Topik diikuti
Pergi ke BHkuAnak okapi pertama di Asia Tenggara lahir di Rainforest Wild Adventure
Anak okapi pertama di Asia Tenggara lahir di Rainforest Wild Adventure
Rainforest Wild Adventure menyambut kelahiran anak okapi, atau zirafah hutan, yang pertama dilahirkan di Asia Tenggara pada 27 Julai.
Mandai Wildlife Group (MWG) berkata pada 24 September bahawa anak jantan itu kini seberat 48 kilogram (kg), lebih seganda berat lahirnya. Anak okapi itu ialah cahaya mata pertama Kisala, tujuh tahun, dan Xandor, empat tahun.
Ia ditempatkan bersama ibunya di Hidden Forest di Rainforest Wild Adventure East.
“Baru-baru ini, mereka dibenarkan keluar, tetapi anak okapi itu masih menyesuaikan diri dengan persekitaran baharunya,” kata Cik Cecilia Tang, Kurator di jabatan Penjagaan Haiwan Mandai.
“Kami membiarkannya meneroka dan membina keyakinan mengikut kemampuannya, jadi ia akan mengambil masa sebelum pengunjung dapat melihatnya dengan lebih kerap.”
Memandangkan anak okapi itu mungkin bersembunyi di kandang terlindung, terdapat alat pemantau yang menayangkan siaran langsung dari tempat tersebut bagi pengunjung yang ingin melihatnya.
Pengunjung yang ingin tahu lebih lanjut juga boleh menyertai sesi bersama penjaga okapi setiap hari pada 10.30 pagi dan 3 petang.
Okapi, spesies sukar ditemui yang berkait rapat dengan zirafah, berasal dari Republik Demokratik Congo (DRC).
Spesies itu dikelaskan sebagai terancam dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN). Mereka hanya dipelihara di segelintir zoo di seluruh dunia.
Menurut MWG, ibu bapanya dibawa ke Singapura menerusi Program Ex situ EAZA, program pembiakan terancang bagi spesies terancam.
Selepas Kisala dipasangkan dengan Xandor, perubahan selera makan dan keadaan tubuhnya mencetuskan kemungkinan ia bunting, yang disahkan melalui pemeriksaan ultrabunyi pada Julai.
Okapi mempunyai antara tempoh bunting paling lama dalam kalangan mamalia berkuku, sekitar 440 hari atau 14 hingga 15 bulan.
Pada peringkat awal, anak okapi biasanya bersembunyi dan tidak banyak bergerak agar tidak dikesan haiwan pemburu, manakala ibunya kembali beberapa kali sehari untuk menyusuinya.
MWG mengundang orang ramai untuk mengundi nama anak okapi itu di media sosial: Imara, “kuat” dalam bahasa Swahili; Mayaka, “mutiara” dalam bahasa Lingala; atau Kiah, “fajar”, “permulaan baharu” atau “permulaan musim” dalam bahasa Swahili.
Bagi meraikan kelahirannya, pelbagai sajian dan cenderamata bertemakan okapi akan ditawarkan di seluruh kawasan Mandai. Antaranya, kek bertemakan okapi di kedai makanan terpilih mulai Oktober serta cenderamata di kedai taman itu.
Rainforest Wild Adventure turut menerima kedatangan sitatunga, sejenis antelop yang hidup di kawasan paya.
Lemur Land pula bakal menerima lemur berjambul dan lemur perut merah secara berperingkat menjelang November 2026, menjadikan jumlah spesies lemur kepada empat di hutan hujan bertemakan Madagascar itu.