Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

CAAS, penguasa Asia-Pasifik lakar garis panduan bagi teksi udara, dron

Apr 3, 2025 | 3:19 PM
Bahan rujukan mengenai pesawat elektrik yang Berlepas dan Mendarat Secara Menegak (eVTOL) seperti teksi udara, serta sistem pesawat tanpa pemandu (UAS), atau dron, telah dikeluarkan pada 2 April.
Bahan rujukan mengenai pesawat elektrik yang Berlepas dan Mendarat Secara Menegak (eVTOL) seperti teksi udara, serta sistem pesawat tanpa pemandu (UAS), atau dron, telah dikeluarkan pada 2 April. - Foto ST

Sebuah garis panduan mengenai penggunaan teksi udara dan dron pada masa depan telah dirangka oleh Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) bersama 23 rakan serantau, termasuk China, India dan Jepun.

Bahan rujukan mengenai pesawat elektrik yang Berlepas dan Mendarat Secara Menegak (eVTOL) seperti teksi udara, serta sistem pesawat tanpa pemandu (UAS), atau dron, telah dikeluarkan pada 2 April.

CAAS sedang mendapatkan maklum balas industri mengenai garis panduan tersebut – merangkumi segala aspek daripada pensijilan dan pengesahan pesawat eVTOL hingga ke pengawalseliaan teksi udara, lapor The Straits Times (ST).

Peraturan ini akan memainkan peranan penting dalam penyepaduan pesawat eVTOL ke dalam sistem ruang udara sedia ada, termasuk kemungkinan laluan penerbangan baru, sekatan altitud, serta protokol komunikasi dengan pengawal trafik udara.

Dengan mengambil kira kepadatan pembangunan di Singapura, CAAS memberi tumpuan kepada cara menyesuaikan penggunaan ruang udara oleh teknologi baru seperti teksi udara, supaya ia selari dengan operasi penerbangan sedia ada, kata Ketua Pengarah CAAS, Encik Han Kok Juan, dalam taklimat media di Lapangan Terbang Changi pada 2 April.

“Tumpuan kami… adalah memastikan Singapura dapat memanfaatkan teknologi dengan selamat,” memandangkan cabaran ruang udara yang terhad dalam persekitaran bandar di sini, kata Encik Han.

“Negara kita kecil. Kita juga mempunyai tahap urbanisasi yang tinggi, dengan ruang udara yang sesak. Ini adalah konteks tempatan yang perlu diambil kira apabila menilai sebarang permohonan, sekiranya ada, berkaitan penggunaan teksi udara.”

Encik Han berkata ia akan mengambil masa untuk melaksanakan peraturan tersebut serta membangunkan keupayaan yang diperlukan untuk menilai permohonan daripada syarikat eVTOL.

Ketua Pegawai Teknologi CAAS, Encik Tan Kah Han, menegaskan bahawa ia juga berkaitan dengan daya maju komersial, yang merupakan isu untuk syarikat-syarikat.

Setakat ini, tiada syarikat eVTOL yang berpusat di Singapura. Pada 2023, syarikat Jerman Volocopter menangguhkan operasi teksi udara di sini untuk tempoh yang tidak ditentukan kerana kekurangan biaya, dan ia kemudian memfailkan kemuflisan pada 2024.

Bahan rujukan ini dikeluarkan pada masa yang tepat berikutan pertumbuhan pesat dan kemajuan dalam industri mobiliti udara.

“Pembangunan yang sangat pantas telah berlaku dalam beberapa tahun kebelakangan ini, didorong oleh kemajuan dalam teknologi, pengelektrikan, autonomi dan sistem digital,” kata Encik Han.

Langkah merangka bahan rujukan ini adalah penting kerana teknologi pesawat eVTOL perlu dikawal selia “untuk memastikan keselamatan penerbangan dan perlindungan orang awam”, dengan setiap negara boleh menyesuaikan bahan rujukan ini untuk mentadbir sektor teksi udara dan dron mereka, jelas Encik Han.

Ketika merangka bahan rujukan setebal 180 halaman itu, para penguasa penerbangan awam telah bersetuju terhadap enam keutamaan utama bagi pesawat eVTOL, termasuk pensijilan, kerjasama antara agensi nasional sesebuah negara, serta latihan tenaga kerja.

Encik Han berkata pembangunan bahan rujukan ini tidak terhenti di sini sahaja, kerana CAAS dan rakan serantau telah bersetuju untuk meneliti serta mengemas kini bahan tersebut seiring dengan perkembangan industri.

CAAS sedang mengumpul maklum balas daripada industri, termasuk pengeluar dan pengendali pesawat eVTOL serta dron, serta pemaju kemudahan, dari 2 hingga 23 April.

Bahan rujukan ini akan diterbitkan pada Julai dan dihantar kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) di bawah pengendalian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada September.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg