Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anjur kursus imam didik kaum Adam belajar etika, tanggungjawab ‘khalifah’

Oct 11, 2024 | 5:30 AM
Solat berjemaah di Masjid Alkaff Kampung Melayu dan kepentingan bagi imam memastikan serta melaksanakan tugas dengan sempurna dan beretika.
Solat berjemaah di Masjid Alkaff Kampung Melayu dan kepentingan bagi imam memastikan serta melaksanakan tugas dengan sempurna dan beretika. - Foto MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU

Menyedari akan pentingnya pengetahuan tentang peranan dan tugas imam bagi kaum lelaki yang digelar ‘khalifah’ dalam keluarga, Masjid Alkaff Kampung Melayu akan mengadakan Kursus Imam Muazzin selama lima minggu.

Kursus ini menawarkan latihan menyeluruh dalam aspek penting kepimpinan solat dan azan.

Peserta akan mempelajari teknik bacaan Al-Quran yang betul, kemahiran memimpin solat, dan melaksanakan azan dengan penuh kefahaman dan keyakinan.

Menurut Pegawai Eksekutif Dakwah, Masjid Alkaff Kampung Melayu, Ustaz Abdul Rahman Salam, kursus imam yang disediakan ini bakal dilengkapi dengan pelbagai aspek penting untuk menjadi imam yang baik.

“Pembimbing akan menerangkan beberapa tajuk penting dalam kursus ini. Antaranya sejarah pensyariatan azan dan solat, perkara yang perlu diperhatikan sebelum dan sesudahnya. Pengetahuan tentang waktu haram menunaikan solat serta perkara yang membatalkannya turut dikongsikan dalam kursus ini,” jelas Ustaz Abdul Rahman.

Ustaz Abdul Rahman turut menambah, peserta akan mempelajari teknik bacaan Al-Quran, menyentuh bab al-Lahnu, atau kesalahan dalam bacaan, membicarakan punca dan cara mengatasinya.

Selain itu, pembimbing akan menerangkan tentang tingkatan bacaan, maqamat iaitu irama bagi menghiasi bacaan yang sesuai untuk dilaksanakan dalam azan dan solat berjemaah. Beberapa panduan untuk meningkatkan kemahiran dan membina keyakinan akan diselitkan sepanjang kursus ini.

Kursus ini juga turut menekankan etika dan tanggungjawab seorang imam dan muazzin dalam masyarakat, memastikan mereka dapat melaksanakan tugas dengan berkesan dan mematuhi tuntutan agama.

“Ia membina dan meningkatkan kefahaman mendalam kepada masyarakat, serta mengembangkan kemahiran kepimpinan dalam perkara yang berkaitan tentang pelaksanaan solat secara berjemaah menerusi penerangan dan latihan dalam kursus ini,” tambah Ustaz Abdul Rahman.

Antara tenaga pengajar dan pembimbing bagi kursus ini ialah Ustaz Sheikh Umar Abdul Aziz, Ustaz Mohammad Noor Samat dan Ustaz Mohd Farhan Yaacob. Kursus ini dibuka kepada lelaki berumur 18 tahun ke atas.

Ustaz Abdul Rahman mengalu-alukan lebih ramai Muslimin ikut serta. Ujarnya:

“Pengetahuan tentang peranan dan tugasan imam ini sangat penting bagi kaum lelaki khususnya kerana dalam Islam lelaki memegang tanggungjawab memastikan ibadah dilaksanakan dengan sempurna termasuk dalam urusan memimpin solat.

“Ia juga berperanan sebagai teladan kepada keluarga, memimpin mereka untuk membentuk generasi yang lebih baik.”

Kursus sebegini pernah dilaksanakan pada 2019, dengan sambutan yang sangat memberangsangkan.

Pada 2024 ini, kursus ini akan berlangsung pada 17, 24 dan 31 Oktober, serta 7 dan 14 November pada setiap Khamis di Dewan Serbaguna Masjid Alkaff Kampung Melayu.

Jika anda berminat untuk mendalami pengetahuan dalam memimpin solat, sila hubungi talian 6242-7244 untuk pertanyaan lanjut.

Anda boleh menghulurkan derma kepada dana peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu melalui:

1. PayNow UEN:S94MQ0017D.

2. Hubungi talian 6242-7244 untuk khidmat pungutan derma dari rumah.

3. Imbas kod QR yang tertera.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg