Alunan irama angklung yang merdu mengisi dewan Grand Ballroom di Orchid Country Club semasa majlis jamuan malam amal sempena ulang tahun Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) yang ke-60 pada 24 Januari.

Lebih istimewa lagi, irama merdu itu turut disumbangkan oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, yang menyertai sekitar 700 tamu di majlis itu bermain angklung bersama.

‘Persembahan’ beramai-ramai itu turut diiktiraf dalam Buku Rekod Singapura sebagai Ensembel Angklung Terbesar.

Menurut LBKM, pencapaian ini – yang melibatkan penyertaan semua tamu di majlis itu – melambangkan semangat bersama masyarakat dan perpaduan yang membentuk misi LBKM.