Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Anjur buka puasa untuk jemaah setempat, pekerja Bangladesh

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Anjur buka puasa untuk jemaah setempat, pekerja Bangladesh

Turut jual buku panduan Ramadan untuk kanak-kanak ikut peringkat umur
Mar 12, 2024 | 05:30 AM



Seperti tahun-tahun lalu, Masjid Alkaff Kampung Melayu telah bersiap sedia dengan pelbagai kegiatan sempena ketibaan Ramadan 2024.

Antaranya termasuk menyediakan juadah berbuka puasa untuk jemaah termasuk pekerja migran dari Bangladesh.

Terdapat juga program lain seperti mengadakan acara bertadarus satu malam satu juz menyusuli solat tarawih.

Ia akan diadakan sepanjang Ramadan bagi kaum Muslimin, dan sehingga 27 Ramadan bagi kaum Muslimah pada waktu pagi.

Pada setiap Jumaat dan Sabtu pula akan diadakan kuliah agama menyusuli solat tarawih lapan rakaat.

Pada hari-hari lain, solat tarawihnya adalah 20 rakaat.

Semasa dihubungi, pengerusi Masjid Alkaff Kampung Melayu, Encik Mohamed Faizul Othman, berkata sejak lebih lima tahun lalu, masjid tersebut memang telah menyediakan jamuan berbuka puasa untuk jemaah termasuk pekerja migran Bangladesh.

Jamuan itu menarik 400 hingga 500 daripada mereka pada hari-hari biasa dan 800 hingga 1,200 pada hujung minggu atau pada hari tertentu.

Malah, sekitar 40 daripada mereka turut diberi peluang menyumbang tenaga menguruskan majlis berbuka itu dengan menyiapkan makanan dan menjadi pembimbing kepada rakan mereka.

‘‘Maka itu, kami mengharapkan sokongan daripada jemaah kita dan orang ramai agar menaja majlis berbuka di masjid kami.

“Sokongan dana juga terus diharapkan bagi projek peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu,’’ katanya.

Beberapa lagi usaha sepanjang bulan Ramadan ialah menyediakan buku panduan Ramadan untuk kanak-kanak mengikut peringkat umur bagi mereka.

Buku panduan itu khusus buat si cilik yang berusia tiga tahun hingga lima tahun; lima tahun hingga tujuh tahun; dan tujuh tahun hingga sembilan tahun. Ia boleh dibeli di masjid dengan harga $20 senaskhah.

Selain itu, Masjid Alkaff Kampung Melayu akan juga menjual sampul duit Hari Raya dengan lima bentuk rekaan berharga $50 untuk 10 keping sebagai usaha menambah dana peningkatan masjid itu.

Dalam usaha menebar kebaikan, pihak masjid akan turut mengagihkan bubur pada 23 Mac kepada penduduk di beberapa blok flat berhampiran Masjid Alkaff Kampung Melayu tanpa mengira bangsa dan agama.

Sementara itu, bagi mempermudahkan ibu bapa menunaikan solat tarawih, masjid itu akan menyediakan ruang untuk menjaga kanak-kanak yang berusia empat tahun ke atas. Ia akan dikendalikan oleh ‘duta belia’.

Selain itu, masjid akan juga menjadi tuan rumah kepada beberapa anggota badan akar umbi di kawasan undi masjid tersebut untuk berbuka puasa bersama jemaah dan pihak pentadbir masjid, tambah Encik Mohamed Faizul.

Pelajar lima madrasah akan juga masing-masing mengadakan program sehari di masjid itu seperti menyertai solat tarawih dan melaungkan azan.

Encik Mohamed Faizul turut meminta kerjasama jemaah agar bersikap bertimbang rasa dan mengikut arahan petugas masjid.

‘‘Kami benar-benar memohon kepada jemaah agar tidak meletakkan kenderaan mereka sebarangan di kawasan sekitar masjid dalam bulan Ramadan ini sehingga mengganggu lalu lintas dan membahayakan jemaah lain serta menjaga tatatertib semasa mahu mendapatkan bubur di masjid,’’ pesannya.

Pengagihan bubur di masjid itu bermula selepas asar.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >