Dua wanita yang didakwa menganjur perarakan berkait isu Palestin tanpa permit di luar Istana, mendapat kelulusan mahkamah pada 25 Julai untuk ke luar negara dan jumlah ikat jamin ditetapkan pihak pendakwa dikurangkan.
Siti Amirah Mohamed Asrori, 29 tahun, dan Annamalai Kokila Parvathi, 35 tahun, diwakili Encik Derek Wong daripada Phoenix Law Corporation, dalam dua pendengaran berasingan, telah membuat permohonan agar masing-masing dapat membuat kunjungan ke Kuala Lumpur dan Pulau Pinang serta Johor Bahru bagi tujuan riadah dan keluarga.
Pihak pendakwa tidak menentang kedua-dua permohonan itu dan meminta tambahan ikat jamin berjumlah $10,000 masing-masing bagi Amirah dan Annamalai, namun Encik Wong memohon jumlah itu dikurangkan.
Hakim kemudian meluluskan kedua-dua permohonan tersebut serta menetapkan ikat jamin $8,000 bagi setiap tertuduh.
Pada 27 Jun, Annamalai didakwa atas satu tuduhan bersubahat menganjurkan perarakan awam di kawasan larangan, manakala Amirah, bersama seorang lagi tertuduh, Mossamad Sobikun Nahar, 25 tahun, masing-masing didakwa atas satu tuduhan menganjurkan perarakan awam di kawasan larangan.
Perarakan pada 2 Februari lalu itu, melibatkan sekitar 70 orang dari Orchard Road hingga ke Istana.
Kes bagi ketiga-tiga individu itu akan didengar lagi pada 8 Ogos.
Bagi Amirah, mahkamah pada 25 Julai membenarkan kes didengar pada sesi seterusnya tanpa kehadirannya kerana dia bakal berada di luar negara pada tarikh itu.
Pihak pendakwa juga memberitahu mahkamah tiada “tuduhan baru” terhadapnya bakal didengar pada sesi itu, susulan kenyataan polis sebelum ini bahawa Amirah sedang disiasat bagi kesalahan berasingan.
Encik Wong memberitahu mahkamah, Amirah telah membuat permohonan untuk pergi ke Kuala Lumpur dari 1 hingga 3 Ogos dan ke Pulau Pinang bersama keluarganya dari 4 hingga 9 Ogos.
Beliau memohon agar ikat jaminnya dikurangkan kepada $5,000 selepas pendakwa, yang menganggapnya berisiko rendah melarikan diri, meminta ikat jamin ditambah kepada $10,000. Amirah sebelum ini diikat jamin $5,000.
“Malah, apabila kita lihat slip gaji pekerjaannya juga, ia menunjukkan dia (anak guam saya) tidak begitu mampu,” kata Encik Wong.
Hakim Dearah Janet Wang, bagaimanapun, tidak menerima alasan itu kerana ikat jamin ditanggung penjamin, bukan tertuduh.
Encik Wong berkata anak guamnya tidak mahu menyusahkan penjaminnya iaitu teman lelakinya sendiri.
Cik Wang kemudian mengizinkan permohonan tertuduh untuk ke luar negara dari 1 hingga 9 Ogos dan menetapkan ikat jamin pada $8,000.
Bagi Annamalai pula, Encik Wong meminta agar ikat jamin turut dikurangkan kepada $5,000 bagi permohonannya kali ini untuk pergi ke Johor Bahru pada 26 hingga 28 Julai dengan tujuan bertemu temannya.
Pihak pendakwa meminta tambahan ikat jamin berjumlah $10,000 kali ini.
Dalam permohonannya sebelum ini untuk pergi ke Kerala, India, Annamalai diklasifikasikan sebagai mempunyai risiko sederhana melarikan diri dan ikat jamin ditetapkan pada $10,000.
Encik Wong berkata tiada bukti anak guamnya itu berisiko melarikan diri kerana dia juga mematuhi syarat mahkamah dalam rancangan perjalanannya sebelum ini.
Hakim Daerah meluluskan permohonan untuk keluar negara bagi tempoh tersebut dan menetapkan ikat jamin pada $8,000.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg