Pasukan Polis Singapura (SPF) akan melantik Pesuruhjaya Polis baru pada 6 Januari 2026.
Encik How Kwang Hwee, 46 tahun, akan menggantikan Encik Hoong Wee Teck, 62 tahun, yang akan bersara selepas memegang jawatan tersebut selama 10 tahun.
Encik How kini merupakan Timbalan Pesuruhjaya Polis (Dasar).
Beliau telah memegang beberapa jawatan penting, termasuk Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (CID) dan pengarah kanan bahagian pembangunan dasar di ibu pejabat Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).
Dalam peranan terdahulu sebagai Timbalan Pesuruhjaya (Siasatan dan Risikan) dan pengarah jabatan operasi, Encik How mengetuai perancangan dan pelaksanaan pelbagai operasi, termasuk operasi keselamatan Sidang Kemuncak Trump-Kim pada 2018 dan kes pengubahan wang haram bernilai $3 bilion yang membawa kepada penangkapan 10 warga asing.
“Sebagai Timbalan Pesuruhjaya (Dasar), Encik How telah membantu Encik Hoong dalam memacu transformasi teknologi di SPF, khususnya dalam penerapan kecerdasan buatan untuk memperkukuh keupayaan dalam siasatan serta pencegahan dan pengesanan jenayah,” menurut kenyataan media yang dikeluarkan MHA pada 6 Oktober.
“Beliau juga mengetuai semakan semula strategi penyampaian perkhidmatan SPF dan menerajui transformasi perkhidmatan yang berurusan dengan orang awam, yang telah membawa kepada penambahbaikan ketara dalam pengalaman masyarakat ketika berurusan dengan SPF.”
Encik Hoong telah berkhidmat dalam SPF selama 38 tahun dan dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis pada Januari 2015.
Beliau pernah memegang banyak jawatan penting, termasuk Timbalan Pesuruhjaya (Siasatan dan Risikan), pengarah CID dan pengarah jabatan risikan polis.
MHA menyatakan bahawa sebagai Pesuruhjaya Polis, Encik Hoong telah “memperkukuh dengan ketara” keupayaan SPF.
“Keupayaan teknologi baru telah dibangunkan untuk memerangi dan mencegah jenayah, termasuk penggunaan kenderaan udara tanpa pemandu untuk rondaan dan tindak balas insiden, serta rangkaian kamera polis dengan analitik video di tempat awam, yang telah meningkatkan kadar kejayaan dan kepantasan SPF dalam menyelesaikan jenayah seperti rompakan,” tambah MHA.
Encik Hoong turut menubuhkan Pasukan Tindak Balas Kecemasan dan Komando Anti-Penipuan SPF.
Dalam separuh pertama 2025, jumlah kes penipuan dan kerugian akibat penipuan menurun masing-masing sebanyak 26 peratus dan 12.6 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg