Masjid Alkaff Kampung Melayu bakal mengadakan kursus umrah dalam bahasa Inggeris bagi memudahkan pemahaman generasi muda dan masyarakat antarabangsa, secara amnya.
Kursus pendek tiga jam itu adalah percuma dan akan diadakan pada dua tarikh berbeza, pada 2 November dan 7 Disember 2024.
Sesi bermula dari 9.30 pagi hingga 12.30 tengah hari dan kedua-dua sesi akan merangkumi topik serupa.
Menurut Pegawai Eksekutif Dakwah masjid tersebut, Ustaz Abdul Rahman Salam, kursus ringkas itu akan meliputi aspek penting ibadah umrah seperti kesihatan, pemahaman rukun umrah, dan lain-lain.
Ini merupakan kursus umrah pertama yang ditawarkan dalam bahasa Inggeris oleh masjid tersebut.
Penceramah bagi program itu ialah Ustaz Haron Hassan Akhtar, seorang asatizah berpengalaman di sini.
“Kursus ini diadakan secara tunggal selama tiga jam di Dewan Solat Masjid Alkaff Kampung Melayu, dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat dan bangsa, dan tanpa sebarang bayaran.
“Bahasa Inggeris dipilih untuk memenuhi keperluan generasi muda dan jemaah antarabangsa agar mereka lebih selesa dan yakin dalam mempelajari ibadah umrah.
“Dijangkakan lebih kurang 100 hingga 200 peserta akan menghadiri program tersebut,” ujar Ustaz Abdul Rahman.
Beliau turut menekankan kepentingan persediaan fizikal dan mental sebelum mengerjakan umrah untuk memperoleh keberkatan.
“Umrah adalah ibadah yang menuntut ziarah ke tanah suci Makkah, termasuk tawaf di Baitullah dan sai di antara Safa dengan Marwah.
“Persiapan seperti menjaga kesihatan, latihan stamina, pemahaman rukun umrah, serta memperbaharui niat yang ikhlas amat diperlukan untuk melaksanakannya dengan sempurna,” jelasnya.
Menurut Ustaz Abdul Rahman, meskipun ibadah umrah adalah sunah, mereka yang berkemampuan tetap digalakkan ke tanah suci.
Mereka yang menghadapi isu kesihatan juga tidak diabaikan, kerana Islam membenarkan rukhsah bagi yang kurang mampu secara fizikal, seperti menggunakan bantuan kenderaan atau wakil.
Rukhsah bermaksud kelonggaran pada ketetapan hukum syarak kerana darurat agar ibadah yang diperintahkan dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya tanpa memberatkan.
Selain kursus umrah, Masjid Alkaff Kampung Melayu turut menyediakan kelas Al-Quran dan kuliah kerohanian untuk orang ramai.
1. Pemindahan bank ke dalam akaun OCBC 581-608668-001. Rujukan: ‘Dana Peningkatan’. Hantar tangkap layar transaksi kepada finance@alkaffkm.mosque.sg.
2. Penghantaran cek kepada LPM ALKAFF KG MELAYU. Rujukan pada cek: ‘Dana Peningkatan’. Sila sertakan nama, alamat, dan nombor telefon.
3. PayNow ke UEN S94MO0017D. Nyatakan di ruang rujukan: ALKFBH24
4. Datang terus di pejabat Masjid Alkaff Kampung Melayu di 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221, dari Isnin hingga Jumaat, 9 pagi hingga 5 petang.
* Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Masjid Alkaff Kampung Melayu di talian 6242-7244.
* Ikuti Masjid Alkaff Kampung Melayu di TikTok, Facebook, dan Instagram: @MasjidAlkaffKampungMelayu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg