Hidayah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sentuhan rahmat di hujung hayat

Masjid Al-Muttaqin terajui khidmat jagaan, bimbingan rohani paliatif
Oct 10, 2025 | 5:30 AM
Khidir Ibrahim, masjid al-muttaqin
Penulis memberikan perkongsian kerohanian kepada penduduk di Rumah Penjagaan Ren Ci di Ang Mo Kio, dalam usaha Masjid Al-Muttaqin menyediakan bimbingan rohani dan sokongan emosi bagi golongan warga emas. - Foto ihsan MUHAMMAD KHIDIR MOHAMED IBRAHIM
Penulis, Ustaz Muhammad Khidir Mohamed Ibrahim.
Penulis, Ustaz Muhammad Khidir Mohamed Ibrahim. - Foto MUSLIM.SG

Singapura kini sedang menghadapi isu penuaan.

Menurut statistik Jabatan Perangkaan Singapura pada September 2024, jumlah warga emas berusia 65 tahun dan ke atas yang tinggal bersendirian mencecah 78,000 orang dan dianggarkan mencecah 122,000 orang menjelang 2030.

Singapura dijangka mencapai status ‘super-aged’ (sangat menua) menjelang 2026, iaitu apabila peratusan penduduk berumur 65 tahun dan ke atas mencapai 21 peratus daripada keseluruhan populasi.

Dengan peningkatan jumlah warga emas serta pesakit penyakit kronik, wujud keperluan bagi golongan warga emas untuk mendapatkan penjagaan dan bimbingan rohani yang berhemah, beretika dan peka budaya.

Menyedari cabaran ini, Masjid Al-Muttaqin di Ang Mo Kio, tampil mengorak langkah untuk terlibat dalam ekosistem yang menyediakan khidmat penjagaan dan bimbingan rohani bagi golongan yang sedang menempuhi hujung hayat mereka.

Langkah ini bukan sahaja memperkukuh peranan masjid sebagai pusat ibadah, malah menegaskan kepentingannya dalam jaringan sokongan kesejahteraan masyarakat.

Inisiatif ini juga adalah sebahagian usaha Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) untuk membina keupayaan dalam kalangan asatizah dan pegawai masjid dalam bidang penjagaan dan bimbingan rohani seperti yang diutarakan semasa Persidangan Sektor Satu Masjid (OMS) pada 8 Februari lalu.

Di samping sektor paliatif, bimbingan rohani juga diperlukan untuk membimbing banduan dan bekas banduan serta golongan belia, pasangan dan keluarga.

Paliatif merujuk kepada penjagaan atau rawatan bertujuan meningkatkan mutu hidup pesakit yang menghidap penyakit serius atau mengancam nyawa dengan melegakan gejala dan tekanan penyakit, bukan untuk menyembuhkan penyakit itu sendiri.

Penjagaan, bimbingan rohani paliatif

Penjagaan dan bimbingan rohani paliatif yang disediakan pegawai Masjid Al-Muttaqin menekankan pemeliharaan maruah individu, menyalurkan harapan, serta memperkukuh hubungan mereka dengan keluarga.

Sejak 2024, pasukan asatizah dan sukarelawan Masjid Al-Muttaqin giat mengiringi pesakit dan keluarga di pelbagai institusi kesihatan seperti Rumah Penjagaan Ren Ci, Hospis Assisi dan Hospital Kwong Wai Shiu.

Antara kegiatan yang dijalankan termasuk memberikan sokongan rohani dengan menenangkan para pesakit dengan bacaan doa dan zikir, serta menemani pesakit sambil mendengar luahan hati mereka.

Usaha ini amat membantu dalam meredakan kebimbangan dan kesedihan, sambil memberikan ketenangan jiwa ketika menanti saat insan itu kembali kepada Ilahi.

Santuni warga emas dengan penuh kasih

Persiapan bagi warga emas bukan sahaja melalui penjagaan dan bimbingan rohani paliatif.

Masjid Al-Muttaqin, dengan kerjasama syarikat Ma:een dan Persatuan Muhammadiyah, telah memperkenalkan Program Santunan Emas pada Oktober 2024, yang kini menjadi nadi sokongan warga emas di kawasan Ang Mo Kio.

Program ini menggabungkan unsur rohani, sosial dan kesihatan, dengan pendekatan yang memelihara maruah serta martabat warga emas.

Inisiatif ini turut diketengahkan oleh Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, dalam ucapan sulungnya di Parlimen baru-baru ini.

Sejak permulaan program, jumlah peserta yang terlibat telah menjangkau hampir 15,000 peserta, sama ada mereka yang hadir di masjid atau melalui penyertaan dalam talian.

Para peserta dididik untuk memahami kepentingan kesihatan fizikal dan kesejahteraan rohani serta menyemai nilai syukur, kehidupan yang bermakna dan sifat tabah pada usia senja.

Bina keupayaan melalui pembelajaran sejagat, serantau

Melalui sokongan Muis, asatizah dan pegawai masjid yang terlibat dalam usaha penjagaan dan bimbingan rohani paliatif berpeluang menghadiri program di peringkat sejagat dan serantau serta mendapat bimbingan daripada pakar dalam bidang tersebut.

Seperti contoh, beberapa asatizah menghadiri ‘Muslim Chaplaincy Conference 2025’ (Sidang Pembimbingan Rohani Islam) di Fribourg, Switzerland, pada Jun lalu, untuk mempelajari model bimbingan rohani Islam yang diamalkan di Amerika Syarikat, Eropah dan beberapa negara Asia.

Antara pakar yang hadir ialah Dr Ingrid Mattson, perintis pembangunan institusi bimbingan rohani Islam di Amerika.

Wakil daripada Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan Bagi Pesalah dan Keluarga (Fitrah) turut berkongsi pendekatan bimbingan untuk banduan dan bekas banduan Muslim di Singapura.

Salah satu yang menarik ialah bagaimana pembimbing rohani Islam di Eropah diiktiraf sebagai sebahagian daripada pasukan klinikal kerana latihan klinikal formal yang mereka lalui, memberi inspirasi untuk mewujudkan sistem pentauliahan serupa di Singapura.

Selain itu, asatizah juga menghadiri Sidang Jagaan Rohani Malaysia 2025 pada Ogos, yang memberi pendedahan kepada pendekatan penjagaan dan bimbingan rohani yang diamalkan di sektor penjagaan kesihatan di Malaysia.

Dr Kamal Abu Shamsieh, pengasas Ziyara di California, Amerika, berkongsi pengalaman dan menekankan kepentingan membina kemampuan sebagai pendamping yang sabar, memberi keyakinan dan menenangkan hati individu dalam perjalanan pulang kepada Allah swt.

Perkasa asatizah dalam bimbingan rohani tempatan

Berdasarkan pengalaman dan amalan penjagaan serta bimbingan rohani di luar negara, usaha serupa yang disesuaikan dengan keperluan masyarakat Islam di Singapura perlu diwujudkan.

Masjid Al-Muttaqin telah memulakan inisiatif yang menumpukan kepada empat bidang utama:

1) Latihan paliatif bagi asatizah:

Latihan berstruktur agar asatizah memiliki ilmu, etika dan kemahiran sebelum memberi sokongan rohani di wad paliatif.

2) Kerjasama rentas agama:

Bengkel bersama rakan bukan Muslim untuk meningkatkan kefahaman tentang sensitiviti budaya dalam urusan akhir hayat.

3) Rangkaian rujukan yang luas:

Kerjasama erat dengan jururawat masyarakat, pusat khidmat keluarga dan pekerja sosial perubatan.

4) Kesejahteraan petugas:

Amalan ‘debrief’ (menyoal untuk dapat maklum balas), giliran bertugas yang seimbang dan penyeliaan kumpulan untuk mengelakkan keletihan emosi.

Langkah ini menandakan peralihan penting dalam peranan asatizah – daripada penyampai ilmu semata-mata kepada penjaga dan pembimbing rohani profesional yang berperanan dalam sistem arus nasional.

Dalam jangka panjang, usaha ini akan diperluas bukan sahaja untuk sektor paliatif, malah bagi sektor lain yang memerlukan khidmat penjagaan dan bimbingan rohani serupa.

Kesimpulan

Dari wad hospital hingga ruang tamu keluarga, dari kuliah masjid hingga bengkel masyarakat, misi Masjid Al-Muttaqin tetap satu: memelihara maruah insan, menenangkan jiwa dan mempermudah jalan kembali kepada Allah swt.

Dengan sokongan Muis, rakan institusi seperti Rumah Penjagaan Ren Ci, Hospis Assisi dan Hospital Kwong Wai Shiu, Masjid Al-Muttaqin membuktikan bahawa khidmat rohani bukan sekadar tanggungjawab keagamaan, namun amanah kemanusiaan.

Dalam masyarakat yang menua, khidmat seperti ini bukan hanya mengurangkan kesepian di penghujung hayat, namun menegaskan makna kehidupan – bahawa setiap detik, walau getir, tetap bernilai dan penuh rahmat.

Penulis ialah Ketua Jabatan Pembangunan Masyarakat di Masjid Al-Muttaqin.

“Dalam masyarakat yang menua, khidmat seperti ini (penjagaan dan bimbingan rohani bagi warga emas dan pesakit paliatif) bukan hanya mengurangkan kesepian di penghujung hayat, namun menegaskan makna kehidupan – bahawa setiap detik, walau getir, tetap bernilai dan penuh rahmat.”
– Penulis.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg