Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Harapan Sharael: Lebih ramai belia Melayu ceburi bidang teknologi

Mar 15, 2025 | 5:30 AM
Anggota Parlimen (AP) GRC Pasir Ris-Punggol, Encik Mohamed Sharael Mohd Taha, berbual-bual dengan anak muda yang tinggal di Pasir Ris East.
Anggota Parlimen (AP) GRC Pasir Ris-Punggol, Encik Mohamed Sharael Mohd Taha, berbual-bual dengan anak muda yang tinggal di Pasir Ris East. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Adalah harapannya supaya lebih ramai anak muda Melayu/Islam berkecimpung dalam industri teknologi yang semakin berkembang, kata Anggota Parlimen (AP) GRC Pasir Ris-Punggol, Encik Mohamed Sharael Mohd Taha.

Menurut Encik Sharael, industri teknologi menawarkan banyak peluang kerjaya bukan sahaja di Singapura, malah di luar negara.

“Kita kini berada pada satu titik perubahan, yang mana transformasi digital telah berkembang pesat akibat pandemik Covid-19.

“Transformasi digital penting untuk memastikan perniagaan kekal relevan dalam ekonomi global,” jelasnya.

Menurut Encik Sharael, seorang jurutera, beliau gembira dengan adanya kumpulan seperti Melayu Islam dalam Teknologi (MMiT) dan inisiatif seperti Program #HashTech, yang bertujuan mendedahkan belia dalam masyarakat dengan kemahiran yang diperlukan, terutama dalam ruang teknologi dan digital.

Program #HashTech mendedahkan belia kepada kecerdasan buatan (AI) dan bagaimana ia boleh digunakan demi kemaslahatan masyarakat.

Kumpulan MMiT pula, yang ditubuhkan pada 2022 oleh pakar perisikan Google, Encik Satria Sadon, bertujuan menambah kesedaran belia Melayu/Islam tentang peluang yang ada dalam industri teknologi.

“Tiga tahun lalu, MMiT ditubuhkan supaya para karyawan teknologi maklumat (IT) boleh berkumpul, belajar antara satu sama lain, dan kemudian berkongsi ilmu dengan generasi muda,” ujar Encik Sharael.

Menurutnya, inisiatif tersebut sangat penting kerana pendedahan belia kepada peluang yang ada dalam teknologi adalah terhad jika mereka mempunyai anggota keluarga atau kenalan yang terlibat dalam bidang teknologi.

“Saya harap melalui usaha seperti ini, lebih ramai belia Melayu/Islam kita dapat memahami peluang yang ada dalam industri ini dan berusaha untuk menceburinya,” kata Encik Sharael, yang baru-baru ini melengkapkan Program Ketua Pegawai Teknologi (CTO) di Wharton School di Universiti Pennsylvania.

Menurut Encik Sharael, antaranya, program tersebut telah meluaskan pemikiran beliau mengenai teknologi dan cara-cara ia boleh digunakan untuk memajukan perniagaan dan masyarakat.

Namun, Encik Sharael berkata teknologi bukan sahaja terhad kepada bidang profesional, malah berpotensi memudahkan kehidupan penduduk, khususnya warga emas.

Sebagai contoh, keluarga kurang berkemampuan di Pasir Ris East kini menggunakan aplikasi mudah alih untuk memilih kandungan pek habuan percuma yang diperuntuk untuk mereka.

“Sebelum ini, mereka tiada pilihan dan menerima barang yang mungkin kurang sesuai dengan keperluan harian mereka.

“Saya kagum bagaimana teknologi boleh memperbaiki kehidupan masyarakat. Sebab itu, saya berharap lebih ramai dalam masyarakat kita akan berkecimpung dalam industri ini,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg