Encik Andre Low dan Cik Eileen Chong dari Parti Pekerja (WP) akan mengambil kerusi Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) pada penggal ke-15 Parlimen, menjadikan jumlah Anggota Parlimen (AP) WP kepada 12 orang.
Dalam satu kenyataan pada 19 Mei, Jabatan Pilihan Raya (ELD) berkata Pegawai Pengurus Undi, Encik Han Kok Juan telah mengisytiharkan kededua anggota WP itu dipilih sebagai NCMP.
Encik Low, 33 tahun, telah bertanding di SMC Jalan Kayu pada Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) dan menerima peratusan undi tertinggi dalam kalangan calon pembangkang yang tidak menang, mendapat 48.53 peratus undi menentang ketua gerakan pekerja, Encik Ng Chee Meng.
WP mencalonkan Cik Chong, 33 tahun, untuk mengambil baki kerusi NCMP.
Beliau adalah sebahagian daripada pasukan GRC Tampines yang merupakan barisan pembangkang kedua terdekat, mendapat 47.37 peratus undi dalam pertandingan empat penjuru yang dimenangi Parti Tindakan Rakyat (PAP).
Encik Han telah menulis kepada pasukan Tampines WP pada 9 Mei dan meminta pasukan itu menentukan sesama mereka menjelang 19 Mei, calon yang akan diisytiharkan sebagai NCMP, kata ELD.
Pasukan tersebut memaklumkan kepadanya pada 18 Mei tentang keputusan mereka mencalonkan Cik Chong, tambahnya.
Pasukan Tampines WP terdiri daripada mantan AP GRC Aljunied, Encik Faisal Manap, bersama Cik Chong dan tiga lagi muka baru politik – Dr Ong Lue Ping, Encik Jimmy Tan dan Encik Michael Thng.
Mereka berdepan dengan pasukan PAP yang terdiri daripada Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Koh Poh Koon; Setiausaha Parlimen Kanan (Pengangkutan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Baey Yam Keng.
Ia turut merangkumi dua muka baru – mantan Panglima Tentera Darat, Encik David Neo, dan Profesor Pemasaran di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Charlene Chen.
Skim NCMP, yang diperkenalkan pada 1984, menjamin sekurang-kurangnya 12 AP pembangkang di Parlimen.
Memandangkan terdapat 10 AP pembangkang yang dipilih pada GE2025, dua calon yang tidak dipilih daripada parti pembangkang akan menjadi NCMP.
WP telah mengekalkan kerusinya di GRC Aljunied, GRC Sengkang dan SMC Hougang dalam GE2025.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 19 Mei, WP berkata ia telah menerima dua kerusi NCMP di Parlimen ke-15 Singapura dan mengalu-alukan sumbangan Encik Low dan Cik Chong di Parlimen.
“Semua Anggota Parlimen WP akan meneruskan misi lama Parti Pekerja untuk mewakili kepentingan semua rakyat Singapura, meminta pertanggungjawaban pemerintah, dan memajukan perbahasan yang beralasan dan berprinsip di Parlimen,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg