Seorang wanita warga Singapura yang didakwa menganjurkan perarakan tanpa permit di luar Istana dianggap mempunyai risiko sederhana untuk melarikan diri, kata pihak pendakwaan pada 1 Julai semasa dia membuat permohonan untuk meninggalkan Singapura.
Annamalai Kokila Parvathi, 35 tahun, yang didakwa menganjurkan perarakan pada Februari bersama dua lagi individu untuk menunjukkan sokongan kepada Palestin, kini diikat jamin sebanyak $5,000.
Dia memohon kebenaran untuk pergi ke Kerala, India, dan peguamnya, Encik Derek Wong, memberitahu mahkamah pada 1 Julai bahawa anak guamnya ingin melawat datuk dan neneknya di sana.
Timbalan Pendakwa Raya Sunil Nair berkata Annamalai tidak menunjukkan desakan untuk membuat perjalanan itu, tetapi pihak pendakwaan tidak menolak permohonan itu kerana tempahan untuk perjalanan itu dibuat sebelum pertuduhan dikemukakan.
Beliau meminta jaminan ditambah sebanyak $10,000, dengan hanya memberikan alasan bahawa Annamalai dinilai berisiko sederhana untuk melarikan diri, tanpa menambah sebarang butiran.
Hakim Daerah Lorraine Ho membenarkan permohonan Annamalai, namun mengenakan beberapa syarat tambahan, termasuk jaminan tambahan $10,000.
Annamalai mesti memberikan jadual perjalanan lengkapnya sebelum berangkat kepada pegawai penyiasat dan harus menyerahkan pasportnya dalam masa 24 jam selepas pulang.
Dia didakwa pada 27 Jun atas satu pertuduhan bersubahat menganjurkan perarakan awam di kawasan larangan di bawah Akta Ketenteraman Awam.
Berhubung kes itu, polis dalam satu kenyataan pada hari yang sama berkata, kira-kira 70 orang telah berkumpul pada 2 Februari di luar sebuah pusat beli-belah di Orchard Road sebelum berjalan secara berkumpulan ke Istana sambil membuka payung yang telah dilukis dengan grafik tembikai.
Menurut polis, kumpulan itu tidak mempunyai permit untuk menjalankan perarakan dan menambah bahawa siasatan sedang dijalankan terhadap orang lain yang mungkin terlibat dalam acara yang sama.
Mossammad Sobikun Nahar, 25 tahun, dan Siti Amirah Mohamed Asrori, 29 tahun, turut didakwa pada 27 Jun atas kesalahan di bawah Akta Ketenteraman Awam.
Dalam kenyataan mereka, polis berkata Annamalai sebelum ini telah diberi amaran keras pada 5 Disember 2017, dan amaran bersyarat 24 bulan pada 30 November 2021, kerana penglibatannya dalam perhimpunan awam lain tanpa permit.
Annamalai dan Mossammad akan kembali ke mahkamah pada 8 Ogos, manakala Amirah pula pada 25 Julai.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg