Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anugerah baru diperkenal iktiraf belia cemerlang dalam warisan

Tinjauan NHB: Bilangan belia sertai kegiatan warisan bertambah kepada 66% pada 2024, daripada 58% pada 2022
Apr 3, 2025 | 5:30 AM
Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, berkongsi dapatan positif Tinjauan Kesedaran Budaya 2024, bersama hadirin di majlis penyampaian Anugerah Peneraju Warisan Budaya Tidak Ketara di Auditorium Ngee Ann Kongsi, Galeri Nasional Singapura, pada 2 April.
Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, berkongsi dapatan positif Tinjauan Kesedaran Budaya 2024, bersama hadirin di majlis penyampaian Anugerah Peneraju Warisan Budaya Tidak Ketara di Auditorium Ngee Ann Kongsi, Galeri Nasional Singapura, pada 2 April. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Semakin ramai rakyat Singapura, terutamanya belia, menyedari kepentingan memelihara dan meraikan warisan budaya pelbagai kaum dalam kehidupan harian mereka. 

Kesedaran semakin meningkat ini dapat dilihat melalui peningkatan ketara dalam penyertaan belia dalam kegiatan berkaitan warisan di sini, menurut tinjauan yang dijalankan oleh Lembaga Warisan Negara (NHB).

Bagi menggalak lebih ramai lagi mengambil bahagian dalam kegiataan kebudayaan, satu anugerah dwitahunan baru telah diperkenalkan, bermula pada suku pertama 2026.

Anugerah itu mengiktiraf usaha cemerlang belia dalam memartabatkan dan melestari warisan serta budaya yang pelbagai di Singapura.

Ini dinyatakan Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Kedua Undang-Undang, Encik Edwin Tong, dalam ucapannya pada majlis penyampaian Anugerah Peneraju Warisan Budaya Tidak Ketara 2024 di Auditorium Ngee Ann Kongsi, Galeri Nasional Singapura, pada 2 April.

Anugerah tahunan itu dimenangi lima penerima yang diiktiraf kerana mempromosi dan menyebarkan amalan mereka, dan bagi sumbangan cemerlang dalam bidang masing-masing.

Mereka ialah pembuat genderang Melayu Mohamed Yaziz Mohamed Hassan; pencipta barang kemas dan aksesori kebaya Peranakan Thomas Kwan; pelukis ‘rangoli’ Vijayalakshmi Mohan; kedai teh warisan Cina Pek Sin Choon; dan perniagaan pastri Teochew Thye Moh Chan.

Sementara itu, permohonan bagi edisi sulung Anugerah Belia Cemerlang dalam Warisan Budaya Tidak Ketara (ICH) bakal dibuka pada Mei.

Penerima anugerah itu akan dapat memanfaatkan geran hingga $20,000 untuk memulakan projek meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka dalam bidang masing-masing.

Penerima juga berpeluang mengembangkan keupayaan mereka, mewariskan amalan budaya kepada generasi pelapis.

Menyentuh tentang inisiatif baru itu Encik Tong berkata: “Kami percaya sudah tiba masanya mengiktiraf peneraju muda melalui anugerah ini, supaya mendorong mereka menyumbang lebih dalam memelihara, menerima, menghargai dan mewariskan amalan budaya kepada generasi seterusnya.”

Tinjauan yang dijalankan NHB itu melibatkan 2,018 responden yang terdiri daripada warga dan Penduduk Tetap (PR) Singapura berumur 15 tahun ke atas.

Daripada jumlah yang ditinjau, 596 merupakan golongan muda berusia 15 hingga 34 tahun.

Ia mendapati 66 peratus responden belia menyertai kegiatan berkaitan warisan pada 2024, berbanding 58 peratus pada edisi 2022 tinjauan itu.

Ia juga mendapati golongan muda lebih cenderung melihat warisan bukan sekadar sejarah sahaja, malah merangkumi unsur lain seperti seni, permainan tradisional dan bahasa hibrid seperti Singlish dan Kristang.

Selain itu, ia menunjukkan 93 peratus belia menyatakan pemahaman lebih mendalam tentang warisan dapat meningkatkan rasa kekitaan terhadap Singapura. 

Sebanyak 92 peratus pula bersetuju aspek warisan yang berkait dengan kehidupan harian, seperti makanan dan fesyen, perlu dipelihara.

Ini mencerminkan penghargaan tinggi terhadap warisan tidak ketara.  

Di samping itu, sekitar 8 peratus belia menyatakan kesediaan mereka menyokong pengamal warisan budaya tidak ketara, seperti seni persembahan tradisional dan kraf tangan. 

Ini menunjukkan masyarakat, terutamanya generasi muda, semakin menyedari peranan penting seni dan budaya dalam membentuk jati diri negara.  

Bagaimanapun, Encik Tong berkata meskipun kemajuan itu memberi harapan, masih banyak perlu dilakukan untuk memastikan warisan budaya lebih mudah diakses bagi semua lapisan masyarakat di Singapura.

“Dua tahun lalu, saya memperkenalkan Pelan Warisan Singapura 2.0 yang diperbaharui, bertujuan menjadikan warisan boleh diakses oleh semua. 

“Kita mahu warisan wujud bukan dalam pameran khas atau di galeri sahaja, malah dalam kehidupan harian kita, di tempat kita bekerja, tinggal, bermain mahupun semasa meluangkan masa bersama keluarga.” kata beliau. 

Melalui kerjasama dengan masyarakat, NHB telah melancarkan Nod Pengaktifan Warisan di Katong-Joo Chiat dan di Clementi, dengan Punggol turut serta. 

Menurut Encik Tong, tidak lama lagi lebih banyak Nod Pengaktifan Warisan akan dilancarkan, dengan matlamat melibatkan masyarakat dalam membangunkan projek yang meraikan warisan kejiranan mereka.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg