Beberapa perkhidmatan bas yang melalui kawasan bandar akan dilencongkan berikutan acara pranonton Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) pada 3 Ogos, dan pertunjukan sebenar NDP iaitu pada 9 Ogos
Perkhidmatan dengan hentian di sepanjang Beach Road, Bras Basah Road, North Bridge Road, Parliament Place, Raffles Avenue dan Raffles Boulevard antara yang terjejas.
Perkhidmatan SMRT 61, 960, 960e, 961 dan 961M akan melangkau beberapa perhentian bas pada waktu tertentu hari itu, lapor The Straits Times.
Perkhidmatan 961 dan 961M akan melangkau dua hentian, satu selepas Raffles Hotel dan satu lagi di Supreme Court sepanjang hari.
Perkhidmatan 961M, yang hanya beroperasi pada Ahad dan cuti umum, juga akan melangkau Stesen Promenade/Pan Pacific.
Dari 8 pagi hingga 11.59 malam, perkhidmatan bas akan melangkau hentian berikut: Stesen Esplanade Exit F, Shaw Towers, Raffles Hotel, selepas Singapore Flyer, dan Esplanade, The Float @ Marina Bay dan Stesen Promenade/Pan Pacific.
Beberapa hentian akan dilangkau untuk beberapa jam sahaja iaitu perhentian bas yang berhampiran Stesen MRT City Hall Pintu B akan ditutup dari 1 petang hingga 8 malam, manakala perhentian bas bertentangan The Treasury akan ditutup dari 1 petang hingga 3 petang dan dari 6.30 petang hingga 8 malam.
Perkhidmatan 36 dan 518 Go-Ahead Singapore akan melangkau beberapa hentian di sepanjang Bayfront Avenue, Raffles Avenue, Temasek Avenue dan Temasek Boulevard dari 8 pagi hingga 11.59 malam pada 3 dan 9 Ogos.
Perkhidmatan Tower Transit 77, 97, 106, 167 dan 857 turut terjejas.
Perkhidmatan ini akan melangkau beberapa perhentian bas pada 3 Ogos di sepanjang Bayfront Avenue, Bras Basah Road, Cecil Street, Central Boulevard, Collyer Quay, Esplanade Drive, Fullerton Road, Marina Boulevard, Raffles Avenue, Raffles Boulevard, Stamford Road, Temasek Avenue dan Temasek Boulevard.
Masa lencongan berbeza-beza. Untuk maklumat lanjut, penumpang boleh menyemak laman web atau laman media sosial pengendali bas berkenaan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg