber motivasi utama saya.
“Saya rasa gembira dapat lakukan perkara yang sama di pentas seperti ibu saya,” tambah Ilhan yang turut bersyukur atas peluang yang berharga ini.
Ilhan, yang menyertai CCA bermain gitar di sekolah, secara tidak langsung terpilih untuk terlibat dalam segmen prapembarisan NDP apabila sekolahnya meminta lebih daripada 100 pelajar dari CCA kesenian untuk turut serta.
Selain daripada dorongan ibu, Ilhan juga membuat kawan dengan pelajar dari pelbagai sekolah menengah yang turut tidak mempunyai pengalaman menari, untuk meningkatkan prestasi persembahan tarian.
“Bagi yang tidak mempunyai pengalaman menari, kami akan sering bersama dan berbincang bagaimana ingin membuat tarian kami lebih lancar.
“Saya juga ada menanyakan kawan-kawan yang lebih berpengalaman tentang apa yang harus saya lakukan. Mereka banyak mengajar saya,” tambah Ilhan yang berkongsi bahawa latihan NDP sudah bermula seawal Februari.
Di samping CCA gitar pada setiap Selasa dan Jumaat, dia juga mempunyai kegiatan luar sekolah seperti silat yang berlangsung pada Rabu dan Jumaat atau Isnin dan Jumaat.
Apabila ditanya Berita Harian (BH) bagaimana dia menguruskan masa dengan pelbagai tanggungjawab, Ilhan berkata sejak menyertai NDP, dia mula mengatur masa dengan lebih baik.
“Saya cuba sedaya upaya untuk melengkapkan tugasan diberikan. Waktu rehat di silat atau CCA gitar saya akan gunakan untuk menghabiskan kerja sekolah,” kongsinya.
Walaupun penat melalui persiapan untuk NDP, Ilhan tidak serik dan ingin melaluinya sekali lagi.
“Apabila saya lihat penonton menantikan persembahan kami, ia membuat saya teruja untuk memberikan persembahan yang terbaik.
“Saya minat seni dan apabila penonton gembira dan terkesan dengan persembahan saya, saya gembira,” ujarnya.
“
Apabila saya lihat penonton menantikan persembahan kami, ia membuat saya teruja untuk memberikan persembahan yang terbaik. Saya minat seni dan apabila penonton gembira dan terkesan dengan persembahan saya, saya gembira.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg