Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ketepatan, keselamatan diutama dalam misi bantuan kemanusiaan RSAF

Latihan Wallaby di Australia perkukuh keupayaan selaras dan salur bantuan, gugur muatan dari udara seperti dalam misi ke Gaza
Oct 29, 2025 | 7:52 PM
Latihan Wallaby, RSAF, SAF, misi bantuan kemanusiaan
Anak kapal pesawat C-130, milik Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF), gigih menjalani Latihan Wallaby di Kawasan Latihan Shoalwater Bay, Australia. - Foto ST

Apabila pesawat C-130 milik Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) dikerahkan bagi misi luar negara seperti menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza, dua perkara menjadi keutamaan – ketepatan dan keselamatan.

Latihan bagi memperkukuh keupayaan itu hanya dapat dijalankan di Australia menerusi Latihan Wallaby (XWB) kerana kekangan ruang dan keselamatan di Singapura.

Berita Harian (BH) berpeluang meninjau secara dekat bagaimana muatan disediakan dan diangkut menggunakan pesawat C-130 dalam setiap misi penghantaran keperluan, serta penyelarasan yang diperlukan antara anggota RSAF dengan tentera darat bagi memastikan setiap misi berjalan lancar.

Mejar Song Ong Keat, yang mengemudi pesawat C-130 Hercules, menjelaskan beliau telah melihat peningkatan penyelarasan antara RSAF dengan perkhidmatan sokongan seperti yang diberikan SAF sejak menyertai XWB buat julung-julung kalinya pada 2003.

Menurutnya, latihan seperti XWB di Australia memberi peluang kepada anggota RSAF untuk memperkukuh kemahiran dan meningkatkan tahap kesiapsiagaan operasi mereka.

“Apabila kami dikerahkan untuk misi sebenar, latihan sebegini memastikan keselamatan bukan sahaja bagi anggota kami, bahkan juga mereka yang kami bantu,” katanya.

“Dalam setiap latihan, kami disepadukan dengan pelbagai pihak, termasuk pasukan darat daripada SAF.

“Disebabkan itu adalah penting untuk kami memastikan setiap muatan diikat dengan selamat, ruang udara tidak bertembung, dan setiap anggota tahu peranan masing-masing,” kata Mejar Song.

Ini termasuk usaha Batalion Pengangkutan Ketiga yang bertanggungjawab membungkus muatan ke dalam sistem penghantaran kontena, serta memasang payung terjun sebelum ia digandingkan dengan pesawat.

Kakitangan pesawat C-130 bersama pemasang rig (pegawai mahir yang mendirikan dan menyenggara takal pengangkat muatan) dari Batalion Pengangkutan Ketiga kemudian menjalankan pemeriksaan bersama bagi memastikan setiap muatan disediakan mengikut protokol keselamatan yang ditetapkan.

Sarjan Ketiga (NS) Ernest Yeo, seorang pemasang rig di Batalion Pengangkutan Ketiga, berkata:

“Operasi menggugurkan muatan dari udara atau airdrop mungkin kelihatan mudah dari jauh, tetapi sebenarnya ia hasil daripada kerja tali-temali atau rigging yang teliti, pemeriksaan menyeluruh dan kerjasama pasukan yang kukuh.”

Beliau menambah operasi seumpama itu semakin relevan dan penting dalam konteks latihan ketenteraan masa kini.

Ini termasuk penghantaran bekalan makanan dan ubat-ubatan ke Gaza, di mana Singapura telah menyalurkan bantuan sebanyak sembilan kali sejauh ini.

Menurut Kementerian Pertahanan (Mindef), latihan menggugurkan muatan dari udara itu dijalankan secara tetap sepanjang XWB, dengan pasukan RSAF sudah melaksanakan lebih 50 misi pada tahun ini (2025) sahaja.

Bagi Sarjan Pertama M. Magenthiran dari Skuadron 122 RSAF, yang bertindak sebagai ‘loadmaster’ atau pegawai yang bertanggungjawab memuatkan, memunggah dan memastikan keselamatan dalam penerbangan kargo terjamin, penyertaan sulungnya dalam XWB 2025 membuka peluang untuknya memahami dengan lebih mendalam tugas yang dimainkan setiap kru di udara.

Beliau bertanggungjawab memastikan semua muatan diikat kemas dan memeriksa palet agar tidak berganjak sepanjang penerbangan.

Menyentuh mengenai pengalamannya menyertai dua misi Bantuan Kemanusiaan dan Inisiatif Bantuan (HADR) termasuk ke Myanmar dan Gaza, Sarjan Pertama Magenthiran menjelaskan kededua misi itu merupakan antara pengalaman paling bermakna dalam kerjayanya.

“Dalam misi ke Gaza, kami hanya diberi satu peluang untuk menggugurkan muatan dengan tepat. Disebabkan tiada peluang kedua, tekanan yang dirasakan memang hebat sekali.

“Namun, kami perlu memastikan setiap semakan keselamatan dilakukan dengan pantas dan teliti agar bekalan mendarat di zon sasaran dengan selamat.

“Melihat sendiri bekalan yang kami lepaskan mendarat tepat di kawasan yang memerlukan membuatkan saya berasa bangga dan terharu... amat berbaloi apabila mengetahui bantuan itu benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg