Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anjur perarakan di luar Istana: Wanita diizin ke luar negara

Dec 3, 2024 | 3:34 PM
Permohonan Siti Amirah Mohamed Asrori untuk meninggalkan Singapura ke Batam  diluluskan Hakim Daerah Brenda Tan pada 3 Disember.
Permohonan Siti Amirah Mohamed Asrori untuk meninggalkan Singapura ke Batam diluluskan Hakim Daerah Brenda Tan pada 3 Disember. - Foto ST

Seorang daripada tiga wanita yang didakwa menganjurkan perarakan tanpa permit di luar Istana diberi izin untuk ke Batam bagi tujuan riadah dari 5 hingga 7 Disember.

Pada 3 Disember, Hakim Daerah, Cik Brenda Tan, meluluskan permohonan Siti Amirah Mohamed Asrori, untuk meninggalkan Singapura ke Batam.

Dia dikenakan ikat jamin tambahan berjumlah $8,000 sebagai sebahagian daripada syarat kelulusan permohonannya. Dia asalnya dibebaskan dengan ikat jamin $5,000.

Antara syarat lain, Siti Amirah mesti memastikan dia dapat dihubungi oleh pegawai penyiasat sepanjang berada di Batam.

Dia juga perlu menyerahkan pasportnya kepada pihak berkuasa dalam tempoh 24 jam selepas kembali ke Singapura.

Siti Amirah merupakan salah seorang daripada tiga wanita Singapura yang didakwa pada Jun kerana dipercayai terlibat dalam penganjuran perarakan tanpa permit di sepanjang perimeter Istana – sebuah kawasan larangan – pada 2 Februari.

Mereka dikatakan menganjurkan perarakan itu untuk menunjukkan sokongan mereka terhadap perjuangan rakyat Palestin, lapor The Straits Times (ST).

Annamalai Kokila Parvathi, 36 tahun, didakwa atas satu pertuduhan bersubahat menganjurkan perarakan awam di kawasan larangan, manakala Mossammad Sobikun Nahar, 25 tahun, dan Siti Amirah masing-masing didakwa dengan satu pertuduhan menganjurkan perarakan awam di kawasan larangan.

Kesemua itu merupakan kesalahan di bawah Akta Ketenteraman Awam, dan praperbicaraan ketiga-tiga wanita itu akan diadakan pada 13 Januari 2025.

Dalam kenyataan sebelum ini, polis berkata sekumpulan sekitar 70 orang telah berkumpul di luar sebuah pusat beli-belah di Orchard Road pada Februari sebelum berjalan ke Istana sambil memegang payung terbuka bermotifkan tembikai.

Annamalai sebelum ini diberi amaran tegas pada 5 Disember 2017 dan amaran bersyarat 24 bulan pada 30 November 2021 kerana penglibatannya dalam perhimpunan awam lain tanpa permit.

Polis juga berkata orang awam tidak seharusnya terlibat dalam kegiatan yang boleh menjejas keamanan, ketenteraman awam, dan keharmonian sosial di Singapura. 

“Kami faham bahawa ada sebilangan orang yang mungkin ada perasaan yang mendalam tentang konflik Israel-Hamas, tetapi mereka tidak seharusnya melanggar undang-undang untuk menyatakan pandangan mereka, atau mencontohi penunjuk perasaan di negara lain.

“Sebaliknya, mereka boleh menyertai pelbagai forum dan dialog, serta kegiatan pengumpulan dana yang dianjurkan dengan sewajarnya berkenaan isu ini,” tambah polis.

Pesalah yang disabitkan dengan kesalahan menganjurkan perarakan tanpa izin boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga enam bulan, denda sehingga $10,000, atau kedua-duanya sekali.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg