Bak sirih pulang ke gagang, begitulah perjalanan politik Anggota Parlimen (AP) GRC Pasir Ris-Punggol, Encik Mohamed Sharael Mohd Taha, buat masa ini.
Selepas kembali ke Singapura setelah beberapa tahun berada di United Kingdom untuk bertugas, Encik Sharael, 43 tahun, menyertai politik pada 2020 dan diberi tanggungjawab berkhidmat kepada penduduk di Pasir Ris.
Perkara itu menggembirakannya, kata Encik Sharael, kerana beliau meluangkan sebahagian besar hidupnya di sana.
“Pasir Ris sentiasa dekat di hati saya kerana saya dibesarkan di sini. Saya tinggal di sini hingga saya berusia 30-an apabila saya pergi ke luar negara atas urusan kerja.
“Jadi apabila saya menjadi Anggota Parlimen untuk Pasir Ris East, ia ibarat satu kepulangan yang manis,” ujar Encik Sharael, ketika bersembang dengan Berita Harian (BH) di sebuah kedai kopi di Pasir Ris.
Wawancara bersama Encik Sharael itu sebahagian, Siri Bersama Anggota Parlimen, menjelang Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), yang memaparkan AP Melayu/Islam dalam kawasan undi masing-masing.
Sebelum menceburi bidang politik pada 2020, Encik Sharael bertugas sebagai jurutera, berbekal ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Nasional Singapura (NUS) yang diraihnya pada 2006.
Beliau, yang mempunyai Sarjana jurusan Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Oxford, memulakan kerjaya sebagai jurutera di Keppel Shipyard sebelum beralih ke Telefonica UK dan Rolls Royce Ptd Ltd.
Sejak 2018, beliau menggalas jawatan Naib Presiden di Singapore Aero Engine Services Pte Ltd (SAESL), entiti yang berhubung kait dengan Rolls Royce Pte Ltd.
Encik Sharael berkata beliau yakin aspek kejuruteraan seperti prinsip analisis dan huraian juga boleh diamalkan dalam kehidupan harian dan ia banyak membantu dalam tugasnya sebagai AP bagi memahami keperluan dan cabaran yang dihadapi penduduk.
“Sebagai jurutera, saya dilatih mencari huraian praktikal. Dalam peranan saya sebagai Anggota Parlimen, pendekatan sama digunakan untuk menangani isu masyarakat.
“Apabila berdepan isu masyarakat, saya cuba memahami puncanya dahulu sebelum mencari penyelesaian terbaik,” jelasnya.
Menyentuh tentang zaman kanak-kanaknya pula, Encik Sharael berkata kejuruteraan memang ada dalam darahnya sejak kecil.
Ayahnya juga bekerja sebagai jurutera sebelum diberhentikan kerja ketika berusia 40-an.
Semasa membesar, beliau dan ayahnya selalu melakukan projek teknikal bersama seperti membaiki kereta dan membuat projek pembaikan rumah.
“Saya masih ingat lagi ayah saya memiliki mesin pemotong kayu. Setiap tahun sebelum Hari Raya, kami akan menggunakan mesin itu untuk melakukan projek pembaikan rumah.
“Antara projek terakhir yang kami lakukan bersama ialah membina dan memasang panel kayu di ruang tamu,” kata Encik Sharael, sambil tersenyum lebar mengenang memori manis itu.
Encik Sharael, ayah kepada tiga anak, juga berkata beliau sangat menggemari bermain Lego ketika membesar dan daripada situ tercetus minatnya menggodek-godek peranti seperti mesin yang sudah rosak.
Menurutnya, beliau melakukan demikian untuk mengenal pasti mengapa mesin itu rosak dan cuba memasang serta memperbaikinya semula.
“Saya ingin tahu apa yang ada di dalam mesin, saya ingin tahu bagaimana sesuatu objek berfungsi dan cara mengubah suai dan memperbaikinya.
“Saya membesar dengan sifat ingin tahu dan saya masih berpegang kepada prinsip itu dalam kehidupan profesional saya.
“Ia disemai dalam diri saya semasa saya masih muda, dan ia masih wujud sehingga kini,” kata Encik Sharael.
Encik Sharael menganggotai pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang bertanding di GRC Pasir Ris-Punggol pada GE2020.
Pasukan PAP itu meraih 64.16 peratus undi, menewaskan Perikatan Demokratik Singapura (SDA) yang mendapat 23.67 peratus undi, serta parti Suara Rakyat (PV) yang mendapat 12.17 peratus undi.
Menurut laporan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) terkini, GRC Pasir Ris-Punggol akan ditiadakan pada GE2025.
Sebaliknya Punggol akan membentuk GRC tersendiri, sementara GRC Pasir Ris-Changi akan dibentuk dengan menggabungkan estet perumahan di Pasir Ris dengan estet perumahan di Loyang dan Flora.
Menurut Encik Sharael, yang juga Pengerusi Majlis Bandaran Pasir Ris-Punggol sejak 2020, berkata usaha meningkatkan mutu kehidupan penduduk berterusan seperti biasa menjelang GE2025.
“Ini termasuk pembinaan stesen MRT Laluan Rentas Pulau (CRL); program untuk dalaman rumah seperti Program Peningkatan Rumah (HIP); serta di kawasan kejiranan seperti Program Pembaharuan Kejiranan (NRP).
“Jadi jika semuanya digabungkan, penduduk Pasir Ris bukan hanya dapat menikmati dalaman rumah yang lebih baik, malah mempunyai kawasan baru di sekitar perumahan dan ketersambungan baik melalui MRT.
“Disebabkan ini, serata Pasir Ris penuh dengan tapak pembinaan.
“Saya mohon agar penduduk bersabar kerana saya harap apabila segala-galanya selesai menjelang 2030, Pasir Ris akan menjadi sebuah bandar baru dan menakjubkan,” jelas Encik Sharael.
Beliau turut menyentuh tentang pembukaan pusat beli-belah baru iaitu Pasir Ris Mall, lengkap dengan pusat makanan Cantine yang menawarkan makanan halal di seluruh gerai.
Langkah itu sebahagian daripada usaha menawarkan lebih banyak makanan halal kepada penduduk Islam di Pasir Ris.
Sebagai penyokong tegar transformasi ke arah masa depan lebih baik, Encik Sharael berkata beliau sentiasa melihat potensi teknologi untuk mempertingkatkan kehidupan seharian.
Malah baru-baru ini, beliau melengkapkan Program Ketua Pegawai Teknologi (CTO) di Wharton School of the University of Pennsylvania bagi memahami bagaimana teknologi boleh digunakan untuk memajukan perniagaan dan masyarakat.
Oleh itu, apabila berpeluang menggabungkan teknologi dengan usaha meningkatkan mutu kehidupan penduduk Pasir Ris, beliau tidak teragak-agak untuk melaksanakannya.
Sebagai contoh, lebih 400 keluarga kurang berkemampuan di Pasir Ris East kini menggunakan aplikasi mudah alih untuk memilih barang keperluan setiap bulan menerusi inisiatif digital dipanggil, ‘Pasir Ris East Care Store’.
Inisiatif itu dilancarkan pada 2022 untuk menyediakan barang keperluan dan makanan percuma kepada keluarga kurang berkemampuan.
Sukarelawan masyarakat kemudian akan mengedarkan barangan seperti beras, mi kering dan makanan dalam tin kepada keluarga tersebut.
Encik Sharael berkata idea bagi inisiatif itu tercetus apabila seorang penduduk warga emas yang menghidapi kencing manis menolak habuan beras kerana masih mempunyai tujuh beg beras dan beberapa botol sirap ros yang belum digunakan.
Ini kerana habuan makanan yang diberikan pada ketika itu tidak mengambil kira keperluan setiap keluarga, ujar Encik Sharael.
“Sebagai contoh, warga emas mungkin memerlukan lampin dewasa. Antara barang yang paling diminati warga emas ialah pembersih gigi palsu, manakala keluarga yang mempunyai anak kecil mungkin memerlukan barang bayi atau susu,” kata Encik Sharael.
Pengagihan habuan tersebut dilakukan sebulan sekali, pada setiap Sabtu ketiga dan memastikan bantuan yang lebih bersasar dan relevan kepada setiap keluarga.
Selain itu, inisiatif ‘Community Makan’ di Pasir Ris juga membantu keluarga berpendapatan rendah dengan memberikan mereka baucar kedai kopi.
Baucar itu boleh ditebus di kedai kopi tertentu pada hujung minggu.
Antara kedai kopi yang menyertai daya usaha itu ialah, ‘Makan Sini’ di Blok 446, Pasir Ris Drive 6, dan usaha sedang dijalankan untuk melibatkan lebih banyak kedai kopi dalam inisiatif itu, jelas Encik Sharael.
Encik Sharael bersyukur kerana kejayaan inisiatif tersebut hanya dapat dilaksanakan dengan kerjasama anggota masyarakat Pasir Ris, termasuk penduduk dan perniagaan tempatan.
“Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Jika hanya bergantung pada seorang untuk membantu semua, sesuatu usaha susah untuk dikekalkan.
“Lebih daripada perubahan prasarana atau program, yang penting ialah bagaimana kita bekerjasama sebagai masyarakat inklusif untuk saling membantu,” ujarnya.
Encik Sharael, yang gemar berbasikal, turut melibatkan diri dalam kegiatan masyarakat, termasuk acara berbasikal tahunan bersama penduduk yang diadakan setiap Ramadan.
Edisi 2025 ‘Ramadan Ride’ bakal diadakan pada malam 21 Mac dan bermula di luar Masjid Al-Istighfar selepas solat tarawih.
Baginya, kegiatan berbasikal beramai-ramai itu bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah menjadi wadah untuk mendekati masyarakat yang mungkin lebih terbuka untuk berkongsi masalah dan pandangan mereka dalam suasana santai.
“Apabila kita melakukan sesuatu bersama, seperti berbasikal, ia mewujudkan rasa kebersamaan dan mempererat hubungan sesama penduduk,” kata Encik Sharael.
Menurutnya, hobi berbasikalnya bermula daripada minatnya terhadap bidang mekanik dan bersenam, dua unsur yang wujud dalam kegiatan berbasikal.
“Apabila saya masih remaja sekitar 14 atau 15 tahun, saya sering berbasikal di Pasir Ris ketika kawasan ini masih dalam pembangunan dan dipenuhi tanah liat,” singkap Encik Sharael.
Melihat masa depan Pasir Ris, Encik Sharael berhasrat untuk terus memperkasakan penduduk dan memperbaiki prasarana demi memastikan kawasan itu kekal menjadi tempat selesa dan kondusif untuk semua.
“Saya mahu Pasir Ris menjadi sebuah kawasan yang mesra keluarga, selamat dan penuh dengan peluang untuk semua lapisan masyarakat,” tambah Encik Sharael.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg