Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh, akan kekal sebagai Ketua Pembangkang dengan kakitangan dan sumber untuk menjalankan tugasnya, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
“WP telah menampilkan barisan calon yang kuat, dan memberikan persaingan yang sengit dalam pilihan raya ini,” kata Encik Wong, yang menambah bahawa beliau telah memaklumkan perkara itu kepada Encik Pritam.
WP juga telah menyatukan dan meningkatkan kehadirannya di Parlimen, menurut Encik Wong dalam satu catatan Facebook pada 5 Mei.
Jawatan rasmi sebagai Ketua Pembangkang diperkenalkan buat julung kali dalam sejarah politik Singapura selepas Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020) oleh Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, yang merupakan Perdana Menteri ketika itu.
Sebagai Ketua Pembangkang, tugas Encik Pritam ialah menerajui pihak pembangkang dalam membentangkan pandangan alternatif ketika perbahasan Parlimen mengenai dasar, rang undang-undang dan usulan.
Beliau juga mengetuai dan merancang penelitian terhadap kedudukan dan tindakan pemerintah semasa di Parlimen.
Dalam GE2025 pada 3 Mei, WP memenangi 10 kerusi – jumlah sama berbanding GE2020.
Pasukan WP berjaya mengekalkan kedudukan di GRC Sengkang, GRC Aljunied dan SMC Hougang. Meskipun tewas di SMC Jalan Kayu dengan peratusan undi 48.53 peratus dan di GRC Tampines dengan 47.37 peratus, parti itu akan mendapat dua kerusi Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) di Parlimen ke-15 Singapura.
Ketika ditemui media pada 4 Mei, Encik Pritam berkata partinya belum memutuskan siapa yang bakal dipilih sebagai NCMP dan perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat parti akan datang.
Pengumuman akan dibuat apabila parti selesai mempertimbangkan calon sesuai, tambahnya.
Berita Harian (BH) telah menghubungi WP untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Walaupun parti itu tidak meraih kemenangan di kawasan baru, ia mendapat undi melebihi 40 peratus di kawasan-kawasan yang ditandingi iaitu GRC Punggol, East Coast dan Tampines, serta SMC Jalan Kayu dan Tampines Changkat.
Encik Wong berkata: “Saya menantikan sumbangan anggota Parti Pekerja di Parlimen”.
Selaku Ketua Pembangkang, Encik Pritam turut menerima gaji berganda berbanding Anggota Parlimen (AP) dipilih, elaun menggajikan sehingga tiga lagi penolong perundangan dan seorang setiausaha.
Pakej tahunan keseluruhan lazim seorang Ketua Pembangkang adalah $385,000, termasuk elaun sebagai seorang AP.
Selain mempunyai seorang setiausaha untuk menyokongnya dari segi pentadbiran dengan urusan Parlimen, beliau turut diberikan pejabat dan penggunaan bilik mesyuarat di Bangunan Parlimen.
Dua muka baru Melayu – Encik Fadli Fawzi, 44 tahun, di GRC Aljunied, dan Encik Abdul Muhaimin Abdul Malik, 36 tahun, di GRC Sengkang – akan turut mewakili WP bagi Parlimen ke-15.
Pasukan Encik Fadli di GRC Aljunied yang menang sebanyak 59.68 peratus, turut disertai Encik Pritam; Pengerusi WP, Cik Sylvia Lim; Encik Gerald Giam; dan Encik Kenneth Tiong.
Di GRC Sengkang pula, WP menang sebanyak 56.31 peratus. Selain Encik Abdul Muhaimin, pasukan WP di GRC ini dianggotai Cik He Ting Ru, Profesor Madya Jamus Lim dan Encik Louis Chua.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg