Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengajaran yang dapat ditimba  di sebalik GE2025

Penting berkomunikasi, beri tumpuan pada sentimen masyarakat; pilihan raya tunjuk kematangan pengundi
May 9, 2025 | 6:00 PM
wp, pap, hari penamaan calon, Sekolah Menengah Yusof Ishak
Penyokong Parti Tindakan Rakyat (PAP) (kanan) dan Parti Pekerja (WP) mengibarkan bendera parti masing-masing sambil bersorak semasa Hari Penamaan Calon di Sekolah Menengah Yusof Ishak pada 23 April. - Foto ST

Parti Tindakan Rakyat (PAP) telah memenangi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) dengan mandat jelas yang diberikan oleh rakyat Singapura, namun terdapat beberapa pengajaran yang boleh diambil dan diteliti dari kejayaan tersebut, kata pengamat.

Data menunjukkan mandat kukuh bagi Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong dan PAP.

Parti tersebut menang 87 daripada 97 kerusi Parlimen dan menerima 65.57 peratus undi sah dalam GE2025 – naik daripada 61.24 peratus pada 2020.

Di samping itu, parti pemerintah juga memperoleh lebih 75 peratus undi di 10 kawasan undi, sekali gus mencerminkan penguasaannya.

Encik Wong juga mengatasi trend pilihan raya yang dialami perdana menteri baru sebelumnya.

Pilihan raya pada 1991 dan 2006 menyaksikan kemerosotan dalam peratusan undi PAP selepas PM baru – Encik Goh Chok Tong dan Encik Lee Hsien Loong – mengambil alih jawatan.

Parti Pekerja (WP) pula memperoleh 50.04 peratus daripada jumlah undi di lapan kawasan yang ditandinginya menentang PAP dalam GE2025. Pada 2020, ia meraih 50.49 peratus daripada jumlah undi di enam kawasan yang ditandinginya, jauh lebih tinggi daripada 39.8 peratus di 10 kawasan pada 2015.

Justeru, dalam podcast Berita Harian (BH), NoTapis BHerbual, para pengamat berkata keadaan tersebut memerlukan penelitian untuk pilihan raya akan datang.

Mereka menambah bahawa PAP harus diberi kredit bagi strategi mereka untuk memenangi peratusan undi lebih tinggi kali ini, dengan parti itu telah melakukan “home work” dalam menentukan calon-calon sesuai yang diturunkan ke kawasan undi yang berbeza dan dalam lebih mendekati penduduk dan rakyat.

Parti itu juga tidak mengulangi cara lama, mengelakkan serangan peribadi terhadap calon-calon pembangkang – sesuatu yang dilihat dalam kempen-kempen masa lalu.

WP pula perlu memastikan ia terus menjadi parti pembangkang yang boleh dipercayai dan dapat menarik bakat-bakat yang baik, manakala parti-parti pembangkang kecil yang lain pula perlu dipertingkat dan bukan sekadar ‘menambahkan’ jumlah calon pembangkang dalam pilihan raya, kata pengamat.

Podcast tersebut mengetengahkan Zamil Kanan dan Penyelaras Program Pengajian Sosial dan Budaya Serantau, Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, dan penggiat masyarakat, Encik Imran Mohd Taib.

Antara pengajaran dari GE2025 ialah, ia menunjukkan pentingnya untuk berkomunikasi dengan lebih berkesan dan bagi pemerintah memberi lebih tumpuan pada sentimen masyarakat, antaranya dalam isu mengenai kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan kos sara hidup.

Di samping itu, pilihan raya kali ini menunjukkan kematangan dan kebijaksanaan pengundi Singapura dalam menilai calon-calon parti politik yang diturunkan.

Sepanjang tempoh berkempen, sesetengah parti pembangkang telah menjadikan topik seperti kenaikan GST dan kos sara hidup sebagai isu keprihatinan utama yang diketengahkan, dan perkara yang dibangkitkan mereka itu tidak harus diketepikan, kata Dr Norshahril.

“Kerana inilah masanya untuk kita bersatu dan memandang ke hadapan. Jadi, walaupun PAP menang, tapi itu tidak bermakna isu-isu dibangkitkan oleh parti pembangkang itu harus diketepikan,” kata beliau.

Sependapat, Encik Imran berkata pemerintah harus memberikan lebih banyak perhatian terhadap sentimen yang ada dalam masyarakat, seperti kebimbangan mengenai kenaikan GST dan kos sara hidup.

“Sudah pasti pemerintah telah menerima banyak maklum balas dan luahan perasaan.

“Tetapi kelihatan seperti ada jurang komunikasi, terutama dari segi aspek dasar-dasar pemerintah yang mungkin mempunyai asas atau landasan yang kuat.

“Cuma ia tidak difahami dan mungkin juga, tidak secocok dengan realiti kehidupan seharian yang dirasakan,” kata beliau, yang juga Pengarah Pengasas, Dialogue Centre Limited.

PAP, yang dipimpin Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong buat kali pertama, menang 87 daripada 97 kerusi Parlimen dan menerima 65.57 peratus undi sah dalam GE2025 – naik daripada 61.24 peratus pada 2020.

Namun begitu, Dr Norshahril menarik perhatian bahawa mandat 65.57 peratus yang diterima parti itu kali ini, walaupun lebih tinggi daripada 2020, telah meningkat sedikit sahaja berbanding kemenangan pada 2015 – di mana mereka meraih 69.9 peratus undi sah.

Antara faktor yang mungkin telah menyebabkan prestasi ini berlaku terletak pada calon-calon yang telah diturunkan ke padang dalam GE2025.

WP, misalnya, telah mendapat peratusan undi yang “agak baik reputasinya” dalam GE2025 disebabkan ia mampu mengetengahkan calon-calon berkaliber, kata Encik Imran.

Ini membuat WP kelihatan sebagai parti pembangkang yang lebih dipercayai, berbanding dengan parti pembangkang lain yang mendapat peratusan undi rendah yang mungkin kerana calon-calon mereka “tidak begitu dipercayai dan kelihatan tidak berwibawa”.

Penolakan parti pembangkang lain yang lebih kecil itu juga mungkin telah menyumbang kepada peratusan undi yang agak tinggi bagi PAP, tambah beliau.

Dalam GE2025, WP telah mengetengahkan ‘calon bintang’ seperti peguam kanan, Encik Harpreet Singh Nehal; mantan diplomat, Cik Eileen Chong; pengasas bersama syarikat pemula teknologi Showdrop, Encik Michael Thng; pengarah kanan pembangunan perniagaan penerbit di sebuah firma pengiklanan, Cik Alexis Dang; dan peguam, Cik Siti Alia Abdul Rahim Mattar.

PAP turut memperkenalkan darah baru yang tidak kurang handalnya, seperti konsultan psikiatri dan pengarah perubatan di The Starfish Clinic of Psychiatry & Mental Wellness, Dr Syed Harun Alhabsyi; Profesor Pemasaran di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Charlene Chen; mantan Panglima Tentera Darat, Encik David Neo; Naib Presiden Kanan di sebuah firma perhubungan awam, Cik Hazlina Abdul Halim; dan pakar ortopedik, Dr Hamid Razak.

“Saya rasa rakyat Singapura semakin matang dalam bagaimana mereka menilai calon-calon yang berkaliber,” kata beliau.

“Jadi itu menunjukkan sebenarnya rakyat Singapura dapat menilaikan dengan baik siapa yang mereka mahu untuk mewakili pandangan rakyat di Parlimen,” tambah beliau.

Justeru Encik Imran berkata PAP juga harus terus meningkatkan proses pemilihan calon mereka, terutama dalam pilihan calon-calon Melayunya.

Dr Norshahril pula menambah bahawa cara PAP berkempen juga mungkin boleh dipertingkatkan supaya ia sesuai dengan masyarakat Singapura dalam konteks masa ini.

Menurut beliau, parti pemerintah itu telah mengekalkan naratif sama apabila ia memperkenalkan calon-calon baru – biasanya kisah tentang bagaimana mereka bangkit daripada kesusahan atau cabaran untuk mengecap kejayaan dalam sistem Singapura.

“Itu sering kali naratif yang sama. Ini berbeza dengan WP, misalnya, apabila mereka memperkenalkan calon-calon. Jadi, saya fikir bahawa perlu dipertingkatkan lagi cara berkempen dan juga naratif yang lebih mungkin sesuai pada masyarakat Singapura dalam konteks masa kini,” kata beliau.

Namun begitu, Dr Norshahril berkata PAP wajar diberi kredit bagi strategi mereka dalam GE2025, sambil berkata parti itu telah melakukan “home work” dan perhitungan dalam meletakkan calon di tempat yang mana ia rasa sesuai dan dapat meraih sokongan.

Parti pemerintah itu meraih kemenangan di beberapa ‘tempat panas’, seperti GRC Punggol di mana pasukan yang dipimpin Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, berjaya menumpaskan pasukan WP diketuai ‘calon bintang’ Encik Harpreet.

Bagaimanapun, PAP gagal merampas kembali kerusi daripada tangan WP di GRC Sengkang.

Bagi WP pula, Encik Imran berkata strategi mereka pula adalah untuk memperkukuhkan sumber dan tumpuan di bahagian timur Singapura – seperti Aljunied, Sengkang dan Tampines.

“Jadi itu juga bermakna mereka dapat menjalankan kerja-kerja akar umbi, termasuk kenal mengenali dengan para penduduk yang tidak akan terjejas dengan banyak sekiranya ada perubahan sempadan. Jadi itu strategi mereka.

“Kita lihat parti Parti Demokratik Singapura (SDP) juga cuba mengikut strategi seperti itu, dengan menumpukan sumber dan perhatian mereka kepada bahagian utara.

“Parti Kemajuan Singapura (PSP) sebenarnya paling sedih kerana mereka kehilangan NCMP kali ini dan kita lihat peratusan undi mereka juga menurun. Walhal sebelum ini kita lihat mereka sebenarnya menumpukan perhatian kepada bahagian barat,” kata beliau.

Encik Imran berkata persoalannya adalah PAP harus memikirkan bagaimana mereka dapat kekal relevan kepada masyarakat Singapura, dan juga mengadakan pembaharuan dalaman untuk memperkukuhkan lagi parti itu.

“Kita jangan hanya melihat pada strategi parti pembangkang untuk menjadi kuat. PAP juga harus melihat bagaimana mereka tidak menjadi semakin lemah. Kerana itu pada saya paling sukar.

“Kalau kita sudah ada di tampuk kekuasaan itu, mungkin lebih sukar untuk memikirkan bagaimana kita mempunyai kelemahan kerana kita sudah kuat sepanjang beberapa dekad bukan? Jadi itu sebenarnya yang harus kita perhatikan,” kata beliau.

Sudah pasti pemerintah telah menerima banyak maklum balas dan luahan perasaan. Tetapi kelihatan seperti ada jurang komunikasi, terutama dari segi aspek dasar-dasar pemerintah yang mungkin mempunyai asas atau landasan yang kuat. Cuma ia tidak difahami dan mungkin juga, tidak secocok dengan realiti kehidupan seharian yang dirasakan.
Encik Imran Mohd Taib, penggiat masyarakat dan Pengarah Pengasas, Dialogue Centre Limited.

Itu sering kali naratif yang sama. Ini berbeza dengan WP, misalnya, apabila mereka memperkenalkan calon-calon. Jadi, saya fikir bahawa perlu dipertingkatkan lagi cara berkempen dan juga naratif yang lebih mungkin sesuai pada masyarakat Singapura dalam konteks masa kini.
Dr Norshahril Saat, Zamil Kanan dan Penyelaras Program Pengajian Sosial dan Budaya Serantau, Iseas-Institut Yusof Ishak.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg