Tiga wanita yang menghadapi pertuduhan atas dakwaan terlibat dalam menganjur perarakan tanpa permit di sepanjang kawasan Istana menyatakan bahawa mereka tidak akan mengaku salah.
Dalam perbicaraan mahkamah pada 18 September, Mossammad Sobikun Nahar, 25 tahun; Siti Amirah Mohamed Asrori, 29 tahun; dan Annamalai Kokila Parvathi, 36 tahun, menyatakan hasrat mereka untuk mempertikai pertuduhan dan minta dibicarakan melalui peguam mereka.
Mereka dikatakan menganjurkan perarakan pada Februari untuk menunjukkan sokongan mereka terhadap perjuangan Palestin, serta mengajak orang ramai hadir melalui dalam talian.
Pihak polis sebelum ini dalam satu kenyataan berkata, sekumpulan kira-kira 70 orang berkumpul tanpa permit di luar sebuah pusat beli-belah di Orchard Road sebelum berarak ke Istana sambil memegang payung terbuka bermotifkan tembikai, yang merupakan simbol perjuangan dan perpaduan bersama rakyat Palestin.
Mengikut sistem mahkamah, pihak pendakwaan boleh meneruskan perbicaraan bagi kes Mossammad dan Annamalai.
Bagi kes Siti Amirah, siasatan masih dijalankan untuk kejadian lain yang tidak berkaitan. Butiran lanjut mengenai insiden itu tidak diberikan.
Annamalai didakwa atas satu pertuduhan bersubahat menganjurkan perarakan awam di kawasan larangan, manakala Mossammad dan Siti Amirah masing-masing didakwa dengan satu pertuduhan menganjurkan perarakan awam di kawasan larangan.
Ini adalah kesalahan di bawah Akta Ketenteraman Awam.
Jika didapati bersalah, setiap mereka boleh didenda sehingga $10,000, atau penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali.
Annamalai didakwa bersubahat dengan Mossammad, Siti Amirah dan beberapa individu lain, termasuk Cik Alysha Mohamed Rahmat Shah dan Cik Anystasha Mohamed Rahmat Shah, untuk menganjurkan perarakan itu.
Pihak polis telah mengeluarkan amaran bersyarat 24 bulan terhadap Cik Alysha dan Cik Anystasha.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg