Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Antara sokongan pemerintah buat keluarga

Aug 24, 2024 | 5:30 AM
Baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) sebanyak $600 merupakan antara sokongan pemerintah bagi tahun kewangan (FY) untuk setiap isi rumah Singapura.
Baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) sebanyak $600 merupakan antara sokongan pemerintah bagi tahun kewangan (FY) untuk setiap isi rumah Singapura. - Foto fail

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong mengumumkan beberapa cara pemerintah akan menyokong keluarga di Rapat Hari Kebangsaan (NDR) 2024, menambah kepada usaha berterusan pemerintah saban tahun.

Berikut antara beberapa sokongan yang diberikan sejak beberapa tahun lalu.

Pakej Jaminan kali pertama diumumkan semasa Belanjawan 2020 untuk mengurangkan kesan kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) buat semua rakyat Singapura. Pembayaran diagihkan selama lima tahun dari 2022 hingga 2026.

Semasa Belanjawan 2023, Pakej Jaminan telah dipertingkatkan untuk mengambil kira inflasi yang lebih tinggi dan menyediakan sokongan sekali sahaja kepada rakyat Singapura bagi menangani kebimbangan kos sara hidup.

Pada September 2023, Pakej Bantuan Kos Sara Hidup (COL) dengan tambahan $1.1 bilion untuk memberikan lebih banyak kelegaan kepada isi rumah Singapura turut diumumkan.

Ia termasuk peningkatan $0.8 bilion kepada Pakej Jaminan, menjadikan Pakej Jaminan kepada lebih $10 bilion.

Semasa Belanjawan 2024, pemerintah memperkenalkan peningkatan $1.9 bilion kepada Pakej Jaminan, yang terdiri daripada baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) tambahan, pembayaran tunai dan rebat untuk menyediakan lebih banyak sokongan untuk isi rumah.

Penambahbaikan itu adalah di samping pembayaran tunai dan rebat sedia ada, termasuk bantuan kewangan dan cuti ibu bapa seperti Hadiah Tunai Bonus Bayi, sumbangan kepada Akaun Pembangunan Anak (CDA) dan faedah cukai bagi rakyat Singapura yang ingin mempunyai anak dan membina keluarga.

Baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC)

Setiap isi rumah Singapura akan menerima Baucar CDC sebanyak $600 pada tahun kewangan (FY) 2024.

Baucar CDC $300 yang pertama telah diagihkan pada Jun lalu dan baki $300 Baucar CDC akan diagihkan pada Januari 2025.

Bayaran Khas Kos Sara Hidup (COL)

Warga Singapura yang layak (i) yang berumur 21 tahun dan ke atas pada 2024; (ii) menetap di Singapura; (iii) yang tidak memiliki lebih daripada satu harta; dan (iv) dengan pendapatan taksiran sehingga $100,000, akan menerima wang tunai sekali sahaja antara $200 dengan $400 pada September.

Kos Sara Hidup (COL) U-Save

Pada FY 2024, isi rumah warga Singapura yang layak akan menerima COL U-Save sekali sahaja untuk membantu mengimbangi perbelanjaan utiliti biasa mereka pada April, Julai, Oktober dan Januari 2025.

Sokongan itu diberikan kepada rakyat Singapura yang tinggal di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan anggota isi rumah mereka tidak memiliki lebih daripada satu hartanah.

Ini adalah tambahan kepada Baucar GST (GSTV) suku tahunan sedia ada – U-Save dan Pakej Jaminan U-Save yang mereka terima pada Januari dan Julai.

Secara keseluruhan, isi rumah HDB yang layak akan menerima Rebat Jimat Perbekalan (Rebat U-Save) antara $550 dengan $950 antara April dengan Januari 2025.

Rebat Bayaran Perkhidmatan dan Penyenggaraan (S&CC) Kos Sara Hidup (COL)

Isi rumah warga Singapura yang layak, yang tinggal di flat HDB akan menerima Rebat COL S&CC sekali sahaja untuk mengimbangi 0.5 bulan S&CC pada Januari 2025.

Ini adalah tambahan kepada Rebat S&CC suku tahunan sedia ada yang mereka terima pada April, Julai, Oktober dan Januari 2025.

Secara keseluruhan, isi rumah HDB yang layak akan menerima antara dua hingga empat bulan rebat S&CC pada FY 2024.

Skim Bonus Bayi Dipertingkatkan

Anak pertama dan kedua akan menerima $14,000 Hadiah Tunai Bonus Bayi (BBCG) setiap seorang dan $7,000 untuk Geran Langkah Pertama (FSG) anak mereka.

Pemerintah akan memadankan bersama FSG dengan sehingga $5,000 untuk anak pertama dan $8,000 untuk anak kedua.

Anak ketiga, keempat dan kelima akan menerima $16,000 BBCG setiap seorang dan $7,000 untuk FSG anak mereka.

Pemerintah akan memadankan bersama FSG dengan sehingga $9,000 untuk anak ketiga dan keempat dan $15,000 untuk anak kelima.

Kanak-kanak Singapura yang layak dilahirkan pada atau selepas 14 Februari 2023 akan menerima Geran MediSave sebanyak $4,000.

Cuti Ibu Bapa

Di bawah skim cuti ibu bapa yang dikongsi pada masa ini, seorang ibu yang bekerja perlu melepaskan maksimum empat daripada 16 minggu cuti bersalin yang ada, jika mereka mahu suami ikut meningkatkan penglibatan suami.

Mulai 1 April 2025, ibu boleh mengambil cuti bersalin bergaji penuh selama 16 minggu. Bapa akan berhak mendapat cuti paterniti berbayar selama empat minggu.

Selain itu, pasangan juga boleh berkongsi antara mereka enam minggu tambahan cuti ibu bapa berbayar mulai 1 April 2025 dan 10 minggu tambahan cuti ibu bapa berbayar mulai 1 April 2026.

Cuti ibu bapa yang dikongsi akan diagihkan sama rata antara kedua-dua ibu bapa.

Langkah Sokongan Lain

– Anggota Perkhidmatan Negara (NS) yang layak akan menerima $200 dalam kredit LifeSG NS pada November dan boleh menggunakan selama satu tahun dari tarikh dikeluarkan.

– Rebat Cukai Pendapatan Peribadi (PIT) sebanyak 50 peratus daripada cukai yang perlu dibayar, dihadkan pada $200 setiap pembayar cukai, akan diberikan kepada semua penduduk bagi Tahun Taksiran 2024.

– Bonus MediSave (sekali sahaja) antara $100 dengan $300 bagi warga Singapura dewasa yang layak berumur antara 21 dengan 50 tahun.

– Baucar Skim Perumahan Sementara Keibubapaan (Pasaran Terbuka) setahun untuk keluarga yang layak menyewa flat HDB di pasaran terbuka.

– Kurangkan had yuran bulanan penjagaan (sepenuh hari) kanak-kanak di prasekolah yang disokong pemerintah pada 2025, kepada $640 untuk Skim Pengendali Utama (AOP) dan $680 untuk Pengendali Rakan Kongsi (POP).

– Meningkatkan subsidi prasekolah sedia ada untuk keluarga berpendapatan rendah.

– Pakej Kemajuan ComLink+ bagi menyokong keluarga berpendapatan rendah dengan anak kecil yang mengambil langkah meningkatkan pendidikan prasekolah, pekerjaan dan kestabilan kewangan serta menabung untuk pemilikan rumah.

– Naikkan ambang pendapatan tahunan untuk pelepasan Cukai Pendapatan Peribadi berkaitan tanggungan kepada $8,000 dari Tahun Taksiran 2025.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg