USTAZAH MASNIA NASSIM
Masa berlalu begitu pantas. Kita kini sudah pun berada di hujung bulan Safar. Tidak lama lagi, tiba pula bulan Rabiulawal yang dikenali sebagai bulan Maulid bersempena kelahiran Rasulullah saw pada 12 Rabiulawal.
Pada 2024, Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah akan meneruskan sambutan Zikra Rasul kami, yang telah diadakan sejak penubuhan madrasah ini pada 1958.
Majlis ini akan berlangsung pada Sabtu, 21 September, dari 10 pagi hingga 4 petang di bangunan Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah di Sims Avenue.
Jika pada 2023 kami mengadakan majlis ini secara sederhana, namun pada 2024, kami bakal menganjurkan satu lagi acara peraduan yang hampir lebih enam tahun ditiadakan kerana pandemik dan pasca-Covid-19.
Sambutan Zikra Rasul pada kali ini akan diserikan dengan acara musabaqah tahfiz Al-Quran, atau dikenali dengan Muqnan, yang terbuka kepada semua pelajar madrasah sepenuh masa dari institusi yang menawarkan kelas tahfiz.
Acara ini akan kami satukan dengan acara Zikra Rasul yang akan bermula dari 8.30 pagi hingga 12 tengah hari.
Majlis kemudian akan diserikan dengan persembahan dibai‘, iaitu karangan bersyair yang mengisahkan riwayat hidup Baginda saw disertakan dengan selawat dan nasyid oleh pelajar madrasah kami.
Selepas itu, acara akan dijalankan dengan ceramah agama oleh Ustaz Muhd Nuzhan Abdul Halim, sekitar 1 tengah hari. Selain itu, kami juga menyediakan reruai jualan seperti pakaian, buku dan makanan ringan sepanjang acara sehari ini.
Seperti biasa, jamuan nasi beriani dam akan disediakan untuk hadirin Muslimin Muslimat. Insya-Allah, pada 2024, jamuan beriani dam akan disajikan oleh Pengerusi Masjid Khalid, Encik Alla’udin Mohamed, dan pasukannya daripada Masjid Khalid. Jamuan enak ini bermula dari 10 pagi hingga 3.30 petang.
Dalam waktu yang sama, kami sedang giat mengumpul dana untuk pembinaan bangunan tambahan yang sudah pun dijalankan secara berperingkat.
Marilah sama-sama kita menyokong projek murni Nur Ala Nur 2.0 kami, yang akan membiayai pembinaan bangunan tambahan ini. Dan seterusnya, membolehkan madrasah kami beroperasi satu sesi bermula pada 2025.
Penulis merupakan mudirah di Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg