Anggota NSF ditahan buat ancaman bom palsu di Pangkalan Udara Paya Lebar
Anggota NSF ditahan buat ancaman bom palsu di Pangkalan Udara Paya Lebar
Seorang anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa (NSF) berusia 22 tahun telah ditahan pada 28 Januari dan dihantar ke berek tahanan, selepas didakwa membuat ancaman bom palsu terhadap Pangkalan Udara Paya Lebar pada 23 Januari.
Kementerian Pertahanan (Mindef), dalam kenyataan media pada 9 Februari, menjelaskan NSF itu bertugas di pangkalan udara berkenaan.
Siasatan awal menunjukkan dia bertindak berseorangan.
Mindef mendedahkan NSF terbabit memuat naik hantaran dalam talian yang mendakwa bahan letupan buatan sendiri dipasang di 12 lokasi dalam pangkalan udara dan pada kenderaan pegawai kanan Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF).
Ancaman itu disahkan palsu selepas pemeriksaan keselamatan menyeluruh.
NSF tersebut kini disiasat dan berdepan pendakwaan di bawah Seksyen 268A Kanun Keseksaan, dengan hukuman maksimum tujuh tahun penjara dan denda sehingga $50,000.
Mindef menegaskan semua ancaman keselamatan dipandang serius dan ancaman palsu akan dikenakan tindakan undang-undang.

