Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bank Komuniti sedia susu, lampin buat 700 keluarga berpendapatan rendah

Feb 14, 2025 | 5:30 AM
Muhammadiyah sudah mengagihkan lampin dan barangan keperluan lain dari masa ke masa, atau adhoc, namun mereka kini berharap dapat melakukannya secara tetap atau berkala pula.
Muhammadiyah sudah mengagihkan lampin dan barangan keperluan lain dari masa ke masa, atau adhoc, namun mereka kini berharap dapat melakukannya secara tetap atau berkala pula. - Foto PERSATUAN MUHAMMADIYAH

Persatuan Muhammadiyah teruja mahu memperkenalkan satu daya usaha baru iaitu ‘Bank Komuniti’ bagi memberi harapan kepada lebih 700 keluarga berpendapatan rendah. Daya usaha ini menyediakan susu dan lampin untuk bayi, warga emas dan individu yang berkeperluan khas.

Bantuan ini memberikan harapan dan kelegaan kepada keluarga yang telah dikenal pasti serta membantu mengurangkan perbelanjaan mereka bagi keperluan ini.

“Tahun lalu, permintaan meningkat bagi susu dan keperluan lampin bayi serta orang dewasa. Namun, agihan tersebut hanya dapat dilakukan dari masa ke masa, atau secara adhoc.

“Oleh itu, dengan adanya Bank Komuniti ini, kami berharap bekalan kami mencukupi untuk diagihkan kepada mereka secara tetap atau berkala,” jelas Pengurus Pendekatan dan Penglibatan Masyarakat, Persatuan Muhammadiyah, Cik Fadillah Mohamed Razali.

Pada Disember 2024, Persatuan Muhammadiyah melancarkan program ‘Kembali Ke Sekolah’ buat kali pertama, dengan 300 pelajar menerima alat tulis sekolah dan cermin mata baru.

Kempen ini berjaya mengumpul hampir $20,000. Sumbangan diterima dalam bentuk barangan dan wang daripada syarikat dan individu setempat.

Pelancaran projek Bank Komuniti pada tahun 2025 ini pula akan memulakan rangkaian kegiatan kebajikan yang diadakan setiap tahun oleh Persatuan Muhammadiyah, untuk memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan semasa musim perayaan nanti.

Daya usaha ini termasuk pengagihan juadah berbuka puasa mingguan kepada lebih 400 keluarga berkeperluan tinggi, pengagihan duit zakat serta pemberian barangan dapur kepada keluarga berpendapatan rendah.

Persatuan Muhammadiyah menyasarkan untuk mengumpulkan $15,000 bagi kempen Bank Komuniti pada tahun 2025 ini.

“Kami mengalu-alukan sokongan yang berterusan daripada orang ramai dan masyarakat yang bermurah hati untuk menyumbang kepada kempen ini,” ujar Cik Fadillah lagi.

CARA MENDERMA

Persatuan Muhammadiyah menerima derma dalam bentuk barangan pada 15 Februari 2025 ini di Pusat Kesihatan dan Jagaan Siang Muhammadiyah (MHCC), beralamat di 10 Eunos Crescent. Masa untuk menderma dari 10 pagi hingga 2 petang dan pada hari Sabtu kedua setiap bulan selepas itu.

Sumbangan kewangan pula akan digunakan untuk membeli susu dan produk lampin yang ditaja sebahagiannya untuk diedarkan kepada penerima benefisiari.

SEKILAS

Anda boleh menderma melalui PayNow (Rujukan: CBMD_Nombor HP anda) dengan mengimbas kod QR yang disediakan atau secara dalam talian di https://give.asia/communitybank.

Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi talian 8354-2666.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg