Kumpulan Al-Quran, Raudhatul Quran Masjid Ar-Raudhah sekali lagi berjaya menganjurkan Majlis ‘Halaqah Cinta Al-Quran’ buat kali ketiga pada 22 September.
Halaqah bermaksud ‘Mencintai (membaca) Al-Quran secara berkumpulan’.
Majlis halaqah itu memberi peluang kepada peserta mendalami Surah Muhammad, setelah sebelumnya Surah Ar-Rahman diulas dengan penuh mendalam oleh Ustazah Mamnun Sulhan, salah seorang asatizah di Masjid Ar-Raudhah, yang terletak di Bukit Batok.
Halaqah kali ini dipimpin oleh Ustazah Dr Rohana Ithnin, yang berjaya menarik penyertaan seramai 80 kaum Hawa, termasuk sukarelawan.
Sambutan yang hangat itu mencerminkan betapa tingginya minat peserta untuk mendalami ilmu Al-Quran dalam suasana yang penuh harmoni dan penghayatan.
Menurut Ketua Literasi Al-Quran dan Pendidikan Islam di masjid tersebut, Ustazah Zakiah Abdul Razak, banyak tajuk menarik telah diketengahkan sepanjang majlis berlangsung.
Antara inti pati penting yang dikupas oleh Ustazah Dr Rohana ialah:
* Ganjaran besar bagi orang beriman yang teguh dalam keimanan dan ketaatan kepada perintah Allah swt.
* Peringatan keras serta azab yang menanti mereka yang munafik dan ingkar terhadap perintah Allah swt, sebagai amaran agar umat Islam sentiasa berada di landasan yang benar.
* Pengertian jihad yang lebih luas, bukan sekadar di medan perang, bahkan jihad dalam menyebarkan kebenaran dan menegakkan syariat Islam.
* Kehidupan dunia yang sementara; umat Islam perlu bijak mengatur keutamaan hidup, memastikan keputusan yang dibuat seimbang antara tuntutan duniawi dengan ukhrawi.
* Kepentingan kebijaksanaan dalam membuat keputusan. Setiap tindakan yang diambil mestilah berasaskan pertimbangan rasional dan tidak dipengaruhi oleh hawa nafsu.
* Berpegang teguh pada Al-Quran dan sunah. Nabi Muhammad saw bersabda: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang jika kamu berpegang teguh padanya, kamu tidak akan tersesat, iaitu Al-Quran dan sunah.” (Hadis Riwayat Muslim).
Selain itu, Ustazah Dr Rohana turut menekankan pentingnya kesabaran dalam ibadah.
Surah Ali Imran, ayat 200, yang menyentuh soal kesabaran, menjadi tumpuan dengan maksud: “Wahai orang beriman! Bersabarlah kamu, kuatkanlah kesabaranmu, dan tetaplah bersiap siaga. Bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh kejayaan.”
Ustazah Zakiah menambah bahawa ayat itu mengingatkan setiap kesulitan pasti diiringi kesenangan.
Orang yang bersabar akan menerima kemuliaan di sisi Allah swt, kerana kesabaran adalah kunci kepada kejayaan dan kebahagiaan abadi.
Ustazah Rohana turut menyeru kaum Muslimah agar memainkan peranan sebagai srikandi Islam dalam mendukung dan menegakkan agama Allah swt, dengan tekad dan kesungguhan yang tidak goyah.
Majlis yang penuh bermakna itu diakhiri dengan bacaan Tasbih Kafarah dan Surah Al-Asr, melambangkan penyatuan hati peserta dalam menghayati makna ayat-ayat suci Al-Quran.
“Semoga ‘Halaqah Cinta Al-Quran’ akan datang dapat membawa lebih banyak lagi pencerahan dan penghayatan terhadap ayat-ayat cinta dalam Al-Quran.
“Memahami dan mengamalkan isi Al-Quran bukan sahaja meningkatkan keimanan, malah ia juga memperkukuhkan jati diri kita sebagai umat Islam.
“Dengan penghayatan ini, kita bukan sahaja dapat memperkuatkan diri sendiri, malah memainkan peranan penting dalam keluarga dan masyarakat,” kata Ustazah Zakiah.
Maklum balas daripada peserta amat menggalakkan, dengan cadangan agar majlis itu dianjurkan empat kali setahun, bagi memastikan kesinambungan pencerahan dan penghayatan Al-Quran dalam kalangan peserta.
1. PayNow ke UEN S93MQ0024E. Isikan ‘Infak MUP’ dalam ruangan rujukan. Setelah membuat sumbangan, sila WhatsApp ke talian 9461-4306.
2. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 501-806368-001.
3. Hantarkan cek atas nama Lembaga Pentadbir Masjid Ar-Raudhah dan kirimkan ke alamat 30 Bukit Batok East Avenue 2, Singapura 659919.
4. Imbas kod QR yang tertera.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg