Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Faishal ‘ngopi’ dengan penduduk hingga larut malam

Cinta pada tugas dan khidmat jujur kepada penduduk jadikan urusan lebih mudah selepas hampir 15 tahun di Nee Soon
Mar 1, 2025 | 5:30 AM
Kedai kopi merupakan cara utama Anggota Parlimen (MP) GRC Nee Soon, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, mendekati penduduk di kawasan itu.
Kedai kopi merupakan cara utama Anggota Parlimen (MP) GRC Nee Soon, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, mendekati penduduk di kawasan itu. - Foto BH oleh KHALID BABA

Bagi Anggota Parlimen (MP) GRC Nee Soon, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, kedai kopi bukan sekadar tempat menjamu selera, malah medan terbaik untuk memahami denyut nadi masyarakat.

Dengan lebih 50 kedai kopi di seluruh Nee Soon, tempat-tempat makan itu menjadi lokasi utama beliau mendekati penduduk.

“Di kawasan undi saya sendiri, ada 20 kedai kopi. Saya sering turun ke sini, tidak kira pagi, tengah hari atau malam, untuk mendekati penduduk.

“Malah, saya ada program khas, ‘Late Night Coffee Shop Visit’, di mana saya berbual dengan mereka yang masih lepak di kedai kopi sehingga lewat malam.

“Ini satu pendekatan yang saya lakukan sejak saya mula berkhidmat di Nee Soon 14 tahun lalu,” ujar Dr Faishal yang juga Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), ketika bersembang dengan Berita Harian (BH) di sebuah kedai kopi di Nee Soon Central baru-baru ini.

Pendekatan itu membolehkan beliau membina hubungan erat dengan penduduk setempat, yang menurutnya, rata-rata telah menetap di kawasan itu sejak zaman perkampungan lagi.

Tambahnya, walaupun kampung-kampung seperti Kampung Wak Hassan dan Kampung Tanjong Irau sudah tiada, semangat kejiranan dan keakraban masih utuh.

Wawancara bersama Dr Faishal itu sebahagian Siri Bersama Anggota Parlimen menjelang Pilihan Raya Umum (GE) 2025, yang memaparkan AP Melayu/Islam dalam kawasan undi masing-masing.

Perkembangan pesat Nee Soon

Sejak penubuhan GRC Nee Soon pada 2011, kawasan itu telah mengalami pembangunan pesat, kata Dr Faishal.

“Kini, walaupun Nee Soon moden, semangat perkampungan masih kukuh. Penduduk dapat melihat sendiri perubahan di sekitar mereka seperti pengubahsuaian pusat beli-belah Northpoint City, serta penambahan poliklinik daripada satu kepada dua buah,” jelasnya.

Dr Faishal merujuk kepada pembinaan Poliklinik Khatib pada 13 Mei 2024, yang mampu meringankan beban Poliklinik Yishun yang dibuka pada 1998.

Selain itu, beliau berkata pembinaan stesen MRT Springleaf di Laluan Thomson-East Coast (TEL) semakin mempermudahkan akses pengangkutan awam.

“Kami mahu memastikan penduduk rasa kemajuan ini dan tetap selesa menetap di Nee Soon,” katanya.

Namun, dengan pembangunan pesat, Dr Faishal mengakui terdapat cabaran seperti isu trafik dan kesesakan.

Bagi mengatasinya, beliau berkata pelbagai inisiatif telah diusahakan, termasuk pembangunan Koridor Utara-Selatan dan kerjasama dengan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) bagi memperbaiki aliran trafik di Empangan Yishun.

Program unik di Nee Soon

Dr Faishal menganggotai pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang bertanding di GRC Nee Soon yang baru pada Pilihan Raya Umum 2011.

Pasukan PAP itu, yang diketuai Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam meraih 58.40 undi, menewaskan Parti Pekerja yang mendapat 41.6 peratus undi.

Sejak itu, PAP telah memenangi GRC itu pada dua lagi Pilihan Raya Umum, masing-masing dengan mendapat peratusan undi lebih 60 peratus.

Menjelang GE2025, Dr Faishal berkata usaha mendamping dan memberi sokongan kepada penduduk berterusan seperti biasa.

Untuk membantu penduduk menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat, GRC Nee Soon telah memperkenalkan inisiatif baucar ‘Nee Soon Cares’, yang kali pertama dilancarkan pada 2022.

Menurut Dr Faishal, dengan sokongan Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North West, pertubuhan akar umbi dan perniagaan tempatan membiayai baucar itu untuk diagihkan kepada penduduk.

“Saya juga adakan program ‘Sembang Bersama Faishal’ di mana saya pergi di serata Nee Soon dan mendekati penduduk Melayu.

“Kami sembang, makan, minum, lakukan kegiatan bersama dalam kumpulan kecil. Dari situ, kami dapat dengar dan kongsi pandangan tentang dasar pemerintah,” kongsinya.

Perbincangan itu biasanya merangkumi pembangunan masyarakat Melayu di Singapura, serta dasar seperti Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan MediSave.

“Melalui sesi sebegini, saya dapat faham kebimbangan penduduk dan ambil langkah yang lebih berkesan dalam membantu mereka.

“Jika saya tidak jumpa mereka, saya tidak tahu apa yang merisaukan mereka dan bagaimana saya boleh bantu,” jelasnya.

Kisah penduduk yang tidak dapat dilupakan

Salah satu pengalaman paling tidak dapat dilupakan Dr Faishal ialah dengan seorang warga senja wanita berusia 80-an yang mula mengenalinya pada 2011 ketika beliau baru-baru menjadi AP GRC Nee Soon.

“Beliau memberitahu saya bahawa sejak pertama kali beliau melihat saya, hatinya terbuka untuk menyukai saya seperti seorang anak,” kata Dr Faishal.

Ketika melawat rumah wanita itu, Dr Faishal terkejut apabila melihat lebih 100 keping gambarnya ditampal di dinding ruang tamu wanita itu.

“Anak beliau datang kepada saya dan berkata, ‘Ibu saya tidak pernah rasa sebahagia ini dalam hidupnya’.

“Ini satu perkara yang sukar dijelaskan, tetapi ia benar-benar menunjukkan keunikan hubungan antara saya dengan penduduk di Nee Soon,” tambahnya.

Didorong amanah

Bukan sahaja seorang pemimpin yang mesra, Dr Faishal juga seorang individu yang amat menghargai tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya.

Beliau bersyukur kerana berpeluang berkhidmat di kementerian yang selari dengan nilai dan prinsip peribadinya.

“Lebih-lebih lagi sekarang di Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), di mana saya bekerjasama dengan rakan kerja dalam aspek antidadah, antipengganasan, kerja-kerja pemulihan dan integrasi semula bekas banduan.

“Jadi tanggungjawab diberi kepada saya sangat bermakna dan dengan adanya tujuan yang padat dan tepat, Alhamdulillah, ia senang untuk saya bekerja keras dan menolong membangunkan Singapura.”

Mengulas tentang tujuannya, Dr Faishal menjelaskan bahawa ia bukan sekadar tanggungjawab atau amanah yang dipegang, tetapi lebih kepada bagaimana beliau sebagai AP meletakkan kepentingan penduduk sebagai keutamaan dalam tugasnya.

Tambahnya, ini penting kerana ia membuat pemikirannya sentiasa menjurus kepada cara beliau boleh memperbaiki dan menolong penduduk.

“Dengan adanya tujuan tepat, saya rasa selesa apabila saya turun padang. Saya boleh jadi diri saya sendiri, tidak rasa kaku, dan penduduk juga gembira.

“Apabila kita boleh menjalani hidup dengan sejujurnya dan menikmati pekerjaan kita, semuanya menjadi lebih mudah,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg