Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anjur ziarah tempat ibadat sempena Hari Keharmonian Kaum

Jul 19, 2024 | 5:30 AM
Setiap tahun, Masjid Ar-Raudhah mengadakan acara kemasyarakatan untuk menyambut Hari Keharmonian Kaum. Foto menunjukkan jemaah masjid itu bersama anggota masyarakat berbilang kaum lain mengunjungi Kuil Zu Lin bersama Pengerusi Eksekutif Kanan, Masjid Ar-Raudhah, Ustaz Mohamed Ali Atan (tengah, berbaju ungu) pada 2023.
Setiap tahun, Masjid Ar-Raudhah mengadakan acara kemasyarakatan untuk menyambut Hari Keharmonian Kaum. Foto menunjukkan jemaah masjid itu bersama anggota masyarakat berbilang kaum lain mengunjungi Kuil Zu Lin bersama Pengerusi Eksekutif Kanan, Masjid Ar-Raudhah, Ustaz Mohamed Ali Atan (tengah, berbaju ungu) pada 2023. - Foto MASJID AR-RAUDHAH

Apabila kita tinggal dalam masyarakat berbilang kaum dan agama, penting bagi kita mengamalkan sikap toleransi dan menghormati satu sama lain.

Dalam pada itu, kita juga digalakkan agar terus memahami adat, budaya dan amalan keagamaan mereka supaya kita dapat mengharungi kehidupan ini dengan harmoni dan memupuk masyarakat yang lebih kukuh.

Begitulah pendapat Pengerusi Eksekutif Kanan, Masjid Ar-Raudhah, Ustaz Mohamed Ali Atan.

Jika Masjid Ar-Raudhah biasanya menjadi penganjur acara Hari Keharmonian Kaum dengan mengundang anggota masyarakat bukan Islam ke masjid untuk sesi berinteraksi, namun pada 2024, pihak masjid menyokong acara ‘Bukit Batok Harmony Learning Journey 2024’ (Perjalanan Pembelajaran Tentang Keharmonian Bukit Batok) anjuran Kelab Masyarakat Bukit Batok.

Acara yang bakal diadakan pada 20 Julai, bertujuan menggalak jemaah Muslim dan anggota masyarakat bukan Islam agar saling memahami satu sama lain.

Ustaz Mohamed Ali berkata tarikh sebenar Hari Keharmonian Kaum bagi 2024 ialah 21 Julai.

Melalui acara itu, peserta pelbagai agama akan berkumpul beramai-ramai di Hab Sukan Bukit Batok.

Antara peserta yang mengambil bahagian ialah anggota beberapa kelab masyarakat, ahli Kumpulan Harmoni Antara Agama (IRHC), ahli kuil dan pegawai Masjid Ar-Raudhah.

Tetamu kehormat bagi acara itu ialah Anggota Parlimen Bukit Batok, Encik Murali Pillai.

Acara itu akan bermula dengan seramai 100 peserta berjalan dari Hab Sukan Bukit Batok untuk mengunjungi Gereja Presbyterian Bukit Batok, Kuil Buddhist Sattha Puchaniyaram dan berapa kuil lagi di daerah Bukit Batok.

Peserta kemudian berpeluang memahami dengan lebih mendalam tentang setiap adat, budaya dan agama masyarakat masing-masing menerusi ceramah ringkas dan sesi interaksi di setiap tempat ibadat.

Mereka akan mengakhiri kunjungan tersebut di Masjid Ar-Raudhah, dan pihak masjid bakal menyediakan jamuan tengah hari untuk peserta sambil berpeluang berinteraksi dengan kaum lain semasa menjamu selera.

Di samping itu, peserta juga dapat menyaksikan jemaah Muslim mengerjakan solat zuhur di masjid tersebut, dan mendengar pihak masjid memberi penerangan mengenai Islam.

“Setiap tahun, Masjid Ar-Raudhah menjadi tuan rumah dan menganjurkan acara Hari Keharmonian Kaum termasuk semasa pandemik Covid-19 dengan kami mengadakannya secara online dan kemudian kembali secara fizikal selepas pandemik.

“Setelah sekian lama, kami menyambut Hari Keharmonian Kaum bersama anggota masyarakat berbilang kaum, kami percaya bahawa pertalian masjid dengan anggota masyarakat semakin erat dan kami sering memberi sokongan antara satu sama lain,” kata Ustaz Mohamed Ali.

Beliau turut menjelaskan, acara keharmonian sebegini mampu memberikan peluang kepada peserta memahami amalan anggota masyarakat berbilang bangsa dan agama dengan lebih mendalam dan penuh keihsanan.

“Berdasarkan acara tahun-tahun lalu, ada peserta hanya mampu menjejak kaki buat kali pertama di tempat-tempat ibadat lain menerusi acara Hari Keharmonian Kaum sebegini.

“Mereka benar-benar menghargai pengalaman berkunjung ke tempat-tempat ibadat sebegini,” kata Ustaz Mohamed Ali lagi.

Beliau menambah: “Semoga dengan acara ini, kita dapat memahami budaya, agama berbilang bangsa dan dapat hidup dalam keadaan harmoni sesama kita, dalam konteks Singapura ini.”

HULUR SUMBANGAN

Cara untuk memberi sumbangan kepada Masjid Ar-Raudhah:

1. PayNow ke: UEN S93MQ0024E. Isikan ‘Infak MUP’ dalam ruangan ‘rujukan’. Selepas membuat sumbangan, sila WhatsApp ke talian 9461-4306.

2. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 501-806368-001.

3. Hantarkan cek atas nama Lembaga Pentadbir Masjid Ar-Raudhah dan kirimkan ke alamat 30 Bukit Batok East Avenue 2, Singapura 659919.

4. Imbas kod QR yang disediakan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg