Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Timba ilmu bagi kesejahteraan mental, emosi warga emas

Nov 11, 2025 | 6:21 PM
Dr Fatris Bakaram, Forum Santunan Emas – Fiqh Pesakit
Segmen, ‘Forum Santunan Emas – Fiqh Pesakit’, dalam acara Festival Masyarakat 2025 oleh Masjid Darul Makmur, dikendalikan oleh mantan Mufti, Ustaz Dr Fatris Bakaram, (berdiri), pada 20 Julai lalu. Satu lagi acara Forum Sembang² Santunan Emas akan diadakan di masjid itu pada 15 November. - Foto MASJID DARUL MAKMUR

Satu forum yang akan membincangkan isu kesihatan mental warga emas dan penjaga akan diadakan pada 15 November di Masjid Darul Makmur.

Forum tersebut yang dinamakan, Sembang² Santunan Emas, menghimpunkan barisan panelis daripada Asatizah Santunan Emas, Ustaz Fatris Bakaram dan Ustaz Saiful Adli Ayob, bersama Perunding Bersekutu, Perubatan Geriatrik di Hospital Khoo Teck Puat, Dr Faisal Johandi.

Antara perkara yang akan dibincangkan termasuk memahami tanda awal kemurungan, kebimbangan dan demensia, cara menjaga emosi ketika melalui perubahan hidup, serta cara Islam memandu kesejahteraan jiwa melalui solat, zikir, doa dan sokongan masyarakat.

Dalam memahami perspektif Islam tentang kesihatan mental dalam kalangan warga emas serta langkah praktikal dalam penjagaan mental warga tersebut, peserta juga akan memahami peranan penjaga dalam menyokong kesejahteraan emosi dan rohani pesakit.

Mereka akan dapat menimba panduan praktikal sebagai seorang penjaga seperti membina rutin harian, berkomunikasi dengan lembut, mengurus tekanan dan mendapat bantuan profesional.

Forum itu anjuran bersama Masjid Yusof Ishak, Masjid Darul Makmur, Masjid Al-Muttaqin, Persatuan Muhammadiyah, dan syarikat Ma:een.

Program Santunan Emas telah diperkenalkan pada Oktober 2024 dan kini menjadi nadi sokongan warga emas di kawasan Ang Mo Kio.

Program itu menggabungkan unsur rohani, sosial dan kesihatan, dengan pendekatan dalam memelihara maruah serta martabat warga emas.

Sejak permulaan program, jumlah peserta yang terlibat telah menjangkau hampir 15,000 peserta, sama ada mereka yang hadir di masjid atau melalui penyertaan dalam talian.

Para peserta dididik untuk memahami kepentingan kesihatan fizikal dan kesejahteraan rohani serta menyemai nilai syukur, kehidupan yang bermakna dan sifat tabah pada usia senja.

Forum Sembang² Santunan Emas ini percuma dan terbuka kepada orang ramai. 

Ia akan dikendalikan dalam bahasa Melayu. Perkhidmatan penterjemah bahasa isyarat dan jurubahasa turut disediakan.

Orang ramai boleh mendaftarkan nama mereka melalui pautan, https://tinyurl.com/sembangSE, dan hantarkan soalan untuk panelis melalui pautan, https://bit.ly/tanyaSE.

Anda juga boleh mengimbas kod QR yang terdapat dalam poster acara untuk mendaftar dan hantarkan soalan.

Jom hadir dan timba ilmu bermanfaat untuk kesejahteraan mental dan emosi warga emas kita!

Tarikh: Sabtu, 15 November 2025

Waktu: 10 pagi – 12 tengah hari

Tempat: Dewan Solat Utama, Masjid Darul Makmur

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg