Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Angklung jadi penawar satukan warga emas, penjaga dalam projek masyarakat

Muzik naik semangat, atasi masalah keterasingan warga senja dalam program anjuran Kelab Heal, Esplanade
Nov 5, 2025 | 4:51 PM
Club Heal, Kelab Heal, angklung, Esplanade
Seramai 30 peserta yang terdiri daripada warga emas dan penjaga dalam program Kelab Heal, belajar main angklung dan mempersembahkan enam lagu semasa persembahan penutup Projek Angklung Masyarakat Esplanade 2025 di Pusat Kelab Heal Bukit Batok East pada 4 November. - Foto KELAB HEAL

Bunyi angklung memecah kesunyian dan bergema di Pusat Kelab Heal Bukit Batok East pada 4 November apabila 30 peserta tampil bagi persembahan penutup tirai Projek Angklung Masyarakat Esplanade 2025.

Persembahan tersebut menandakan kemuncak kerjasama selama sebulan antara pertubuhan tidak mengaut untung, Kelab Heal, dan pusat seni Esplanade – Teater Di Persisiran, dengan sokongan Yayasan Perubatan Asia.

Para peserta tersebut terdiri daripada klien Program Pemulihan Kesejahteraan dan Program Kesejahteraan Demensia Kelab Heal, serta para penjaga daripada Pasukan Jangkauan Masyarakat Rangkaian Sokongan Penjaga.

Mereka belajar bermain alat muzik tradisional, yang diperbuat daripada buluh itu, selama lima sesi, yang diadakan sejak 9 Oktober.

Menurut satu kenyataan Kelab Heal, 30 peserta berusia 50 tahun ke atas itu termasuk klien yang sedang pulih daripada masalah kesihatan mental, serta warga emas dengan demensia ringan hingga sederhana.

“Projek ini bertujuan meningkatkan kesejahteraan warga emas melalui seni, memupuk hubungan sosial, serta membina keyakinan diri melalui permainan muzik secara berkumpulan,” ujar Kelab Heal.

Menurut mereka lagi, projek ini membina kejayaan daripada kerjasama terdahulu Kelab Heal dengan Esplanade pada November 2024, di mana satu sesi bengkel angklung mencetuskan semangat yang tinggi dalam kalangan peserta.

Antara lagu yang disajikan peserta pada 4 November termasuk lagu rakyat berbaur kesingapuraan seperti Rasa Sayang, Di Tanjong Katong dan Dayung Sampan.

Bagi salah seorang peserta, Cik Rugayah Attan, kegiatan sedemikian menyemai semangat kebersamaan dan kegembiraan melalui muzik.

“Apabila kami berlatih bersama, rasanya seperti berada dalam sebuah kampung besar di mana semua orang saling menyokong.

“Saya berharap dapat terus belajar dan akhirnya menjadi sebahagian pasukan angklung sepenuh masa pada masa hadapan,” kata beliau, 70 tahun, yang juga seorang penjaga daripada pasukan jangkauan Kelab Heal.

Cik Rugayah merupakan penjaga sepenuh masa buat ibunya yang berusia 97 tahun.

Menyentuh usaha kerjasama sedemikian, Presiden Kelab Heal, Dr Khairul Hazwan Suhairi, berkata kerjasama itu mencerminkan peranan penting seni dalam menyokong kesihatan mental.

“Projek Angklung Masyarakat telah membawa kegembiraan dan tenaga baru ke pusat kami, serta mengingatkan kami bagaimana seni boleh menyembuhkan, menyatukan, dan memberi inspirasi.

“Menyaksikan peserta kami berkembang dalam keyakinan diri dan semangat kerjasama sepanjang beberapa minggu yang lalu mencetus rasa terharu,” ujar beliau.

Ketua Penglibatan Masyarakat The Esplanade Co Ltd., Cik Grace Low, mendapati projek tersebut selaras dengan usaha berterusan mereka dalam memastikan seni dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat.

“Sejak 2016, kami berpeluang membawa bengkel angklung kami ke pelbagai masyarakat di seluruh Singapura.

“Sepanjang beberapa tahun ini, kami telah menyaksikan bagaimana muzik mampu menaikkan semangat dan menghubungkan orang ramai dengan membawa kegembiraan, tujuan, dan rasa kepuasan, terutamanya kepada warga emas yang mungkin terasing secara sosial,” kongsi beliau.

Bagi meneruskan usaha ini, Yayasan Perubatan Asia akan menyumbang dua set lengkap angklung kepada Kelab Heal, membolehkan kegiatan berasaskan muzik diteruskan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg