Anak setia jaga ibu uzur biar diri sendiri bergelut masalah kesihatan, syukur terima bantuan TAA
Anak setia jaga ibu uzur biar diri sendiri bergelut masalah kesihatan, syukur terima bantuan TAA
Pada usia 89 tahun, Cik Asmah Asib, menjalani hari-harinya di kerusi roda, bergelut dengan himpunan penyakit: tekanan darah tinggi, osteoporosis, diabetes, demensia progresif dan penyakit Parkinson.
Setiap gerak-gerinya terbatas, memerlukan bantuan sepenuhnya. Namun, di sisi warga emas yang uzur ini, berdiri seorang insan setia – anak lelakinya, Encik Raimi Hassan, 50 tahun.
Encik Raimi memikul tanggungjawab menjaga ibunya sejak Mei 2024, selepas Cik Asmah dibenarkan keluar hospital. “Ibu tidak mampu berdiri walaupun untuk mandi, jadi sayalah yang perlu mengangkatnya, memakaikan baju dan menyuapkan makanan setiap hari,” katanya.
Beliau turut berkongsi cabaran menjaga ibunya yang menghidap demensia, termasuk keadaan ibunya yang kerap mengulang percakapan.
“Urusan dokumentasi juga mencabar. Kad pengenalan ibu masih berwarna biru lama, jadi agak sukar mendapatkan bantuan. Namun, saya berbincang dengan adik-beradik dan alhamdulillah, mereka banyak membantu.
“Saya juga perlu pandai membahagikan masa kerana saya masih bekerja. Saya tidak sanggup meninggalkan ibu bersendirian di rumah. Oleh itu, saya menghantarnya ke pusat jagaan harian dari 6.30 pagi hingga 5.30 petang,” ujar anak bongsu daripada tujuh beradik itu.
Dalam kesibukan mengurus, Encik Raimi mengakui dirinya turut menghidap tekanan darah tinggi dan sering pening, terutamanya pada waktu pagi.
Namun, badai demi badai cabaran tidak pernah melunturkan semangatnya untuk terus berbakti menjaga ibunya yang kian uzur.
Sehubungan itu, Encik Raimi turut merakamkan penghargaan atas penerimaan bantuan daripada Tabung Amal Aidilfitri (TAA), yang banyak membantu dari segi kewangan, barangan dapur dan wang tunai, terutamanya menjelang bulan Ramadan.
“Bantuan ini amat meringankan beban kami. Saya mengucapkan terima kasih kepada penderma TAA yang menyumbang kepada golongan memerlukan seperti saya.
“Semoga mereka semua dilimpahkan rezeki yang luas atas sumbangan bermakna ini,” tambah Encik Raimi.
SEKILAS:
Cara menderma:
1. Layari portal www.TAA.sg untuk menghulurkan sumbangan anda.
2. Sumbangan sebanyak $50 dan ke atas layak mendapat potongan cukai daripada Penguasa Hasil Mahsul Singapura (Iras) sebanyak 250 peratus.
3. Penderma boleh memilih menderma melalui PayNow, perbankan Internet, cek atau kad kredit.
4. Ikuti perjalanan TAA dalam membantu insan-insan memerlukan di Instagram: taatrustfund, Facebook: TAA Trust Fund atau Youtube: TAA Trust Fund.

