Seorang anggota Perkhidmatan Negara sepenuh masa (NSF) disahkan meninggal dunia di hospital selepas ditemukan tidak sedarkan diri di kaki sebuah bangunan di Pulau Tekong pada petang 8 Oktober.

Dalam satu hantaran di Facebook, Kementerian Pertahanan (Mindef) memaklumkan bahawa kejadian itu berlaku pada 1.22 petang di bangunan di Sekolah 3, Pusat Latihan Asas Tentera (BMTC).

Menurut Mindef, anggota tersebut tidak terlibat dalam sebarang latihan ketika kejadian berlaku.

Beliau segera dibawa ke Pusat Perubatan Pulau Tekong untuk menerima rawatan kecemasan, sebelum dipindahkan menggunakan helikopter ke Hospital Besar Singapura (SGH).

Beliau tiba di SGH pada 2.05 petang dan disahkan meninggal dunia pada 2.27 petang.

“Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) merakamkan ucapan takziah yang sedalam-dalamnya kepada keluarga Allahyarham,” kata Mindef dalam hantaran Facebook tersebut.