Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) komited untuk memperuntukkan $1 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang untuk merangsang tindakan dan kerjasama dalam empat kawasan utama – ketersambungan, infrastruktur, inovasi dan teknologi, serta tenaga kerja.
Ia merupakan tokokan daripada $5 bilion tambahan kepada Dana Pembangunan Lapangan Terbang Changi yang diumumkan oleh Perdana Menteri, merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong.
Bercakap semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Pengangkutan (MOT) di Parlimen pada 5 Mac, Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, menjelaskan bahawa pemerintah menyasarkan untuk membina rangkaian yang lebih besar daripada lebih 200 laluan bandar, menjelang pertengahan tahun 2030-an.
“Dari segi ketersambungan, rangkaian semasa Singapura yang merangkumi lebih 160 laluan bandar menghubungkan kita dengan dunia dan merupakan pemangkin utama ekonomi Singapura.
“Kami bercadang membina rangkaian lebih besar dengan lebih 200 laluan bandar menjelang pertengahan tahun 2030-an, untuk menjadikan Singapura sebagai nod global utama,” kata Encik Chee.
Menurutnya, CAAS akan menyediakan sokongan pembiayaan untuk mempercepatkan pembangunan infrastruktur penggunaan bersama yang akan memberi manfaat kepada semua pengguna lapangan terbang, bagi menyokong operasi lapangan terbang yang canggih, cekap dan kompetitif dari segi kos.
CAAS juga akan bekerjasama dengan industri dan masyarakat penyelidikan untuk membangunkan peta hala tuju teknologi 10 tahun bagi merancang teknologi dan menukarkan penyelidikan dan pembangunan kepada keupayaan operasi yang boleh digunakan di seluruh ekosistem penerbangan.
Di samping itu, ia akan bekerjasama dengan syarikat penerbangan dan kesatuan sekerja untuk membangunkan tenaga kerja yang bermutu.
Tenaga kerja tersebut terdiri daripada nukleus Singapura yang kuat yang dilengkapi dengan pekerja asing yang merupakan penyumbang penting kepada daya saing seluruh Changi.
Untuk membangunkan hab kargo udara, Encik Chee turut berkata pengendali kargo terbesar di Lapangan Terbang Changi, Sats, mempunyai rancangan untuk melabur $100 juta dalam tempoh dua tahun akan datang untuk menaik taraf terminal kargo udara yang sedia ada di Pusat Pengendalian Kargo Udara Changi.
CAAS dan Changi Airport Group (CAG) menyokong masyarakat kargo udara untuk melaksanakan penyelesaian ekosistem digital bagi tempahan slot untuk dok trak (TDSB), yang dijangka dilaksanakan sepenuhnya pada penghujung 2025.
“TDSB mengubah proses pengambilan dan penghantaran kargo dari sistem ‘siapa cepat dia dapat’, kepada sistem yang lebih terancang dan dioptimumkan.
“Ia akan meningkatkan produktiviti dan kecekapan proses yang sedia ada,” kata Encik Chee.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg