Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Pakej Jaminan $1.9b beri kelegaan jangka pendek kepada warga, isi rumah

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pakej Jaminan $1.9b beri kelegaan jangka pendek kepada warga, isi rumah

Feb 16, 2024 | 07:08 PM



Isi rumah warga Singapura akan menikmati sedikit kelegaan jangka pendek menerusi peningkatan ke atas Pakej Jaminan $1.9 bilion yang merangkumi baucar tambahan Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC), rebat U-Save dan rebat perkhidmatan dan penyenggaraan (S&CC).

Dalam menyampaikan ucapan Belanjawan 2024 di Parlimen pada 16 Februari, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, berkata meskipun keadaan ekonomi dijangka bertambah baik tahun ini, ketidakpastian masih wujud.

Oleh itu, pemerintah mahu memberi sokongan lebih baik kepada isi rumah dan meningkatkan Pakej Jaminan.

Ini akan dilakukan dengan, pertama, menyediakan tambahan $600 dalam bentuk baucar CDC bagi semua isi rumah warga Singapura yang akan diagihkan dalam dua bahagian.

Bahagian pertama bernilai $300 akan diberikan pada hujung Jun 2024, sementara lagi $300 akan diberikan pada Januari 2025.

Kedua, bayaran khas kos sara hidup dalam bentuk wang tunai bernilai antara $200 dengan $400 akan diberikan kepada dewasa warga Singapura dengan pendapatan boleh dinilai tidak melebihi $100,000 dan yang tidak memiliki lebih daripada satu hartanah.

Bayaran ini akan diberikan pada September 2024 dan dijangka memberi manfaat kepada sekitar 2.5 juta warga Singapura.

Ketiga, rebat U-Save tambahan sekali sahaja akan diberikan untuk membantu isi rumah Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) menghadapi kenaikan bil api air mereka.

Rebat U-Save ini akan diagihkan pada April 2024, Julai 2024, Oktober 2024 dan Januari 2025.

Secara keseluruhan, isi rumah HDB yang layak akan menerima 2.5 kali ganda jumlah Baucar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GSTV)-U-Save yang biasa diterima, atau sehingga $950 sepanjang tahun kewangan 2024 (FY2024).

Keempat, rebat S&CC tambahan sekali sahaja akan diberikan kepada isi rumah warga Singapura yang layak.

Rebat ini akan mengimbangi 0.5 bulan S&CC pada Januari 2025.

Bersama-sama rebat S&CC biasa, isi rumah HDB yang layak akan menerima sehingga empat bulan rebat S&CC pada FY2024.

Lebih 950,000 isi rumah warga Singapura dijangka meraih manfaat daripada rebat ini.

“Secara keseluruhan, sokongan tambahan di bawah Pakej Jaminan akan menelan belanja $1.9 bilion.

“Kami telah merancang pakej tersebut agar lebih banyak keluarga berpendapatan rendah boleh menerima sokongan. Kami juga telah memastikan isi rumah lebih besar, terutama mereka yang mempunyai warga emas atau kanak-kanak, boleh menerima lebih banyak sokongan,” kata Encik Wong.

Sementara itu, sebagai sebahagian usaha pemerintah membantu warga Singapura mengimbangi kos penjagaan kesihatan dan membina simpanan perubatan mereka, Encik Wong mengumumkan Bonus MediSave sekali sahaja bagi semua dewasa warga Singapura berusia antara 21 dengan 50 tahun iaitu mereka yang lahir antara 1974 dengan 2003.

Bonus ini akan ditetapkan secara berperingkat berdasarkan tahun kelahiran individu, Nilai Tahunan kediaman mereka dan sama ada mereka memiliki lebih daripada satu hartanah pada 31 Disember 2023.

Bonus tersebut, yang dijangka memberi manfaat kepada sekitar 1.4 juta warga Singapura, akan dimasukkan ke dalam Akaun MediSave Tabung Simpanan Pekerja (CPF) individu yang layak pada Disember 2024.

Encik Wong berkata ini diharap dapat membantu mereka “menampung bil perubatan lebih kecil dan premium insurans”

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata:

“Meskipun dengan gaya hidup lebih sihat, kesemua kita masih akan memerlukan beberapa bentuk penjagaan perubatan sedang usia kita meningkat, terutamanya pada saat-saat akhir hayat.

“Kita mesti menjangkakan kos penjagaan kesihatan termasuk premium insurans perubatan, akan meningkat meskipun selepas subsidi pemerintah yang banyak.

“Kami mahu memastikan semua warga Singapura termasuk mereka yang bekerja sendiri dan mereka yang tidak bekerja dapat membina simpanan perubatan mereka dengan jangkaan kos yang semakin meningkat.”

Pada masa yang sama, Encik Wong juga berkata pemerintah akan menyemak semula kriteria pendapatan bagi skim subsidi penjagaan kesihatan dan sokongan sosial yang berkaitan yang diuji mengikut kemampuan.

Lebih 1 juta warga dan penduduk tetap Singapura dijangka meraih manfaat daripada subsidi lebih tinggi apabila kriteria yang disemak semula ini berkuatkuasa menjelang suku keempat 2024.

Perubahan ini dibuat setelah mengambil kira perubahan dapatan isi rumah serta kos penjagaan kesihatan dan sokongan sosial yang berkaitan.

“Perubahan kepada ambang pendapatan isi rumah per kapita akan bermakna tambahan perbelanjaan pemerintah sekitar $300 juta setahun,” kata Encik Wong.

Namun, tambahnya: “Ini akan memberikan jaminan yang lebih besar bagi kos penjagaan kesihatan yang juga akan mengurangkan tekanan kewangan ke atas penjaga.”

Selain itu, sokongan bagi warga Singapura akan diberikan dalam bentuk kredit LifeSG NS.

Semua anggota Perkhidmatan Negara (NS) kini dan masa lalu akan menerima kredit LifeSG sebanyak $200 pada November 2024.

Kredit ini boleh dibelanjakan di lebih 100,000 kedai fizikal atau dalam talian yang menerima bayaran melalui PayNow UEN QR atau Nets QR.

“Saya berharap ini akan sedikit sebanyak merakamkan penghargaan dan rasa terima kasih kepada anggota NS kita serta keluarga mereka atas semua yang telah mereka lakukan dan terus lakukan bagi negara kita,” ujar Encik Wong.




File
File

Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >