Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anggota kumpulan sokongan SAF, mesin baru pacu jaya Latihan Wallaby 2025

1WO Ridwan main peranan penting pastikan tentera dapat gerak ke kawasan latihan dengan selamat, ikut jadual
Oct 31, 2025 | 9:00 AM
(1WO) Ridwan Abdul Rahman, Wallaby 2025
Di sebalik kejayaan Latihan Wallaby (XWB) di Australia, wujud sumbangan anggota Kumpulan Sokongan Hadapan (FSG) termasuk Pegawai Waran 1 (1WO) Ridwan Abdul Rahman, yang bertugas sebagai Pegawai Waran Pengangkutan di Kem Tilpal sekitar Kawasan Latihan Shoalwater Bay di Australia. - Foto ST

Di Kawasan Latihan Shoalwater Bay (SWBTA), Australia, Latihan Wallaby merupakan antara operasi latihan luar negara terbesar yang dijalani Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

Di sebalik kejayaan latihan berskala besar itu, wujud Kumpulan Sokongan Hadapan atau Forward Support Group (FSG), yang dianggotai lebih 170 pegawai dan anggota yang memainkan pelbagai peranan termasuk dalam bidang logistik, perubatan dan pengangkutan.

Antara mereka ialah Pegawai Waran Pertama (1WO) Ridwan Abdul Rahman, 53 tahun, daripada SAF yang bertanggungjawab menyelaras pengangkutan di kawasan latihan tersebut.

Tugasannya termasuk memastikan setiap anggota SAF yang mengambil bahagian dalam latihan itu dapat bergerak ke kawasan latihan masing-masing dengan selamat dan mengikut jadual.

Dengan pengalaman 35 tahun dalam khidmat ketenteraan, 1WO Ridwan kini berkhidmat sebagai Pegawai Waran Pengangkutan di bawah Divisyen Keenam SAF.

“Keutamaan pasukan saya adalah keselamatan,” kata beliau.

Menurutnya lagi, disebabkan cuaca Australia yang boleh berubah dengan cepat, pasukannya mengambil langkah berjaga-jaga dalam memastikan keselamatan.

Ini termasuk mengehadkan kelajuan kenderaan supaya pemandu ada masa untuk bertindak balas dalam cuaca buruk.

Dengan semangat itu, beliau juga menekankan kepentingan pemeriksaan kenderaan menyeluruh.

Ini dilakukan dengan pemeriksaan keadaan brek, tayar dan sistem komunikasi bagi mengelak sebarang kegagalan teknikal di kawasan latihan tersebut.

“Bagi saya, yang penting adalah semua anggota dan kenderaan selamat pergi dan selamat balik. Itu sudah cukup menggembirakan,” ujar beliau yang dijangka pulang ke Singapura awal November ini.

Beliau berkata demikian semasa ditemui di Kem Tilpal, salah satu kawasan penginapan utama bagi anggota SAF di Queensland, Australia.

Di situ, pihak media turut diperkenalkan kepada beberapa peralatan baru yang digunakan bagi memudahkan operasi SAF di XWB, termasuk mesin X-ray mudah alih (XR) dan Sistem Perakaunan Rondaan Mudah Alih (Express) atau Mobile Rounds Accounting Express (mRAX).

Mesin X-ray mudah alih (XR) yang digunakan oleh pasukan perubatan SAF di Kem Tilpal, Australia.
Mesin X-ray mudah alih (XR) yang digunakan oleh pasukan perubatan SAF di Kem Tilpal, Australia. - Foto ST

Peralatan X-ray mudah alih itu diperkenalkan oleh pasukan Perkhidmatan Perubatan Angkatan Darat sebagai sebahagian ujian pembangunan keupayaan baru untuk mempertingkatkan keupayaan diagnosis di Kem Tilpal.

Sebelum ini, setiap pemindahan pesakit perlu melalui perjalanan sejauh dua jam sehala bersama dua lagi pegawai SAF.

Namun, dengan adanya mesin XR, kes seperti ini dapat ditangani dengan lebih cepat dan cekap, sekali gus menjimatkan masa, sumber dan mengekalkan kelancaran operasi.

Pegawai Perubatan FSG, Kapten (Dr) Grace Ho Cheng En, berkata:

“Dengan adanya mesin X-ray mudah alih ini, kami dapat mengenal pasti sebarang kecederaan tanpa perlu menghantar pesakit ke hospital yang terletak lebih satu jam setengah dari sini.

“Ini bukan sahaja menjimatkan masa dan tenaga, tetapi juga memastikan rawatan dapat diberikan dengan lebih segera.”

Selain itu, Kementerian Pertahanan (Mindef) juga memperkenalkan sistem mRAX untuk mempercepatkan proses pengiraan dan pengurusan peluru.

Menurut Mindef, sistem mRAX kini mengautomasikan proses tersebut dan menjimatkan sehingga 80 peratus masa dan tenaga kerja, serta membolehkan anggota tentera menamatkan latihan dan kembali ke kem segera.

“Keutamaan pasukan saya adalah keselamatan. Bagi saya, yang penting adalah semua anggota dan kenderaan selamat pergi dan selamat balik. Itu sudah cukup menggembirakan.”
Pegawai Waran 1 (1WO) Ridwan Abdul Rahman.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg