Seorang anggota perkhidmatan negara sepenuh masa Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri di kawasan latihan Balai Bomba Marina Bay pada 6 September.

Lans Koperal Muhammad Nur Ilham Mohammed Iswadi ditemui tidak sedarkan diri di sana ketika sedang bertugas, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan SCDF.

Anggota SCDF di balai bomba tersebut segera memberikan bantuan pernafasan (CPR) sebelum segera mengejarkannya ke Hospital Besar Singapura.

Namun, beliau disahkan meninggal dunia sejurus selepas itu, lapor The Straits Times.

“Pada 8.15 pagi 6 September, pihak polis menerima panggilan meminta bantuan di 70 Marina View.

“Seorang lelaki berusia 20 tahun telah dibawa dalam keadaan tidak sedarkan diri ke hospital, di mana beliau kemudiannya disahkan meninggal dunia.

“Berdasarkan siasatan awal, pihak polis tidak mengesyaki sebarang unsur jenayah. Namun, siasatan masih dijalankan,” kata polis dalam satu kenyataan.

LCP Nur Ilham mula berkhidmat pada 10 Februari dan menamatkan kursus anggota bomba di Akademi Pertahanan Awam pada 7 Ogos.

Beliau ditugaskan ke Balai Bomba Marina Bay pada 18 Ogos, menurut SCDF.

“SCDF amat berdukacita dengan pemergiannya dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarganya. Kami sedang memberikan segala bantuan dan sokongan yang sewajarnya kepada keluarga pada masa yang sukar ini,” kata SCDF lagi dalam kenyataannya itu.